Brie Larson, selayaknya Captain Marvel




Sebelum ini wujud suara-suara sumbang yang meragui kemampuan Brie Larson membawa watak adiwira dalam filem Captain Marvel yang kini ditayangkan di pawagam saentero dunia.

Ramai tidak bersetuju dengan pemilihan Brie atau nama sebenarnya, Brianne Sidonie Desaulniers memegang watak sebagai Captain Marvel. Alasan mereka pelbagai.

Ada yang berpendapat fizikal wanita itu tidak sesuai, tidak cukup humor, saiz punggungnya leper tidak seperti digambarkan dalam komik dan banyak lagi alasan yang menjatuhkannya.

Ironi, menyelak portfolio Brie, wanita itu bukan calang-calang pelakon. Dia pernah memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik dalam Academy Awards menerusi keberhasilan persembahan watak Joy dalam filem Room pada tahun 2015.

Brie pada zaman kanak-kanaknya, sama seperti kebanyakan orang. Dia percaya bahawa adiwira adalah sesuatu yang benar-benar wujud dan berkemungkinan sesiapa sahaja boleh menjadi sebahagian daripadanya.

Dalam wawancara bersama majalah InStyle, Brie mendedahkan, pada usia empat tahun, dia mula berlakon secara syok sendiri menggayakan kostum Energizer Bunny yang popular pada zaman tersebut.

“Saya masih ingat lagi, keluarga menyuruh saya berjalan dengan kostum tersebut mengelilingi ruang tamu dan mereka ketawa.

“Saya tidak tahu itu sesuatu yang boleh berlaku dan saya tidak faham sebenarnya, mengapa perkara sedemikian berlaku tetapi saya sangat-sangat menyukai momen tersebut,” kata Brie, 29.

Simpan rahsia

Dalam program bual bicara, Jimmy Kimmel Live, Brie berkata, dia terpaksa berdepan ‘sengsara’ selama setahun kerana tidak dibenarkan membuka mulut kepada sesiapa pun tentang tawaran melakonkan watak Captain Marvel.

“Saya terima tawaran watak Captain Marvel sekitar tiga tahun lalu. Saya sebenarnya takut kerana pihak produksi memberi amaran ketat agar jangan bocorkan kepada sesiapa pun bahawa saya ialah Captain Marvel.

“Saya fikir, sekiranya perkara itu dikongsikan dengan orang paling rapat pun, adakah mereka akan melucutkan jawatan adiwira daripada saya. Samuel L. Jackson pun ada bergurau dengan saya, sanggupkah mereka pecat saya kalau perkara ini bocor kepada orang ramai,” kongsinya.

Mengulas tentang keserasian bersama Samuel yang memainkan peranan sebagai Nick Fury, Brie berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan aktor hebat itu sekali lagi. Lebih manis, perkara tersebut berlaku dalam filem terbitan Marvel Studios.

“Sangat menyeronokkan. Sebelum ini kami pernah bekerjasama dalam filem Kong dan menjalani penggambaran di Hawaii, Australia dan Vietnam. Sehingga kini, kami telah bergandingan dalam tiga buah filem.

“Rasanya dia ialah pelakon yang paling banyak saya habiskan masa bersama sepanjang kerjaya lakonan. Kami jadi rakan baik dan hubungan kasih sayang antara kami bukan dibuat-buat. Kami tidak mampu untuk palsukan nilai itu,” ungkapnya.

Diminta menghuraikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang menjayakan watak adiwira tersebut atau nama manusianya, Carol Danvers, banyak perkara yang dikongsikan oleh Brie.

Ujarnya, dia ‘tertipu’ dengan juruterbang tentera udara sebenar yang melatihnya untuk menerbangkan sebuah jet pejuang.

“Mereka kata, ketika di udara keberangkalian untuk muntah hanya 50 peratus namun apabila saya sendiri merasai pengalaman tersebut, saya benar-benar muntah. Maksud saya, hampir setiap masa dan mereka kata, itu perkara normal (ketawa),” tuturnya.

Jadi kuat

Brie turut mendedahkan dalam kalangan anggota tentera udara, dia mempunyai nama timangan atau tanda panggilan yang menjadi budaya profesion idaman tersebut.

“Tanda panggilan saya ialah Sparrow. Kenapa Sparrow? Saya tidak boleh dedahkan kepada anda kerana itu kod yang harus dipatuhi.

“Kalau anda benar-benar ingin tahu, wajib bawa saya minum malam dan kemudian barulah saya akan mempertimbangkan sama ada untuk memberi tahu mengapa nama itu dipilih,” katanya yang memberi alamat bahawa setiap huruf daripada perkataan tersebut mempunyai signifikan tersendiri.

Disuakan pertanyaan tentang perkara baharu yang dipelajari dan cabaran sepanjang menjalani penggambaran, Brie menjelaskan, dia belajar untuk menjadi kuat secara fizikal.

“Saya perlu menjalani latihan selama sembilan bulan dan belajar menjadi seorang yang kuat. Saya sekarang boleh melakukan senaman dead lift dengan beban seberat 200 pound (91 kilogram).

“Mungkin bagi sesetengah, itu perkara biasa namun buat saya, kemampuan itu satu perkara yang sangat membanggakan,” kongsinya yang merupakan individu termuda berjaya memasuki American Conservatory Theater di San Francisco iaitu pada usia enam tahun.

Brie juga sempat mendedahkan rahsia riak wajah ‘cool’ atau tenang seperti yang terlihat pada kebanyakan poster rasmi Captain Marvel. Riak sebegitu bukan mudah untuk dijayakan.

“Saya kena belajar benda pelik. Contohnya, bagaimana mahu buat riak wajah. Susah, kerana setiap kali disuruh buat wajah begitu, saya akan ketawa berdekah-dekah.

“Jadi, apabila tengok poster dengan rambut berapi pada papan billboard dan pawagam, saya geli hati kerana tahu betapa sukarnya untuk saya menjayakan aksi sebegitu,” terangnya.

Dalam wawancara berlainan, Brie menyifatkan peranan sebagai Captain Marvel atau Carol Danvers merupakan pengalaman hidup yang tidak akan dapat dilupakan.

“Filem ini telah tercatat sebagai peluang terbesar dan terbaik saya pernah terima.

“Watak tersebut seperti satu kuasa luar biasa kerana filem itu ditayangkan di seluruh dunia dan banyak tempat berbanding keberadaan saya sebagai manusia yang terhad,” kata Brie yang kini sedang ditagih ‘khidmatnya’ untuk turut serta dalam karya Avengers: Endgame selanjutnya.

Awalnya, kemampuan Brie Larson sebagai aktres ideal bagi watak Captain Marvel diragui segelintir peminat. Kini naskhah ditunggu ramai itu sudah menggempur pawagam seluruh dunia dan Brie akhirnya membuktikan alasan kelayakannya bagi mengungguli karakter adiwira tersebut.

Post a Comment

Previous Post Next Post