Bahagia cara Fauziah Latiff




Tempoh tiga tahun selepas tampil dengan single 'Takdir Cinta', kelibat penyanyi Fauziah Latiff dalam arena seni suara seakan-akan tenggelam seketika dek ketiadaan material baharu untuk dijual kepada peminat.

Mengharapkan tahun 2019 membawa tuah, penyanyi yang mesra disapa Jee itu kini sedang sibuk menguruskan studio tarian dan muzik miliknya tetap mencuri peluang untuk meluncurkan single terbaharu.

Menariknya, selepas lama tidak muncul dengan buah tangan terkini, pelantun lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu memilih untuk menghasilkan sebuah single rancak sebagai pemanas enjin karier nyanyiannya.

Ikuti perkembangan terkini penyanyi berusia 49 tahun itu ketika ditemui pada sesi temu ramah bersama media untuk program Mikrofon Impian baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh Fauziah kongsikan sebarang perkembangan terkini?

FAUZIAH LATIFF: Saya baru selesai menjalani penggambaran untuk program terbaharu terbitan Astro Ria berjudul Mikrofon Impian.

Dalam program itu saya berperanan selaku juri tetap di samping penyanyi kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat.

Program ini diadaptasi daripada sebuah program dari Thailand, Mic On Debt Off. Mikrofon Impian masih mengekalkan format asal iaitu untuk membantu peserta yang menghadapi masalah kewangan untuk melunaskan bebanan hutang.

Boleh kongsikan mengapa anda menerima tawaran terlibat dalam program tersebut?

Saya terus bersetuju dengan tawaran program berkenaan kerana objektifnya sangat menyentuh hati. Sepanjang mengendalikan program itu, banyak yang saya belajar terutamanya mengenal diri sendiri.

Tidak kisah siapa dan apa status kita, semuanya tentang kehidupan. Semua orang ada cabaran dan kesusahan yang perlu dihadapi dalam hidup. Tidak dinafikan mungkin akan ada orang kecam tentang format program itu tetapi lihatlah dari sudut yang jauh lebih luas.

Program tersebut bukan untuk membuka aib mana-mana peserta yang menghadapi kesukaran dalam hidup tetapi jika dinilai dari luar kotak, ada banyak kesan dan pengajaran yang dapat dipelajari.

Baiklah, selain itu apa lagi perkembangan anda?

Tiada banyak perubahan, sama sahaja seperti tahun sebelumnya. Cuma buat masa sekarang, saya sedikit sibuk menguruskan rombakan yang dilakukan terhadap studio milik saya yang diberi nama Dia Studio. Insya-Allah dalam masa terdekat akan ada pembaharuan antaranya kelas tarian dan studio muzik.


Bagaimana pula dengan karier nyanyian?

Saya memang sudah ada lagu baharu, cuma masih belum memulakan proses selanjutnya kerana syarikat yang menjalin kerjasama dengan saya sangat sibuk, jadi rakaman terpaksa ditunda seketika. Sepatutnya yang ada dalam tangan saya memang lagu balada tetapi segala keputusan mengenainya ditentukan syarikat rakaman.

Pada masa sama, saya ingin mengeluarkan lagu berentak rancak kerana rindukan kehangatan dan perasaan lagu rancak. Cuma untuk lagu genre sebegitu, saya perlu mempersiapkan diri dari sudut fizikal.

Tahun 2019 kelihatannya dimeriahkan dengan penganjuran konsert artis senior. Mungkin anda juga ada perancangan yang sama?

Ada seorang rakan industri bertanya kepada saya tentang perkara serupa. Saya cuma jawab pendek, nanti perkara ini akan dibawa berbincang.

Insya-Allah jika tiada aral dan rezeki berpihak kepada saya, mana tahu tahun ini saya betul-betul dapat laksanakan persembahan. Cuma sebenarnya, saya ada perasaan segan dan takut-takut untuk menjayakan persembahan besar.

Segan dan takut-takut? Apa yang cuba anda katakan sebenarnya?

Biasalah, perasaan itu tetap ada kepada sesiapa. Tetapi perasaan saya lebih ke arah keinginan untuk memberi semula kepada yang menyokong saya selama ini iaitu peminat. Sebenarnya, ini bukan soal mahu buat kemunculan semula tetapi tentang impak yang mampu dilakar menerusi sebarang penganjuran persembahan.

Beralih kepada kisah peribadi, mungkin ada sebarang perkembangan yang anda boleh kongsikan?

Alhamdulillah. Hidup saya sekarang baik-baik, bahagia dan terisi dengan banyak kasih sayang daripada keluarga, anak-anak dan rakan-rakan.

Kalau ditanya tentang pasangan hidup, sejujurnya saya tidak mencari dan serahkan semuanya kepada ketentuan Tuhan.

Masih banyak perkara lain boleh difikirkan selain soal itu (jodoh). Kalau diri sendiri pun tidak terurus, buat apa saya mahu bebankan orang lain pula. Jadi, lebih baik saya uruskan diri sendiri dan saya bahagia dengan apa yang saya ada sekarang.

Post a Comment

Previous Post Next Post