Tidak perlu tampil jengkel dengan memek wajah over dan bercakap terlalu kepoh, watak Kak Su atau Suria yang ditonjolkan Reen Rahim dalam drama Pujaan Hati Kanda berjaya menghiburkan penonton.
Watak tersebut diterjemahkan cukup cantik oleh Reen sebagai wanita kampung yang sering berkain batik, dengan lagaknya yang gila-gila dan suka mengusik adiknya, Tiara (Mira Filzah) serta karakternya yang suka menyebut halah, halah, halah.
Ironi, watak Kak Su itu bukanlah watak besar dalam drama untuk siaran slot Akasia, TV3 tersebut.
Namun impak dibawa penuh berkesan oleh Reen menerusi beberapa episod drama berkenaan, Kak Su berjaya tampil lebih menonjol berbanding karakter utama dan antagonis dalam naskhah yang turut dibintangi Remy Ishak, Syazwan Zulkifly dan Sarah Hildebrand itu.
Ramai yang mula terpikat dengan Reen dan nama pelakon yang pernah menjuarai program realiti Pilih Kasih musim ketiga tersebut itu mula melonjak naik.
Dia tersenyum lega tatkala fakta itu disuakan kepadanya. Pada hemat Reen, watak Kak Su disukai kerana ia sering diaplikasikan masyarakat Malaysia dalam kehidupan seharian.
“Dari hari pertama sejak kemunculan watak Kak Su, saya sendiri terkejut dengan sambutan dan respons yang diberikan oleh penonton.
“Rata-rata ramai yang memberikan komen yang baik dan saya bersyukur dengan maklum balas positif itu terhadap karier seni saya,” luah pemilik nama sebenar Noreen Ashikin Abdul Rahim itu yang turut tidak menyangka perkataan halah, halah, halah yang disebut Kak Su menjadi ikutan ramai.
Hakikatnya, Reen tidak meletakkan harapan terlalu tinggi pada setiap watak yang digalasnya, namun, dia percaya dengan rezeki daripada Allah.
Watak psiko
Meskipun pernah menerima titik gelap dan terang dalam karier seninya selama tujuh tahun bergiat aktif, kata Reen, banyak yang positif berbanding negatif. Bahkan, dia bersyukur dengan perjalanan yang dilaluinya itu.
Sejak mula menjadi pelakon pada tahun 2012, dia hampir tidak pernah mempunyai hasrat untuk berhenti berlakon. Biar mengakui ada beberapa watak yang pernah dijayakan tidak mencapai merit di jiwanya, namun siapalah dia untuk menuding jari.
“Saya pernah membawa pelbagai jenis watak termasuk anak yang diseksa dan gila. Namun yang paling saya suka adalah watak psiko. Cuma ketika menjayakan watak berkenaan, saya masih baharu dan ia tidak begitu memuaskan hati saya. Jika selepas ini beroleh watak psiko lagi, saya pasti dapat melunaskannya sebaik mungkin,” jelas Reen yang sudah berlakon dalam puluhan drama termasuk Sahara dan Mencari Qiblat.
Ternyata, lakonan adalah sebuah perjalanan hidup yang tidak pernah diimpikannya. Kata Reen dengan mesra, sedangkan kerjaya asalnya adalah pendandan rambut dan dia pernah bekerja dalam bidang berkenaan selepas tamat diploma dalam bidang tersebut di salun Thomas & Guys Academy, Kuala Lumpur.
Pendandan rambut
Panjang bicara Reen bersama penulis pada petang itu. Bercampur aduk dengan cerita Kak Su, soal hati dan zaman silamnya. Itu yang terkeluar cerita dia pernah bekerja selama lima tahun dalam bidang dandanan rambut.
“Kalau tidak jadi pelakon seperti sekarang, mungkin saya datang jumpa kakak untuk merias rambut artis,” ujar Reen sambil ketawa.
Bagaimanapun, dia tidak pernah kesal meninggalkan karier sebagai pendandan rambut kerana bidang lakonan telah membuat dirinya dikenali ramai dalam industri. Daripada hanya sebagai pelakon tambahan, Reen kini berdiri sama tinggi dengan barisan pelakon hebat yang lain.
Beralih ke topik hati, sementelahan sebelum ini pernah tersebar gambar Reen dengan seorang pemuda yang bekerja dan menetap di Scotland itu.
“Buat masa ini, kami masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Belum lagi sampai fasa merancang untuk berkahwin. Insya-Allah, jika ada jodoh.
“Saya mohon doa yang baik-baik daripada peminat,” tutur Reen yang baru selesai penggambaran sebuah telemovie untuk Astro First dan bakal memasuki set penggambaran filem Mawas.