Perbadanan Putrajaya (PPJ) telah mengumumkan kadar caj baru untuk permohonan menjalani penggambaran di Putrajaya bermula 1 Januari 2018.
Kadar yang ditetapkan untuk setiap penggambaran yang dilakukan di kawasan platinum yang meliputi kawasan core Island dan siar kaki PPJ ialah RM5,000, sementara untuk kawasan-kawasan lain pula adalah RM2,000 untuk tempoh 24 jam.
Penggambaran yang dimaksudkan termasuklah untuk iklan, drama, filem, dokumentari, video klip dan lain-lain sama ada untuk siaran tempatan mahupun luar negara.
Penetapan kadar baru ini telah mendapat pelbagai reaksi daripada penggiat seni terutamanya pihak produksi yang mengganggap ia adalah tinggi dan membebankan produksi tempatan.
Ini adalah kerana peningkatan caj tersebut akan ditanggung pihak penerbit yang pastinya akan meningkatkan perbelanjaan produksi, sedangkan kadar bayaran yang diterima dari stesen TV masih lagi sama untuk sesebuah penerbitan.
Penerbit, pengarah dan pelakon, Erma Fatima turut meluahkan kekesalannya menerusi status yang dimuat naik di Instagram miliknya beberapa hari lalu.
“Sebab itulah production Malaysia tak shoot kat Putrajaya sebab tak ada budget. Untuk pengetahuan Perbadanan Putrajaya, RM5,000 tu budget set dan props untuk 1 telemovie. Produser Malaysia tak untung banyak mana pun buat drama ni. Sedih… macamana nak promote keindahan lokasi negara sendiri kalau tak mampu,” kata Erma beserta #shootmasjidpunkenabyrskrg.
Ada benarnya apa yang dikatakan Erma kerana penggambaran yang dilakukan di sesuatu tempat itu sebenarnya turut berperanan untuk mempromosikan lokasi terbabit secara tidak langsung.
Jika caj yang dikenakan terlalu tinggi, mungkin selepas ini makin ramai penerbit yang beralih ke lokasi luar untuk membuat penggambaran.