Shuib nafi Semakin dibeli atau diciplak




Penulis dan komposer lirik lagu Semakin, Shuib membidas kenyataan beberapa pihak yang mendakwa lagu sulung ciptaannya itu tidak mempunyai keaslian.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 35, mengakui susunan muzik berkenaan hampir menyerupai lagu Matahariku nyanyian Agnes Monica, namun tidak bersetuju apabila lagu itu dikaitkan dengan isu menciplak dan membeli karya.

Dedah Shuib yang menggunakan nama pena Mera Utama dalam lagu berkenaan, Semakin mempunyai lima versi susunan muzik sebelum dirakam dan diterbitkan.

"Apabila ada orang cakap Semakin tidak mempunyai keaslian, saya tidak terima sebulatnya pendapat itu.

"Sebelum proses rakaman bermula, kita mempunyai pelbagai versi susunan lagu, sehinggalah Siti Sarah (Siti Sarah Raisuddin) menyerahkan lagu Matahariku sebagai rujukan. Saya rasa kesilapan adalah di peringkat susunan muzik terakhir yang menjadikan Matahariku sebagai rujukan," katanya ketika ditemui di Majlis Doa Selamat Hot FM dan Kool FM di sini semalam.

Menurut pelawak yang kini penyampai Hot FM itu, apabila lagu berkenaan layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) pada 3 Februari lalu, mereka bertungkus-lumus mengubah susunan muzik secara keseluruhan.

Bagaimanapun, Semakin yang mendapat skor lagu terbaik di peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik ke-33 gagal mendapatkan sebarang anugerah pada malam penganjuran AJL33.

"Saya tidak kecewa dan menganggap kegagalan itu bukan rezeki kami. Saya akan terus berkarya dan kembali ke pentas AJL," katanya penuh yakin.

Siti Sarah yang juga isteri kepada Shuib julung kali bersaing di pentas AJL33. Lagu mereka iaitu Semakin dikaitkan dengan isu membeli dan menciplak susunan muzik Matahariku selepas tamat AJL33.

Terdahulu, Pengurus kepada penyanyi Siti Sarah, Nana Mohamad Rom telah menafikan dakwaan menciplak atau membeli lagu sebaliknya Matahariku dijadikan rujukan ketika proses rakaman Semakin dilakukan. -

Post a Comment

Previous Post Next Post