Farid Kamil Saya penat turun naik mahkamah




Sekitar setahun lalu industri hiburan negara dikejutkan dengan penahanan reman aktor, Datuk Farid Kamil.

Dia berdepan empat tuduhan iaitu mendatangkan kecederaan kepada orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Farid yang membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, bagaimanapun terpaksa melalui pengalaman pahit meringkuk di dalam lokap bagi membantu siasatan.

Landskap kehidupan pemilik nama sebenar Farid Kamil Zahari, 38, nyata berubah selepas dirinya dihantui kesemua kes berkenaan.

Bukan sahaja terpaksa menangguhkan hasrat untuk menyambung pengajian bersama isteri ke luar negara, Farid juga perlu komited untuk menghadiri mahkamah apabila perbicaraan bermula kelak.

Tanpa berselindung mengakui pengalaman tersebut merupakan sebahagian daripada memori hitam dalam hidupnya, suami kepada aktres Diana Danielle itu meluahkan segala yang terbuku sepanjang melalui pengalaman perit dalam hidupnya.

Bolehkah Farid kongsikan projek terkini selepas kali terakhir muncul dengan filem Tombiruo: Penunggu Rimba kira-kira dua tahun yang lalu?

FARID KAMIL: Alhamdulillah, saya sekarang sibuk menjalani penggambaran sebuah filem arahan seorang pengarah dari India yang ingin kenali sebagai Roy.

Filem itu berkisarkan kisah pemburuan haiwan mitos di Nusantara iaitu mawas. Turut terbabit dalam pembikinan filem ini ialah Reen Rahim. Penggambaran dilakukan dalam negara sahaja.

Hampir dua tahun tanpa sebarang produk baharu, apakah yang membuatkan anda terbuka hati menerima naskhah berkenaan?

Pada pendapat saya, filem ini sangat menarik kerana mengangkat haiwan mitos sebagai penggerak jalan cerita. Sewaktu menerima tawaran ini saya teringin membawakan watak sebagai mawas.

Bagaimanapun produksi memberi tanggungjawab kepada saya untuk membawakan watak sebagai pemburu. Seorang pelakon telah diberi kepercayaan untuk membawa watak mawas dan kostum khas telah ditempah untuk menjayakan karakter itu.

Percaya atau tidak, sehingga hari ini saya tidak pernah melihat wajah sebenar pelakon di sebalik kostum mawas berkenaan. Apa yang saya boleh kongsikan pelakon itu lebih tinggi daripada saya.

Bilakah filem berkenaan akan dapat ditonton peminat?

Filem ini akan mengambil proses yang agak lama. Pada tahun ini kami hanya menumpukan perhatian terhadap penggambaran dan proses produksi. Saya berharap peminat bersabar.

Setelah setahun dihambat kontroversi dan berdepan perbicaraan, bagaimanakah kehidupan anda pada ketika ini?

(Sambil melepaskan hela panjang). Sukar untuk saya lupakan perkara yang terjadi dalam hidup saya. Saya yakin tidak akan pernah melupakan pengalaman pahit itu selagi hidup.

Bagaimana proses pendakwaan mahkamah pada ketika ini?

Sekarang saya masih dalam perbicaraan. Kami telah memohon penangguhan tarikh memandangkan peguam bela yang mewakili saya dalam kes ini masih belum sembuh (selepas mengalami kemalangan). Saya amat berharap proses perbicaraan berjalan dengan lancar.

Saya terlalu penat untuk melalui proses naik turun mahkamah. Malah, akibat kes ini banyak urusan peribadi dan kerjaya seni telah tergendala. Seperti ramai sedia maklum, saya dan Diana merancang untuk menyambung pengajian ke luar negara. Agenda ini akan tergendala sehingga proses perbicaraan selesai.

Sekiranya gagal untuk mendapatkan pasport, saya terpaksa membenarkan Diana sahaja ke luar negara untuk meneruskan pengajian

Mengulas mengenai menyambung pengajian ke luar negara, difahamkan kalian bercadang ke Los Angeles, Amerika Syarikat, adakah perancangan tersebut akan diteruskan?

Setelah membuat pertimbangan daripada pelbagai sudut terutama kos dan persekitaran, kami membuat keputusan untuk menyambung pengajian di Australia.

Kami telah mengenal pasti sebuah akademi seni di Gold Coast. Setakat ini, kami belum mempunyai tarikh khusus. Semuanya bergantung juga dengan permohonan saya untuk mendapatkan pasport yang masih ditahan.

Post a Comment

Previous Post Next Post