Difitnah guna bomoh, Misha Omar tidak kejam




Kecewa dan terkilan difitnah netizen menggunakan ilmu hitam dan percayakan khurafat untuk beroleh kemenangan dalam Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33) yang berlangsung 3 Februari lalu, penyanyi Misha Omar bertindak membuat dua laporan polis bagi membersihkan reputasinya yang tercalar.

Dua laporan tersebut dibuat di Balai Polis Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor dan Balai Polis Salak Selatan, Kuala Lumpur pada 15 Februari lalu.

Menurut Misha, dia berasa terkilan kerana penyebaran fitnah tersebut dilakukan beberapa pengguna laman sosial menerusi Twitter sebaik AJL33 menutup tirai yang menyaksikannya membawa pulang hadiah tempat ketiga dan Vokal Terbaik menerusi lagu Sampai Bila hasil ciptaan Sharon Paul, Fedtri Yahya dan Shah Shamsiri.

Fitnah tersebut kemudiannya merebak ke laman sosial lain seperti Facebook sehingga turut menjadi buah mulut dalam kalangan penggiat seni.

Tampil membersihkan namanya dengan melantik peguam bagi mengendalikan kes tersebut, Misha bagaimanapun masih waras dan tidak bertindak terburu-buru sebaliknya masih memberi peluang agar si penyebar fitnah mengemukakan permohonan maaf.

Harapannya, perkara sama tidak berulang. Sehingga kini, seorang individu telah tampil meminta maaf kepada Misha menerusi Direct Message (DM) di Instagram.

Ikuti penjelasan Misha ketika ditemui pada satu sidang akhbar yang diadakan baru-baru ini.

Boleh Misha jelaskan tentang laporan polis yang dibuat?

MISHA OMAR: Saya rasa bertanggungjawab terhadap diri sendiri sebab tidak mahu kata-kata tidak benar mengganggu-gugat karier yang dibina dengan susah payah selama 17 tahun. Justeru, saya rasa terpanggil untuk menegakkan keadilan bagi diri sendiri. Saya sendiri tidak tahu apa salah saya dan dari mana mereka dapat berita tersebut, walhal kami tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Niat saya cuma mahu mendidik masyarakat supaya menggunakan laman sosial dengan bijak. Jangan mudah menyebarkan perkara tidak benar yang akhirnya menjadi fitnah sehingga menjejaskan reputasi seseorang.

Bagaimanakah fitnah tersebut bermula?

Fitnah tersebut bermula di Twitter sebelum mula merebak ke laman sosial lain. Fitnah itu semakin melarat selepas sebuah rakaman video saya berlatih vokal bersama dengan Datuk Shafinaz Selamat sebelum bermula AJL33 tular dalam laman sosial. Dari situ, timbul juga komen-komen jahat apabila ada yang mengatakan individu yang membela jin memang suka menyanyi di dalam tandas.

Sedangkan saya tidak berada dalam tandas, tetapi bilik persalinan. Setiap bilik di Axiata Arena (lokasi AJL33) memang lengkap dengan kemudahan tandas.

Perkara ini sangat tidak baik untuk moral saya. Kenapa perlu burukkan imej saya dengan dakwaan yang tidak betul?

Sejauh manakah reputasi anda terjejas akibat fitnah berkenaan?

Selepas tamatnya AJL33, saya menghadiri beberapa acara hiburan dan beberapa rakan artis berbual sambil menyentuh tentang penggunaan ilmu hitam untuk menang anugerah tersebut.

Kedengaran seperti gurauan, tetapi ironinya fitnah tersebut telah pun sampai kepada rakan artis dan peminat. Sedangkan bukan mudah untuk saya mendapat kemenangan tersebut. Terlalu banyak kerja keras perlu dilakukan dan tidak perlu pun saya kongsikan kepada semua mengenainya.

Sebab itu saya berasa sangat kecewa dan berkecil hati kerana orang tidak tahu betapa susahnya untuk saya mendapatkan kembali suara yang pernah hilang selepas melahirkan anak sulung sekitar lebih dua tahun lalu. Akhirnya, ‘mak esah’ (bomoh) juga yang dapat nama.

Apakah tindakan selanjutnya selepas anda melantik peguam?

Peguam saya sudah menghantar surat rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap pengguna laman sosial yang terlibat. Ada antara mereka yang menggunakan nama sebenar dan nama pena.

Tujuan sidang akhbar ini diadakan adalah untuk meminta pelaku berhenti menyebarkan dakwaan tidak benar. Sebab negara kita ada undang-undang.

Saya tidak minta wang tunai sebagai ganti rugi, tetapi cukuplah jika mereka yang terlibat datang berjumpa dengan saya secara berdepan.

Saya cuma minta mereka buat permohonan maaf tanpa syarat. Saya juga teringin untuk bertemu dengan mereka sebab saya mahu tahu apa salah saya. Dari mana mereka mendapat tahu berita tidak benar itu sedangkan kami tidak pernah mengenali antara satu sama lain.

Kalau ada sebarang masalah, mereka tahu bagaimana untuk mencari saya. Mereka mengenali siapa pengurus saya. Jadi, kenapa perlu menulis perkara tidak benar dalam laman sosial sehingga menimbulkan fitnah?

Berapa lamakah tempoh permohonan maaf tersebut diberikan?

Tempoh masa untuk membuat permohonan maaf adalah selama tujuh hari bermula dari 15 Februari. Dalam tempoh tersebut mereka boleh berhubung dengan saya menerusi apa cara sekali pun. Jika tidak, saya ada kebebasan untuk failkan tindakan selanjutnya yang tidak terhad pada tindakan mahkamah semata-mata.

Apakah yang anda boleh sampaikan kepada masyarakat di luar sana?

Pada mulanya saya ketawa sahaja apabila terbaca perkara ini dalam laman sosial, tetapi lama-kelamaan semakin parah. Sebelum ini saya tidak pernah mengambil tahu apabila ada kalangan rakan artis menerima nasib serupa. Namun, selepas terkena pada batang hidung sendiri, baru saya tahu ia sesuatu yang serius. Saya harap kes ini akan menjadi iktibar kepada semua orang di luar sana agar menggunakan media sosial dengan bijak. Ini adalah salah satu tanggungjawab sosial saya kepada masyarakat.

Saya sedar kebanyakan daripada mereka masih muda. Jadi jangan siakan masa muda anda dengan melakukan perkara tidak berfaedah.

Post a Comment

Previous Post Next Post