Berambut pendek selepas menunaikan umrah pada hujung tahun lalu, Awie mengakui imej baharunya itu kurang disukai anak-anaknya.
Mengejutkan industri hiburan sewaktu dimasukkan ke hospital selama seminggu selepas mengadu sesak nafas dan sakit dalam perut pada hujung Disember lalu, Datuk Awie sekali lagi ditahan di hospital akibat penyakit sama bahkan lebih teruk tahap kesihatan vokalis Wings itu dibimbangi ramai peminatnya.
Namun, kemunculan pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman, 51, pada tayangan filem lakonannya terbaharunya, Bikers Kental 2 baru-baru ini membikin senyuman buat semua peminatnya.
Mengakui, sudah sihat walaupun masih meneruskan rutin pengambilan ubat-ubatan, aktiviti seninya dalam momentum stabil.
Sibuk menyanyi dan berlakon, legenda rock itu juga sedang merencana bidang baharu untuk diteroka apabila sedang berjinak-jinak dalam dunia penerbitan.
Menerusi syarikat miliknya Awie Entertainment, Awie kini merancang untuk menerbitkan beberapa buah filem, telemovie dan program televisyen
Jelasnya, usaha tersebut sebagai salah satu strategi mengembangkan karier dan perniagaan demi masa depan keluarga. Pada masa sama, beliau juga dalam gerakan untuk membikin sebuah konsert berskala besar sempena sambutan lebih 30 tahun penglibatannya dalam dunia muzik.
KOSMO!: Bolehkah kongsi perkembangan tahap kesihatan Awie setakat ini memandangkan bulan lalu anda sekali dimasukkan ke hospital?
Perkembangan semuanya baik-baik sahaja. Alhamdulillah. Segalanya saya serahkan kepada Tuhan asalkan sentiasa berusaha untuk menjaga kesihatan dengan baik. Sekarang saya masih disarankan doktor untuk makan ubat. Insya-Allah, semuanya akan okey. Kalau mahu saya buat aksi berlawan lebih daripada apa yang anda tonton dalam Bikers Kental 2 pun masih boleh (ketawa).
Dalam filem Bikers Kental 2, terdapat banyak babak melibatkan anda melakukan aksi pertarungan, boleh komen lanjut mengenainya?
Semua aksi tersebut dilakukan sendiri sebab saya dan Afdlin memang sudah mengenali pelakon Thailand itu, Pont Cranium. Terdahulu, kami pernah berlakon sama menerusi beberapa buah filem termasuk Brave yang ditayangkan pada tahun 2007.
Jadi, tiada sebarang masalah sepanjang penggambaran kerana koreografi aksi dibincang bersama-sama. Saya teruja untuk menunggu tarikh tayangan filem ini yang akan memasuki pawagam bermula 14 Mac nanti.
Memandangkan aksi sebegitu dilakukan sendiri, adakah anda ada mengalami sebarang kecederaan?
Syukur alhamdulillah semuanya baik sahaja. Cedera tidak, tetapi badan ada rasa sengal-sengal. Cuma saya sangat teruja apabila melakukan babak aksi dengan mereka sebab kita tidak boleh mengalah. Mereka ada kemahiran, kita pun perlu tunjuk apa yang kita ada dan itulah yang membuatkan kami berasa seronok berlakon.
Selain filem baharu, ada sebarang perkembangan terkini?
Sekarang saya sudah mula belajar menceburkan diri dalam bidang penerbitan. Menerusi syarikat milik saya, Awie Entertainment, saya akan buat beberapa projek tidak lama lagi antaranya filem dan program televisyen.
Setakat ini, sudah ada kertas kerja iaitu penerbitan sebuah program menampilkan penyanyi rock di dapur. Program itu sangat unik sebenarnya sebab selama ini orang melihat mereka di atas pentas dengan imej rock sahaja. Selain itu, tidak lama lagi syarikat saya akan menerbitkan sebuah telemovie untuk siaran Hari Raya Aidiladha.
Dalam banyak bidang, mengapa anda pilih cabang penerbitan dan adakah anda akan kurangkan karier di depan kamera?
Sebenarnya, sudah lama saya jatuh cinta dengan bidang ini. Lagi pun kalau mahu berniaga, kita tidak boleh fikir satu cabang sahaja. Tambahan pula, saya tidak pandai berniaga cara lain seperti peruncitan. Selagi khidmat saya diperlukan berada di depan, saya akan buat. Cuma bisnes ini saya buat untuk syarikat dan keluarga.
Difahamkan juga Wings akan mengadakan sebuah konsert besar tidak lama lagi, jadi adakah tahap kesihatan yang tidak menentu akan memberi implikasi terhadap pelaksanaan konsert kelak?
Insya-Allah tidak. Sekarang pun saya tetap melakukan persembahan di merata tempat. Pada masa sama, demi mengembalikan kestabilan tubuh badan, saya juga sudah kembali aktif melakukan latihan di gimnasium. Malah, latihan untuk vokal dan nyanyian juga sudah dibuat.
Doakan sahaja yang terbaik untuk saya dan Wings. Demi peminat kami akan buat yang terbaik. Mengikut perancangan awal, konsert akan diadakan pada awal Mei depan. Kali ini Wings akan berkongsi pentas dengan kumpulan Bunkface. Ia sesuatu yang menarik untuk diketengahkan dengan menggabungkan dua generasi.
Apakah akan ada material terbaharu daripada Wings?
Sekarang kami memang sedang sibuk menyiapkan album terbaharu. Cuma, belum pasti akan ada lagu baharu yang diselitkan sepanjang konsert nanti. Selalunya, peminat tidak tahu sangat lagu baharu dan rata-ratanya memang gemarkan lagu lama supaya mereka boleh menyanyi bersama-sama.