Sarah mahu jumpa Misha




Sarah merancang untuk bertemu dengan Misha bagi berbincang mengenai isu masalah yang terbit di antara peminat.

Penyanyi Siti Sarah Raisuddin, 35, merancang bertemu secara empat mata dengan Misha Omar bagi berbincang mengenai isu peminatnya yang didakwa memfitnah pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33) itu menggunakan ilmu hitam bagi memenangi pertandingan tersebut.

Menurut penyanyi lagu Semakin itu, dia merancang berbuat demikian kerana menganggap isu berkenaan sebagai masalah yang terbit antara peminat.

“Sejujurnya, saya tidak mengetahui hal ini sehinggalah sehari sebelum Misha Omar melangsungkan sidang akhbar.

“Apapun, saya tetap akan berjumpa dengannya secara empat mata dan berbincang lanjut mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Baru-baru ini, beberapa peminat Sarah dikatakan menabur fitnah dengan mengatakan Misha Omar menggunakan ilmu hitam untuk memenangi AJL33 di media sosial.

Tidak tahan dituduh sedemikian, Misha kemudiannya membuat laporan polis dan memberi masa selama tujuh hari kepada penabut fitnah untuk membuat permohonan maaf.

Sehubungan dengan itu, dua daripada penyebar fitnah yang dikenali sebagai Zahar Bubu dan Tengku Muda tampil membuat permohonan maaf sehari selepas amaran dikeluarkan.

Ditanya mengenai permohonan maaf yang dilakukan, Sarah memuji tindakan kedua-dua peminatnya.

“Permohonan maaf tersebut merupakan satu perkara yang sangat indah, baik pemohon, mahupun pihak yang memaafkan,” ujarnya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post