Alif Satar jelajah UK




Selama 13 tahun berada dalam industri hiburan tanah air, Alif Satar boleh disifatkan sebagai selebriti yang cukup bertuah. Buktinya, sehingga kini namanya tetap mengharum.

Sudah pasti ada yang pasti teringat pada awal kemunculannya dalam program One In A Million (OIAM) pada tahun 2006, pemilik nama sebenar Muhammad Alif Mohd. Satar itu dengan imej rambut terpacak dan gigi yang belum ‘siap’.

Masa meluncur laju dan hari ini, Alif menjadi teladan sebagai artis yang pandai membawa diri. Dia juga cemerlang menonjolkan bakat seninya mencakupi lakonan, nyanyian dan pengacaraan.

Kata pelantun Jangan Nakal yang ditemui Kosmo! pada acara Era Digital Muzik Awards 2018 (EDMA 2018) baru-baru ini, banyak perkara telah dipelajarinya untuk kekal relevan dalam industri, apatah lagi ketika dunia hiburan didominasi golongan ‘budak baru nak up’ (BBNU).

Bagaimana perkembangan terbaharu karier seni Alif?

Alif Satar: Saya baru selesai penggambaran projek drama untuk tayangan bulan puasa nanti. Projek drama yang bakal ditayangkan di TV3 itu melibatkan pelakon-pelakon seperti Zara Zya, Naim Daniel dan Azira Shafinaz. Tajuk drama itu ialah Pia terbitan JS Pictures Sdn. Bhd. Apa yang boleh dikatakan, karakter saya dalam drama ini berbeza daripada apa yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Kerjaya nyanyian pula masih berjalan seperti biasa, begitu juga dengan pengacaraan.

Bagaimana persediaan anda sebagai pengacara untuk acara Anugerah Juara Lagu (AJL) hujung minggu ini?

Persediaan saya biasa, okey sahaja. Bagi saya, sebagai pengacara bersama Sherry Alhadad, bintang utama dalam AJL sudah tentulah penyanyi yang bertanding. Kami hanya menjalankan tugas sebagai pengacara. Insya-Allah, kami akan menjalankan peranan sebagai pengacara dengan sebaik mungkin.

Anda semakin aktif dengan aktiviti berbasikal selepas Kejohanan Ironman Langkawi 70.3, apa perancangan selepas ini?

Bagi saya, berbasikal menyatukan ramai orang. Sekarang, semakin ramai yang berminat menyertai saya bersama kawan-kawan lain berbasikal. Buat masa sekarang juga, tiada perancangan untuk menyertai mana-mana pertandingan seterusnya, cuma aktiviti berbasikal tetap dilakukan setiap hari bagi menjaga stamina.

Difahamkan anda akan mengadakan persembahan jelajah di United Kingdom (UK) pada pertengahan bulan Februari, boleh ceritakan sedikit tentang perancangan tersebut?

Saya akan mengadakan persembahan jelajah di beberapa bandar seperti Bristol dan Sheffield. Sebenarnya, sudah lama saya mendapat jemputan untuk mengadakan persembahan di sana. Tawaran itu datang daripada pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian di UK. Sebelum ini, penyanyi seperti Yuna, Faizal Tahir, Noh Hujan dan Aizat pun pernah mengadakan persembahan sebegitu. Alhamdulillah, saya tidak sabar untuk bertemu dengan peminat di sana. Barangkali saya akan menyanyikan 10 buah lagu dalam setiap persembahan termasuk lagu sendiri dan lagu saduran.

Anda masih relevan sebagai anak seni sehingga ke hari ini, malah begitu disenangi dalam kalangan peminat muda, apa rahsia anda?

Soalan seperti ini membuatkan saya terfikir. Zaman saya naik dahulu, tiada media sosial seperti sekarang. Jadi, saya berusaha keras untuk berada pada tahap sekarang dan saya sentiasa ingin menjadi anak seni yang versatil. Mengambil contoh legenda Allahyarham Tan Sri Ramlee, kalau boleh saya ingin buat banyak perkara seperti beliau. Apa pun, saya bersyukur dengan pengurusan sekarang yang sangat memahami dan banyak membantu menjadikan saya anak seni seperti yang dikenali kini.

Post a Comment

Previous Post Next Post