Neelofa ketika melawat salah sebuah keluarga yang terpilih dalam program tersebut.
Pengacara dan pelakon, Neelofa mengambil inisiatif membantu 10 keluarga yang memerlukan menerusi aktiviti kemasyarakatan CSR Neelofa x NeelofaTeam yang diadakan di Kuala Selangor, Selangor semalam.
Neelofa atau nama penuhnya, Noor Neelofa Mohd. Noor, 30, berkata, aktiviti tersebut merupkan kesinambungan kepada aktiviti kemasyarakatan yang sering dijayakan sepanjang tahun lalu.
“Saya dan peminat iaitu NeelofaTeam sering menjalankan aktiviti seperti ini sepanjang 2018.
“Bezanya, untuk tahun ini, saya memilih untuk melakukannya pada skala yang lebih besar dan kumpulan sasaran yang lebih luas,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.
Menurut Neelofa, setiap keluarga yang dilawati mempunyai kisah tersendiri.
“Sebagai contoh, kami melawat sebuah keluarga yang bapanya kini terlantar sakit akibat penyakit kusta dan kedua kakinya terpaksa dipotong.
“Sejujurnya, aktiviti sebegini memberikan satu pengalaman yang sangat membuka mata saya tentang erti kehidupan dan pengorbanan,” katanya lagi.
Menerusi aktiviti yang disertai oleh 70 peminat pengacara MeleTOP berkenaan, barang-barang yang diagihkan termasuklah gula, beras, tepung, sabun pencuci dan barang makanan.
Neelofa juga turut menyumbangkan kelengkapan rumah seperti set meja makan, peti ais, mesin basuh, dapur memasak dan juga sedikit sumbangan kewangan.
Mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga syarikat minuman, Chatime, Neelofa dan NeelofaTeam berharap dapat berkerjasama dengan banyak lagi organisasi lain untuk membantu mereka yang memerlukan.