Altimet tutup buku




Landskap industri hiburan di Malaysia jarang memperlihatkan penganjuran konsert berskala mega oleh penyanyi rap atau pemuzik genre hip-hop.

Jika ada sekali pun, kelompok penyanyi yang dilabel sesetengah pihak sebagai penghibur bertaraf urban tersebut hanya dijemput untuk memeriahkan majlis anugerah atau sekadar menyanyi mengisi acara-acara hiburan.

Situasi sebegitu mungkin disebabkan pendirian dan kurangnya keyakinan penganjur untuk menjual muzik sedemikian, tambahan pula khalayak pemuja muzik hip-hop tempatan tidak seramai pencinta muzik pop, balada atau genre yang lain.

Bagaimanapun, pemilik nama yang begitu ikonik dengan muzik rap tanah air, Altimet tidak pernah memandang stigma tersebut sebagai perkara serius.

Percaya pada kekuatan muzik dan populariti lagu-lagu nukilannya, lelaki dengan nama lengkap Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad itu muncul dengan konsert berskala besar yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Istimewanya, konsert yang diberi judul The Last Altimet Show tersebut merupakan persembahan terakhir Altimet sebelum dengan secara rasminya mengambil keputusan mengundurkan diri daripada bidang nyanyian selepas memasuki usia 40 tahun pada 27 November lalu.

Mengakui The Last Altimet Show sepatutnya dianjurkan pada hari lahirnya, Altimet menegaskan, hasrat tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana mahu fokus terhadap album studio terakhir berjudul O.

Anjak

“Pada awalnya, memang saya mahu menutup karier nyanyian lebih awal. Tetapi, dalam masa yang sama, saya mahu melancarkan album terakhir, O pada Disember.

“Saya tidak mahu berkompromi soal kualiti. Jika saya mahu album dan konsert berjalan serentak, pasti hasilnya tidak memuaskan hati.

“Jadi, saya terpaksa tangguhkan dahulu konsert sehingga Februari dan beri fokus sepenuhnya terhadap album,” ujarnya.

Ditanya, apakah yang akan dilakukan selepas tidak lagi menyanyi, Altimet menjelaskan, dia masih terlibat dalam bidang muzik. Cuma, penglibatannya tertumpu terhadap aktiviti belakang tabir.

“Ramai yang menganggap saya akan bersara terus daripada bidang muzik. Namun, anggapan tersebut tidak benar sama sekali.

“Saya masih menulis lirik dan mencipta lagu. Cuma, saya tidak akan menyanyi di atas pentas. Setakat menyanyi dalam kereta dan bilik air, bolehlah,” katanya berseloroh.

Biarpun tidak lagi menyandang predikat sebagai penyanyi, Altimet masih terbuka untuk meneruskan karier seninya sebagai seorang pelakon.

“Saya hanya berhenti menyanyi. Tetapi, bidang seni lain masih luas diterokai. Contoh terdekat saya akan kembali ke pentas Istana Budaya menerusi teater OlaBola The Musical musim kedua bermula Isnin lalu,” katanya lagi.

Meriah

Mengimbas kembali perjalanan The Last Altimet Show, seramai 4,000 penonton yang hadir pada malam tersebut dihiburkan dengan 30 lagu popular Altimet.

Dibuka dengan single utama daripada album O, iaitu Bersamamu, Altimet terus mengocak adrenalin penonton dengan lagu-lagu seperti Hello yang menampilkan bersama Trisno, Chantek (menampilkan Adeep), Muda (menampilkan Kidd Santhe) serta Aku dan Seru.

Seterusnya, penonton dihidangkan dengan lagu Pendekar Pena yang menampilkan penyanyi rap Zizi Kirana. Tidak seperti kebiasaan, Zizi yang selalunya dikenali dengan imej santai tampil anggun menggayakan persalinan kebaya serta bersanggul.

Pentas terus dipanaskan dengan lagu Mambang sebelum Altimet menjemput Joe Flizzow dan SonaOne untuk mendendangkan lagu Havoc dan Sang Saka Biru.

Bagi yang menggemari sisi tenang Altimet, pastinya berpuas hati dengan segmen melankolik yang menampilkan lagu Aku Tahu bersama Tomok dan Selamat Pagi (Ila Damiaa).

Tidak ketinggalan, Altimet turut mempersembahkan lagu Kalau Aku Kaya bersama Awi Rafael.

Mempunyai rekod tersendiri, Kalau Aku Kaya merupakan lagu hip-hop pertama yang diangkat dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) dan berjaya meraih tempat ketiga pada AJL28.

Seterusnya, Altimet mendendangkan Syukur sebelum menutup pentas dengan lagu Amboi, Bunga dan Orang Biasa.

Ditanya mengenai komitmen rakan-rakan artis yang turut sama menjayakan konsert tersebut, Altimet menjelaskan, tiada seorang pun yang bertanya soal bayaran.

“Saya berasa sangat bersyukur kerana apa yang dirancang selama ini berjaya. Sejujurnya, saya berasa sangat terharu dengan komitmen yang diberikan oleh rakan-rakan artis.

“Tentulah, saya mahu memberi mereka token (wang saguhati) sebagai bayaran. Namun, mereka menolak. Saya berasa sangat terharu,” katanya menutup perbualan.

Altimet menutup babak penghabisannya sebagai penyanyi menerusi konsert terakhir, The Last Altimet Show yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post