Persoalan siapakah yang akan menggantikan penyanyi Altimet yang layak bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) menerusi lagu 'Bunga' terlerai jua dengan pemilihan kumpulan De Fam selaku pengganti.
De Fam yang dianggotai tiga ahli iaitu Azira Shafinaz, Sophia Liana dan Cik Manggis bakal berentap dengan 11 finalis lain pada AJL33 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Ahad ini.
Menjadi pilihan pertama daripada penyanyi asal pastinya menyuntik perasaan teruja buat De Fam untuk beraksi buat pertama kali di atas pentas berprestij itu.
Namun begitu, pada masa sama mereka mengakui berasa gementar menantikan detik malam final. Bukan sekadar mengadakan persembahan, sebaliknya mereka menggalas satu tanggungjawab besar dan harapan ramai orang.
“Walaupun menjadi pilihan pertama adalah perkara menggembirakan, tetapi buat masa sekarang bukan masa untuk meraikannya. Sebaliknya, kami perlu fokus dan memberi sepenuh komitmen terhadap tanggungjawab yang diamanahkan.
“Sebagai penyanyi gantian, sudah tentu kami perlu menampilkan kelainan dalam segala aspek seperti menampilkan melodi berbeza yang tiada dalam lagu asal,” ujar Azira ketika ditemui pada sesi fotografi khas di Hotel Empire, Subang, Selangor baru-baru ini.
Perubahan
Ditanya apakah punca Altimet memilih mereka selaku pengganti, Azira dan Sophia menyifatkan penyanyi itu cuba mencari kelainan dengan menampilkan kumpulan wanita.
“Altimet memberitahu, tiada orang lain yang mampu menggantikan tempatnya selain De Fam. Pada hemah kami, mungkin dia mahu mencari kelainan dengan memilih penyanyi wanita kerana sebelum ini peminat sudah selesa melihat penyanyi lelaki mendendangkan lagu Bunga.
“Kebetulan pula judul lagunya pula adalah Bunga, jadi sangat sesuai lagu tersebut diberikan kepada tiga bunga ini. Kami pasti peminat pun tertunggu-tunggu hasilnya,” ujar Sophia ceria.
Perbezaan genre yang diperjuangkan oleh mereka iaitu hip hop juga sebenarnya memberi cabaran tersendiri buat De Fam untuk membawakan lagu Bunga yang sepenuhnya bersadur rap.
Bersedia menghadapi tekanan dan kritikan yang bakal hinggap selepas ini, Sophia atau nama lengkapnya Sophiatul Liana Mohamed Sobri, 29, mengambil nasihat yang diberikan Altimet kepada mereka bagi menangani kecaman netizen.
“Altimet pernah cakap, pembenci akan tetap membenci. Jadi, mengapa perlu fikirkan apa yang akan diperkatakan golongan pembenci ini. Hal ini kerana, apa sahaja kita buat akan tetap nampak buruk pada mata mereka.
“Atas nasihatnya, kami kekal positif dengan cara sendiri dan tidak memikirkan tentang orang lain. Kami hanya fokus pada apa yang Altimet inginkan kerana persembahan ini adalah untuk dia,” ujar Sophia sambil menambah segala persiapan termasuk idea untuk persembahan dibincangkan bersama-sama Altimet.
De Fam tampil menggantikan Altimet untuk lagu Bunga selepas Altimet memulakan persaraannya dalam dunia hiburan sejak November tahun lalu.
Pengunduran penyanyi berusia 41 tahun itu daripada bidang nyanyian sekali gus menimbulkan teka-teki tentang siapakah yang akan membawa lagu Bunga yang layak ke pentas AJL33.
Ditebak dengan persoalan apakah kelainan yang cuba disampaikan menerusi lagu Bunga memandangkan mereka adalah artis wanita pertama yang mempersembahkannya di hadapan khalayak, Azira dan Sophia melantunkan jawapan berlapik bimbang segala kejutan yang dirancang dapat dihidu.
Dari segi persembahan lagu, ada banyak perubahan yang disuntik dengan memasukkan elemen penting terutamanya yang akan menonjolkan identiti De Fam.
Bukan Altimet
Apatah lagi mereka perlu membuat pembahagian secara khusus untuk menyampaikan lagu tersebut dalam versi berkumpulan.
“Sejak diberi tanggungjawab besar ini, kami sedar ada banyak perkara yang perlu dilakukan. Walaupun kami bertiga, tetapi sebenarnya bukanlah kerja mudah seperti difikirkan.
“Sebelum ini peminat sudah banyak kali melihat lagu ini dibawakan oleh penyanyi lelaki contohnya Zamani dan Billy Zulkarnain. Itu sebenarnya satu permulaan yang bagus untuk menunjukkan kepada orang bahawa penyanyi genre lain juga boleh menyanyikan lagu ini dengan cara tersendiri.
“Sekarang peluang kami pula untuk menonjolkan kelainan lagu Bunga dalam versi penyanyi wanita selain ditambah elemen lain seperti tarian supaya penonton tidak melihatnya seperti lagu Altimet,” ujar Azira yang mengakui sebelum ini kurang mengetahui tentang lagu tersebut.
Menurut rekod, Altimet pernah menjulang trofi Persembahan Terbaik pada edisi AJL ke-32 pada awal tahun lepas menerusi lagu Amboi.
Atas sebab itulah, De Fam tidak dapat lari daripada tekanan dan harapan ramai untuk mengulang kejayaan tersebut atau mungkin mendapatkan keputusan yang lebih baik.
“Kami cuba memberi persembahan yang sehabis baik pada malam itu, akan tetapi rezeki bukan di tangan kami untuk menentukannya.
“Jangkaan dan harapan untuk mengekalkan kemenangan Altimet pada tahun lepas memang ada dan itu tidak dapat dinafikan. Justeru, menjadi tanggungjawab kami untuk menonjolkan perbezaan,” kata Azira.
Sementara itu, ketika ditanya tentang perkembangan terkini karier mereka, De Fam berkata, mereka bakal muncul dengan single terbaharu tidak lama lagi selepas dua tahun menyepi.
Akui Azira, mereka bertiga amat cerewet apabila bekerja kerana amat mementingkan kualiti demi kepuasan diri dan peminat.
“Dari segi bunyi, kami sangat teliti dan tidak akan pilih sesuatu lagu secara sembarangan. Bagi DeFam sendiri, selepas lebih dua tahun tanpa produk baharu, kami perlu memberi sebuah karya yang lebih baik daripada sebelum ini.
“Ada banyak perkara yang menjadi alasan mengapa kami mengambil masa lama untuk mengeluarkan lagu baharu. Perkara paling utama adalah kami sukar mencari komposer yang sesuai dengan genre dan mood muzik DeFam,” tutup Azira.
Kumpulan wanita popular De Fam bakal beraksi buat kali pertama di pentas Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL3) pada Ahad ini menerusi lagu Bunga. Mereka menggantikan posisi penyanyi asalnya, Altimet yang sudah bersara daripada dunia hiburan.