Ahmad Dhani dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan oleh Mahkamah Jakarta Selatan semalam.
Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia feat Ari Lasso & Once akan berlangsung seperti dijadualkan tanpa penampilan Ahmad Dhani pada Sabtu ini di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor.
Pengarah Urusan Nizra Production yang juga penganjur, Nik Iruwan berkata, pihaknya tidak merancang untuk menunda konsert berkenaan walaupun vokalis utamanya, Ahmad Dhani tidak akan tampil membuat persembahan kerana dipenjarakan.
“Kami ingin memaklumkan tiada sebarang penundaan atau pembatalan konsert seperti yang digembar-gemburkan.
“Peminat yang sudah membeli tiket tidak perlu risau kerana konsert tersebut tetap akan berlangsung seperti yang telah dijadualkan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Isu penundaan konsert berkenaan mula berlegar setelah Ahmad Dhani yang juga pengasas kumpulan legenda Dewa 19 dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan oleh Mahkamah Jakarta Selatan semalam kerana menyebarkan kata-kata kebencian dalam laman sosial.
Ahmad Dhani sempat memberi bayangan bahawa konsert melibatkan tiga vokalis kumpulan itu adalah persembahan terakhir mereka sebagai Dewa 19.
Konsert tersebut juga dianggap istimewa bagi peminat kerana berpeluang menyaksikan Ahmad Dhani, Once dan Ari Lasso berkongsi pentas yang sama buat kali pertama sejak Dewa 19 ditubuhkan pada 1986 di Surabaya, Indonesia.