
Jika selebriti popular terjun ke dalam bidang fesyen dengan memasarkan koleksi pakaian rekaan masing-masing, usaha mereka pasti mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat.
Lihat sahaja jenama Creacion milik penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Neonate Company yang diusahakan pengacara, Karl Shafek.
Kejayaan kedua-dua label tersebut untuk kekal relevan barangkali disebabkan oleh impak yang ada dalam diri mereka sebagai figura popular.
Bagaimanakah jika situasi tersebut berubah 180 darjah dengan menyaksikan pereka fesyen pula yang terjun ke dalam bidang seni suara dan merakamkan lagu?
Biarpun situasi berkenaan dianggap khalayak sebagai mustahil, pereka fesyen Ezuwan Ismail yang turut menggelarkan dirinya sebagai Tukang Jahit Termahir Malaysia membuktikan sebaliknya.
Kini bergelar penyanyi menerusi band E1, Ezuwan berpendapat bahawa usahanya untuk menceburkan diri dalam bidang seni sebagai percubaan mengembangkan bakat yang dirasakan ada sejak dahulu lagi.
Minat
“Saya memang suka menyanyi sejak di bangku sekolah. Cuma, saya tidak berkesempatan untuk berkongsi bakat dan minat dengan orang ramai.
“Bagaimanapun semangat untuk bergelar penyanyi semakin berkobar-kobar sehingga November tahun lalu. Justeru, saya bulatkan hati untuk menubuhkan E1,” ujar Ezuwan pada majlis pelancaran single perdana E1, Semalam Sahaja baru-baru ini.
Tidak seperti band vokal lain, E1 yang turut dianggotai oleh Zulyasrani dan Ariff Imran itu dilihat mengangkat genre retro, yang tidak selari dengan trend muzik tempatan masa kini.
“Ketika membuat perancangan untuk E1, saya terfikir tentang konsep muzik yang ingin diketengahkan. Memandangkan minat yang mendalam terhadap muzik retro, saya memutuskan untuk hadir dengan single berkonsepkan 1970-an.
“Tambahan pula, industri muzik tempatan masa kini dikuasai oleh lagu-lagu balada. Jadi, pada pendapat saya, lagu Semalam Sahaja ciptaan Asfan mampu memberi nuansa luar biasa kepada pendengar,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, E1 turut melancarkan klip video bagi single Semalam Sahaja. Menariknya, klip video Arahan Aaron dari Lensworks Studio kelihatan sangat kemas dan selari dengan konsep lagu.
Ditanya adakah dia mengeluarkan belanja yang besar untuk projek tersebut, ini jawapan Ezuwan:
“Tidak dinafikan, proses rakaman klip video Semalam Sahaja menelan belanja yang agak besar. Namun, saya tidak kisah, asalkan berpuas hati dengan hasil akhirnya.
“Kami masih baharu dalam industri dan berharap dapat menarik perhatian khalayak dengan adanya klip video yang cantik,” katanya.
Kecaman
Sebelum single Semalam Sahaja dilancarkan, pelakon Rozita Che Wan memuat naik status di Insta Story miliknya.
Menerusi status berkenaan, Rozita atau dikenali sebagai Che Ta mengkritik seorang pereka fesyen yang berhasrat untuk menceburkan diri dalam bidang seni suara.
Dalam masa sama, Che Ta turut menyifatkan suara pereka fesyen tersebut kedengaran seperti sedang tercekik sudu.
Diminta untuk mengulas lanjut, Ezuwan menjelaskan bahawa dia dan dua ahli E1 menerima sebarang kritikan dengan hati yang terbuka.
“Pada awalnya, saya agak terkejut dengan status berkenaan. Namun, saya tidak mahu cepat melatah. Hal ini kerana, Che Ta tidak ada menyebut nama saya pada statusnya.
“Andai kritikan tersebut ditujukan kepada saya, sejujurnya, saya menerima dengan hati yang terbuka,” ujar Ezuwan positif.
Dalam pada itu, Ezuwan berpendapat, kritikan sebegitu membuatkannya dan dua ahli E1 yang lain lebih bersemangat untuk berusaha memperbaiki diri.
“Kami percaya, setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.
“Jika dilihat daripada skop yang lebih besar, kritikan tersebut sangat bermakna kerana nama E1 telah diperkatakan sebelum kami melancarkan single,” katanya.
Bagi memantapkan vokal, E1 telah berlatih dengan guru vokal profesional.
“Sebelum merakam lagu, kami belajar teknik-teknik asas vokal dengan penyanyi Bob Yusof. Kami juga meminta tunjuk ajar daripada komposer Asfan.
“Setelah mempunyai asas nyanyian yang betul, barulah kami masuk ke studio untuk menjalani rakaman. Jadi, hasil akhirnya lebih profesional dan tidak kedengaran main tangkap muat,” ujar Ezuwan.
Bagi Zulyasrani dan Ariff pula, penglibatan mereka dalam E1 bukan sebagai penutup kelemahan vokal Ezuwan memandangkan kedua-duanya mempunyai pengalaman dalam bidang nyanyian sebelum ini.
“Kami tidak melihat penglibatan kami berdua dalam E1 sebagai penyendal untuk menutup sebarang kelemahan.
“Apa yang pasti, masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri,” ujar mereka.
Tidak mahu bergelar penyanyi yang hanya popular dengan satu single, E1 merancang untuk menerbitkan sebuah single sempena sambutan Aidilfitri akan datang.
“Untuk single tersebut, kami merancang untuk memasarkan sebuah lagu raya yang malar segar.
“Buat masa ini, kami tidak boleh bercerita lanjut mengenainya. Sungguh begitu, lagu tersebut bersifat malar segar dan sesuai untuk diputarkan sepanjang masa,” kata Ezuwan menutup perbualan.
Bergelar pereka fesyen pertama Malaysia yang menceburkan diri dalam bidang nyanyian, Ezuwan Ismail muncul dengan single perdana berjudul Semalam Sahaja menerusi trio E1.