"Semua wang yang saya peroleh hasil nyanyian, 100 peratus diserahkan kepada ibu dan bapa," getus penyanyi muda berbakat besar, Sissy Imann seraya melontar senyuman.
Dia tampak puas dan lega. Demikian tanda apresiasi pemilik nama sebenar, Sissy Imann Mohammad Kamil, 24, kepada orang tuanya yang memberi lampu hijau mengejar impian dalam cabang muzik.
Sambung graduan Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur jurusan Sarjana Pendidikan Muzik itu, dia sangat terhutang budi kepada ibu bapanya yang selama ini banyak menyokong perjalanan kerjaya seni yang kian berputik.
“Mungkin ramai yang tidak tahu tentang hal tersebut. Kalau mereka (ibu bapa) ingin membelanjakan wang untuk kegunaan harian, mereka boleh menggunakan wang dalam akaun yang diwujudkan khas hasil pendapatan saya dalam bidang nyanyian,” terang pelantun lagu Mungkin Kamu itu.
Dedikasi
Muncul dengan single terbaharu berjudul Pesanan Ayahanda ciptaan sendiri bersama Faizal Tahir, Mike Chan, Ezra Kong dan Romeo, jelas Sissy, lagu tersebut merupakan dedikasi buat si bapa yang sangat mendukung aspirasinya dalam bidang muzik sejak kecil.
“Single kali ini amat istimewa kerana begitu dekat dengan diri saya. Maksud saya, ada cerita di sebalik karya yang dikongsikan kepada pendengar. Lebih bermakna kerana berkisar tentang ayahanda dan bonda saya.
“Bapa saya sama seperti bapa orang lain. Protective namun pada masa yang sama memberi ruang yang secukupnya kepada saya untuk mengenali erti kehidupan.
“Sebagai seorang bapa, saya yakin dia khuatir untuk melepaskan saya sendirian. Sebab itu, kalau anda perasan ke mana sahaja saya pergi buat persembahan, dia akan ada bersama saya,” kata Sissy.
Menafikan dikongkong, anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu percaya segala larangan atau undang-undang yang diwujudkan bapanya adalah untuk kebaikan dirinya.
“Saya sangat rapat dengan ayahanda (panggilan untuk bapanya). Ke mana sahaja saya pergi, dia akan ada bersama dan saya tidak pernah rimas, sebaliknya berasa lebih selamat.
“Sebenarnya, ayahanda takut tidak dapat menghabiskan masa secukupnya bersama saya seperti ketika dia bersama arwah atuk dahulu. Dipendekkan cerita, dia hanya dapat menghabiskan banyak masa bersama atuk waktu atuk meninggal dunia.
“Apabila sudah memiliki keluarga sendiri, ayahanda tidak mahu perkara yang sama berulang sehingga sanggup berhenti kerja tetap dan banyak melakukan kerja dari rumah sejak saya berusia lapan tahun,” jelas Sissy panjang lebar.
Syarat
Diusik pertanyaan bagaimana pula dengan cinta pada masa akan datang, adakah melalui keputusan bapa atau diri sendiri, ujar Sissy, sama ada dirinya atau orang tua, kedua-dua pihak mempunyai syarat yang tersendiri untuk dipersetujui bersama.
“Bercakap tentang kawan lelaki, selalunya ayahanda tidak akan reject (halang) kami berkawan, tetapi saya yang tidak mahu (ketawa). Tiadalah begitu, saya bergurau sahaja. Ayahanda sentiasa memberikan nasihat yang berguna.
“Sudah menjadi budaya buat saya kalau ingin melepak bersama kawan lelaki atau perempuan, saya lebih selesa membawa mereka ke rumah. Senang kalau orang tua sudah kenal dengan siapa saya berkawan.
“Kalau ingin keluar berdua-duaan dengan kawan lelaki pun, untuk pertemuan pertama, saya akan bawa keluarga bersama. Macam itulah, ingin berkawan dengan saya perlu biasakan dengan cara keluarga saya berfungsi,” kongsinya.
Menjawab dakwaan bahawa bapanya tidak bersedia untuk melepaskan dirinya ke tangan lelaki lain sekali gus merumitkan urusan cintanya, jawab Sissy: “Tidaklah sampai ke tahap begitu. Ayahanda bukan sampai menghalang untuk saya berkawan dengan lelaki. Mungkin buat masa sekarang belum ada lagi lelaki yang benar-benar serius untuk mengenali saya.”
Guru muzik, lakonan
Beralih tentang statusnya sebagai guru muzik, kata Sissy, dia tetap akan berkhidmat sebagai guru muzik apabila sampai waktunya kelak. Cemerlang meraih Ijazah Sarjana Muda Perguruan Kelas Pertama, dia tidak akan mensia-siakan ilmu yang dipelajari.
“Sekarang saya akan tumpukan perhatian terhadap nyanyian dahulu namun saya tetap akan mengajar suatu hari nanti.
“Buat masa ini, banyak perkara yang saya ingin lakukan namun tidak cukup masa. Walau apa pun, saya tetap akan mengajar kerana pengajian saya dahulu ditaja kerajaan dan saya perlu bayar balik,” ujarnya yang memperoleh keputusan cemerlang dengan himpunan purata nilai gred (CGPA) 3.85.
Sedikit tentang kerjaya lakonannya yang mula berkembang, Sissy baru-baru ini muncul dengan drama romantik komedi berjudul Misi Penculikan Cinta. Menurutnya, dia sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baharu.
“Pertama kali berlakon dan saya tidak tahu apa boleh dijangka. Banyak lagi perkara yang boleh diperbaiki.
“Selagi belum mencuba, saya tidak tahu sama ada orang suka atau benci. Apa yang saya boleh buat adalah dalam setiap perkara yang dilakukan, saya akan cuba jadi lebih baik berbanding semalam,” ungkap Sissy menggulung perbualan.
Muncul dengan single baharu berjudul Pesanan Ayahanda, penyanyi serba boleh, Sissy Iman mendedahkan, semua wang hasil pendapatan kerjaya nyanyiannya disalurkan ke akaun orang tuanya sebagai tanda membalas jasa baik mereka membesarkan dirinya.