Fasha Sandha Sesekali, saya inginkan watak pembantu




Dalam tempoh dua bulan daripada sekarang, Fasha akan menamatkan zaman solo dan kembali ke sisi lelaki bergelar suami.

Karier Fasha Sandha dalam bidang lakonan boleh disifatkan cemerlang. Sejak menjadikan bidang hiburan sebagai lapangan kerjaya, wanita dengan nama lengkap Nur Fasha Sandha Hassan itu tidak pernah gagal menyita khalayak menerusi mutu lakonannya.

Sungguhpun lebih 10 tahun berkarier, kehadiran Fasha dalam industri masih lagi mendapat perhatian ramai. Buktinya, wajah jelita wanita kelahiran Pulau Pinang itu kerap mengungguli slot-slot popular yang disiarkan saluran televisyen tempatan.

Mengakui bersyukur dengan kurniaan rezeki, Fasha yang ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri terbaharunya, Patah Sayap Bertongkat Paruh di Kapar, Klang, Selangor baru-baru ini berkata, dia berasa sungguh terharu terhadap perhatian penerbit dan orang kuat industri terhadap bakatnya.

Namun, pelakon filem Evolusi KL Drift itu menjelaskan, dia teringin membawakan watak pembantu agar mempunyai lebih waktu bersama anak-anak.

Dalam masa sama, Fasha, 35, turut berkongsi mengenai perancangan perkahwinan dengan tunangnya, pelakon Aidil Aziz yang bakal diadakan pada penghujung Mac depan.

Bagaimanakah Fasha melihat pemilihan anda sebagai pelakon utama bagi kebanyakan drama sedangkan ramai pelakon junior lain berebut peluang untuk mendapatkan slot tertentu dalam televisyen?

FASHA: Saya berasa sangat bersyukur apabila masih menerima tawaran daripada pihak produksi. Pada masa sama, saya gembira melihat pelakon-pelakon baharu yang masuk ke dalam industri dan memeriahkan bidang lakonan. Bagi saya, masing-masing punya kelebihan. Cuma, apabila bekerja dengan produksi yang kebanyakannya menggunakan khidmat pelakon senior, kami boleh berbincang dengan mudah.

Adakah anda sentiasa menerima tawaran untuk menjayakan watak utama?

Biarpun adakalanya saya teringin untuk menjayakan watak pembantu, produksi tetap mahukan saya bergelar heroin. Kalau mahu tolak, saya tidak sampai hati. Maklumlah, tawaran untuk memegang watak utama merupakan satu penghargaan terhadap saya. Jadi, apabila sudah ada orang yang menghargai bakat kita, sukar untuk menolaknya.

Mengapakah anda mahu menjayakan watak pembantu?

Agak penat sebenarnya menjayakan watak utama. Selain perlu berdepan dengan situasi seperti cuaca, pelakon utama perlu menghabiskan masa yang banyak di lokasi penggambaran. Kalau saya memegang watak pembantu, saya boleh habiskan lebih banyak masa di rumah. Tetapi, tidak mengapa, saya terima rezeki yang diberikan.

Bolehkah kongsi sedikit mengenai peranan anda dalam drama Patah Sayap Bertongkat Paruh?

Dalam drama ini saya memegang watak Aliah. Dia merupakan seorang wanita berjiwa besi yang melalui hari-hari tanpa kehadiran suami. Dalam waktu yang sama, dia berjumpa semula dengan bekas kekasihnya, Talhah lakonan Aaron Aziz. Secara keseluruhan, drama ini bertemakan tentang cinta tiada ganti.

Anda kelihatan sibuk di lokasi penggambaran. Bagaimanakah anda menguruskan persiapan perkahwinan anda setakat ini? Bukankah tarikh perkahwinan dengan Aidil sudah semakin hampir?

Saya sendiri agak gementar apabila memikirkan tentang tarikh perkahwinan yang semakin dekat. Kerja masih banyak, persiapan pula masih belum dilaksanakan. Namun, Aidil telah mula menyelesaikan beberapa perkara termasuklah katering sebelah keluarganya di Negeri Sembilan. Insya-Allah, selepas tamat penggambaran drama Patah Sayap Bertongkat Paruh ini, saya akan mula membuat persiapan.

Post a Comment

Previous Post Next Post