Nabila Razali sedar diri




Sekitar dua tahun lalu, dia dikecam teruk apabila mencetus kontroversi kononnya putus cinta dengan pelakon Aedy Ashraf sedangkan hal tersebut sengaja diwujudkan bagi tujuan gimik klip video single ketiganya berjudul Pematah Hati.

Dicemuh dengan pelbagai tohmahan sehingga ada yang menyifatkan dirinya sebagai penipu, percaturan wanita yang bernama Nabila Razali itu berjaya apabila klip video tersebut meraih lebih sejuta tontonan di YouTube dalam tempoh 24 jam selepas dilancarkan.

Sampai ke hari ini, klip video arahan dua pemuda dari Romania yang menggelarkan diri mereka sebagai The Storytellrs itu sudah meraih 24 juta tontonan. Ternyata, gimik yang dicipta membuahkan hasil yang lumayan buat Nabila.

Lebih setahun waktu bergulir, pemilik nama sebenar, Nur Nabila Mohd. Razali, 27, itu sekali lagi mencetuskan skeptikal apabila melancarkan single terbaharu berjudul Vroom Vroom.

Nabila mengundang kritikan apabila beberapa hari sebelum single berkenaan dilancarkan, sekitar 3,000 foto di Instagramnya ‘lenyap’ begitu sahaja. Sesetengah peminat sudah boleh menghidu, perbuatan sebegitu adalah gimik untuk single terbaharunya. Bukan itu sahaja, dia juga menutup ruangan komen bagi mengelakkan daripada ‘dibantai’ persoalan bertubi-tubi oleh netizen.

Tutup komen

“Itu bukan gimik, sebaliknya cuma teaser (mengusik) daripada saya. Saya tutup ruangan komen dalam Instagram kerana tidak mahu netizen membuat andaian yang bukan-bukan sebelum single dilancarkan.

“Saya juga tidak mahu komen-komen negatif membanjiri ruangan komen tersebut. Cukuplah apa yang berlaku sebelum ini dengan Pematah Hati,” kata Nabila yang mempunyai seramai 1.3 juta pengikut Instagram.

Menjawab persoalan apabila peminat melabel dirinya sebagai ‘ratu gimik’ kerana sengaja mencetuskan kontroversi sebelum berkongsi sesebuah produk baharu, wanita yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina (Kejuruteraan) dari Universiti Sains Malaysia itu mempunyai jawapan tersendiri.

“Saya tidak boleh halang andai orang kata saya suka buat gimik atau sebagainya. Itu hak mereka.

“Bagi saya sebagai seorang artis, ada bermacam-macam cara atau strategi untuk memasarkan sesebuah karya. Apa yang saya pamerkan adalah strategi saya,” getusnya.

Kualiti vokal

Melanjutkan bicara, ketika diusik pertanyaan ramai yang mempersoalkan kualiti vokalnya yang sedikit lemah, Nabila mengakui perkara tersebut. Dia menyedari tahap kemampuan vokalnya dan mahu terus memperbaiki kelemahannya.

“Saya sedar setakat mana kemampuan dan karakter vokal saya. Kalau tidak boleh menyanyi lagu balada atau bernada tinggi, mengapa perlu paksa diri.

“Saya gembira dengan pilihan muzik yang ditonjolkan sekarang. Kalau orang terus mempersoalkan kualiti vokal, saya terima dengan hati terbuka.

“Pada masa yang sama, saya tidak akan mengalah dan mencuba untuk memperbaiki diri dengan mengikuti kelas latihan vokal. Saya tidak mahu duduk dalam zon selesa,” katanya.

Ditebak apakah perasaannya andai bakat nyanyiannya terus dipandang enteng kerana limitasi dalam perkongsian karya lagu yang hampir serupa, jawab Nabila: “Di luar negara pun ada bermacam jenis genre lagu. Pendengar boleh memilih untuk mendengar genre muzik yang bagaimana. Apa yang saya diberitahu, lagu Pematah Hati cukup popular dalam kalangan anak-anak kecil.

“Kalau orang kata saya tidak layak berada dalam industri, saya okey. Selagi saya menerima tawaran nyanyian, itu bermakna saya ada tempat dalam industri.

“Kalau berjuta orang tolak saya supaya berhenti menyanyi namun terdapat seorang yang mahu saya terus menyanyi, saya akan menyanyi untuknya,” terangnya merendah diri.

Anugerah

Biarpun tidak dipandang serius sebagai penyanyi disebabkan kemampuan vokalnya, Nabila menyimpan impian untuk menggenggam anugerah seperti mana anak seni yang lain.

“Tipulah kalau dikatakan saya tidak mahu menang anugerah. Semua penyanyi ingin menang trofi, begitu juga saya.

“Saya pernah berada pada tahap ingin mengalah kerana terlalu fikirkan apa orang kata. Rasa sedih dan kecewa kerana susah ingin puaskan hati semua orang. Apa yang boleh saya lakukan hanyalah terus memperbaiki diri dan pada masa sama, buat apa yang termampu,” tutur Nabila.

Masih menerima kritikan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan cara nyanyiannya, Nabila berkata, sehingga kini ada netizen yang ingin dia berhenti menyanyi.

“Ramai netizen dalam laman sosial yang paksa saya berhenti menyanyi dan fokus lakonan sahaja. Biarlah, saya buat apa yang saya suka.

“Pada masa yang sama, saya juga menerima sokongan daripada orang ramai. Segala kritikan saya akan terima dan cuba memperbaiki diri,” katanya.

Sebelum menutup perbualan, Nabila berkata, selepas Pematah Hati, dia selesa bekerja dengan dua komposer kegemarannya iaitu Hael Husaini dan Ezra Kong kerana mereka memahami karakter vokalnya.

“Mereka (Hael dan Ezra) tahu kemampuan vokal saya dan lagu Vroom Vroom memang dibuat khas untuk saya.

“Saya ada mendengar lagu-lagu daripada komposer lain, namun sehingga hari ini, saya lebih selesa untuk menyanyikan lagu hasil ciptaan Hael dan Ezra,” ungkap Nabila menggulung bicara.

Selepas dilabel ‘penipu’ ketika melancarkan single Pematah Hati lebih setahun lalu, penyanyi Nabila Razali kembali dengan single terbaharu berjudul Vroom Vroom.

Post a Comment

Previous Post Next Post