Penampilan Datuk Aaron Aziz tempoh hari agak santai. Sesuai dengan watak Talhah yang dibawakan menerusi drama rantaian terbaharu lakonannya, 'Patah Sayap Bertongkat Paruh', Aaron selesa mengenakan celana krim dan kemeja berona jingga.
Berbeza dengan watak-watak terdahulu yang memerlukan Aaron sentiasa menggayakan sepasang sut dan tali leher, lelaki berusia 43 tahun itu tidak kisah dengan perubahan karakter biarpun sehingga 80 darjah.
“Mungkin ada yang berpendapat, wajah saya tidak tiada ciri-ciri lelaki kampung, tetapi bagi saya, menjayakan watak sebegini tidak terlalu sukar.
“Bahkan, saya tidak mahu terlalu kerap dikaitkan dengan watak-watak yang memerlukan saya sentiasa berpakaian kemas. Saya tidak mahu dilihat stereotaip dengan watak sedemikian,” katanya ketika ditemui pada sesi penggambaran drama arahan Along Kamaludin itu di Kapar, Klang, Selangor baru-baru ini.
Kampung
Menurut Aaron, Along selaku pengarah turut memberi kelonggaran kepadanya untuk menjayakan watak tersebut tanpa perlu menukar dialek percakapan,
“Selalunya, apabila menjayakan watak yang tinggal di kampung, seseorang pelakon itu perlu bertutur dalam dialek berbeza.
“Namun, Along memberi kebebasan kepada saya untuk melontarkan dialog seperti biasa,” katanya yang menyifatkan Talhah sebagai watak lelaki Melayu terakhir.
Bercerita lanjut mengenai penglibatannya dalam drama berkenaan, Aaron berasa sangat gembira kerana digandingkan bersama pelakon Fasha Sandha.
“Saya pernah beberapa kali bekerjasama dengan Fasha. Sejak sama-sama membintangi filem Evolusi KL Drift, sekitar 10 tahun lalu, saya banyak melihat perkembangannya.
“Fasha juga banyak menyaksikan perubahan dalam gaya lakonan saya. Sejujurnya, saya senang bekerja dengannya kerana dia tidak pernah berubah, masih berdisiplin sama seperti dulu,” kata Aaron lagi.
Kesihatan
Ketika wawancara ini dijalankan, kesihatan Aaron masih dalam keadaan kurang memuaskan. Pelakon filem Ombak Rindu itu mengakui, situasi sebegitu ada kaitan dengan cuaca tidak menentu dan berkemungkinan disebabkan jadual penggambarannya yang sedikit padat.
“Untuk beberapa minggu, jadual penggambaran saya untuk Patah Sayap Bertongkat Paruh bertembung dengan pembikinan drama rantaian Jodoh-Jodoh Anisa.
“Selain itu, mungkin cuaca yang sangat panas di set penggambaran membuatkan saya demam.
“Tetapi, saya tidak melihat masalah ini sebagai alasan untuk tidak meneruskan penggambaran. Saya tetap berlakon macam biasa,” katanya positif.
Aaron menyifatkan demam yang dialaminya tempoh hari sekadar demam biasa, biarpun pernah dikejarkan ke hospital pada tahun 2017 akibat demam panas.
“Setakat ini, saya masih mampu meneruskan kerja. Namun, saya tetap memberi perhatian terhadap kesihatan, terutamanya rehat yang cukup dan pemakanan seimbang,” ujar Aaron.
Mengimbas kembali, Aaron juga pernah mengalami masalah sakit sendi tengkuk sejak tahun 2013 selepas terbabit dalam sebuah kemalangan sewaktu menjalani penggambaran program Fear Factor Malaysia.
Pelakon asal Singapura itu juga pernah dinasihatkan oleh doktor supaya menjalani pembedahan bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Namun, Aaron memutuskan untuk tidak berbuat demikian.
Insurans
“Setakat ini, saya perlu menjaga pergerakan ketika sedang bekerja. Jika tersalah langkah atau gerak, sakit sendi akan sakit kembali,” katanya.
Kekangan tersebut bagaimanapun tidak menghalang Aaron daripada terus menerima tawaran filem yang memerlukannya beraksi lasak.
“Saya ada menerima tawaran untuk membintangi sebuah filem aksi terbitan Skop Production. Filem yang masih belum diberi judul itu merupakan filem arahan Syafiq Yusof.
“Benar, masalah kesihatan mungkin menjadi penghalang. Namun, apabila memikirkan sudah lama tidak terlibat dengan filem aksi, saya bersetuju untuk menerima tawaran berkenaan,” katanya.
Apabila melihat kembali masalah kesihatan yang dihadapinya, tidak hairan jika Aaron mengambil langkah berjaga-jaga seperti melanggan perkhidmatan insurans untuk kesenangan masa hadapan.
“Bagi saya, insurans hayat merupakan perkara yang sangat penting untuk selebriti. Insurans ini seperti simpanan, tetapi hanya akan dinikmati apabila kita memerlukan rawatan di hospital,” katanya sambil memberitahu, isterinya, Datin Diyana Halik yang banyak menguruskan perihal insurans mereka sekeluarga.
Senior
Melihat perkembangan kerjayanya di Malaysia, Aaron masih laku bahkan namanya tetap bernilai dalam kalangan produksi tempatan.
Contoh paling dekat, menerusi drama Patah Sayap Bertongkat Paruh, dia masih diberi kepercayaan untuk menjayakan watak utama.
Tidak menjadi pemilihan tersebut sebagai suatu kelebihan, Aaron berkata, kejayaan sesebuah drama bergantung kepada pakej naskhah secara keseluruhan.
“Sebagus mana pun seseorang artis itu, jika naskhah lakonannya tidak ditunjangi oleh sebuah pasukan produksi berkualiti, sesebuah drama tidak akan ke mana.
“Pada masa yang sama, waktu tayangan juga penting. Jika nama artis itu sedang hangat disebabkan kontroversi, barangkali drama yang dibintangi akan mendapat sambutan” ujar Aaron menutup perbualan.