Syafiq Kyle sedia dikecam kerana Nur 2




Pelakon Syafiq Kyle mengakui langsung tidak akan mengendahkan dan bersedia berdepan kecaman yang bakal diterimanya kelak menerusi drama bersiri Nur 2. Mengikut perancangan, naskhah kesinambungan Nur yang pernah mencetuskan fenomena pada tahun lalu tersebut akan ditayangkan pada pertengahan Mac depan.

Menurut Syafiq, karya arahan Shahrulezad Mohameddin atau Ezad itu mengandungi banyak babak panas melibatkan karakter lakonannya, Ustaz Adam dengan watak seorang pelacur muda bernama Juita lakonan Azar Azmi.

Syafiq bagaimanapun percaya, di sebalik kecaman yang bakal diterimanya kelak, peminat akan lebih mengagumi sikap Ustaz Adam sama seperti ketika mereka menonton siri Nur yang ditayangkan pada Ramadan tahun lalu.

Ikuti penjelasan daripada pelakon drama Mencintaimu Mr. Photographer itu ketika ditemui pada majlis pelancaran klip video lagu Semakin nyanyian Siti Sarah di Redbox The Gardens baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh Syafiq kongsikan mengenai penglibatan anda dalam klip video Semakin?

SYAFIQ KYLE: Alhamdulillah, saya sangat gembira kerana ini merupakan kali pertama saya berpeluang berlakon dalam klip video. Sebelum ini memang banyak terima tawaran, tetapi disebabkan jadual kerja yang padat membuatkan saya terpaksa tolak. Cuma untuk klip video Semakin, saya rasa faktornya adalah tawaran itu datang pada waktu tepat.

Baiklah, boleh kongsikan tentang perkembangan penggambaran drama Nur 2 setakat ini?

Kami sudah pun memulakan penggambaran Nur 2 baru-baru ini. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar kerana kami semua sudah umpama sebuah keluarga. Saya akui, Nur ada jiwa yang susah untuk saya tinggalkan. Jadi faktor-faktor inilah yang membuatkan drama ini mampu melonjak dan mendapat tempat tersendiri dalam hati khalayak.

Bagaimana pula percaturan watak Ustaz Adam dan Juita dalam Nur 2?

Dalam Nur 2, ada banyak babak panas membabitkan saya dengan Juita. Ia lebih daripada sekadar babak ranjang di atas katil, cuma dirakam dalam pelbagai bentuk. Kalau mahu tahu, tunggulah nanti sehingga ditayangkan. Saya sangat teruja dengan Nur 2 kerana lakon layarnya kali ini jauh lebih bijak dan skripnya juga sangat bagus. Saya kagum dengan pengarah (Ezad) kerana penyampaiannya sangat kreatif dan bijak.

Adakah anda bersedia dengan kecaman penonton kerana berani melakonkan babak panas sebegitu?

Sebagai pelakon, saya perlu memberi yang terbaik dalam lakonan supaya memberi impak kepada penonton. Jadi saya tidak kisah andai menerima kecaman. Kalau nanti saya dikecam akibat babak bersama Juita, mungkin dalam babak lain mereka akan berasa tertampar sama seperti dalam Nur. Jika diimbas dalam Nur, itulah cerita yang memaparkan sikap mereka sendiri. Seperti contoh kita ambil watak Ustaz Hamidi dan Aishah. Inilah yang saya maksudkan pengisian tepat kerana kemunculan watak itu betul-betul menyentuh naluri penonton disebabkan berkaitan dengan masyarakat sekeliling.

Adakah anda berasa tertekan untuk mengekalkan momentum yang diraih ketika menjayakan Nur pada tahun lepas?

Sejujurnya saya tidak pernah terfikir akan soal itu. Sebab sewaktu membintangi Nur, saya tidak fikir pun naskhah itu akan diterima sebegitu rupa. Saya tidak meletakkan sebarang jangkaan atau harapan, bimbang tidak akan menjadi. Sebab itu saya hanya mampu memberikan yang terbaik untuk Nur 2.

Apa pula komen anda tentang watak Juita yang dijayakan Azar Azmi?

Saya rasa Azar mampu menyerlah menerusi watak Juita kerana karakter itu sangat menarik.

Ketika melihat skrip, saya dapat lihat impak yang ada pada watak itu. Saya percaya watak itu mampu melonjakkan namanya dalam industri. Sebab itu saya setuju jika Nelydia Senrose terpaksa menolak watak ini kerana ia terlampau panas. Memandangkan dia juga baru sahaja pulang dari mengerjakan ibadat umrah.

Post a Comment

Previous Post Next Post