Disifatkan sebagai seorang yang keperibadian mesra dan mudah didekati, itu antara kelebihan penyanyi popular, Khai Bahar. Bukan sekadar mempunyai pengaruh kuat, dia juga disenangi bukan sahaja peminat di Malaysia bahkan di negara jiran seperti Indonesia.
Selain graf kerjaya yang meledak hanya dalam tempoh kurang tiga tahun selepas debut menerusi single Bayang pada 2016, Khai dilihat antara penyanyi muda yang menjadi pelapis berkualiti dalam industri.
Di sebalik kejayaan karier, rezeki Khai tidak terbatas dalam bidang nyanyian. Terkini, dia dilantik menjadi ikon bagi agensi umrah Raza Holdings Sdn. Bhd. Terdahulu, Khai pernah menyertai misi bantuan kemanusiaan anjuran Syria Care.
Atas sebab itulah nama Khai kerap dikaitkan dengan program-program amal sehingga ada peminat yang melabelkan dirinya dengan gelaran ustaz.
Ditebak dengan dakwaan tersebut, pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin, 25, secara berhemah mohon pengertian ramai. Pinta Khai, usahlah kelibatnya yang jauh daripada kesempurnaan itu diberikan gelaran sebegitu mulia.
Pada hematnya, perkara sebegitu kelak akan memburukkan keadaan andai suatu hari nanti dia tersilap langkah dalam mencatur kehidupan.
“Kalau boleh, saya tida mahu peminat menggelarkan saya sebagai ustaz. Saya tidak mahu timbul sebarang salah faham pada masa akan datang. Seperti contoh, jika saya tersilap langkah dan melakukan kesalahan, kesannya bukan kepada saya sahaja bahkan mungkin orang akan dikaitkan dengan gelaran itu juga.
“Lagipun bagi saya, untuk berbuat perkara baik tidak perlu menjadi ustaz atau ustazah pun. Semua orang boleh buat baik pada bila-bila masa dan dengan apa cara sekali pun. Saya melakukan semua kerja ini sebagai seorang manusia, bukannya untuk mendapatkan apa-apa gelaran,” ujarnya saat ditemui pada sidang akhbar pelantikan dirinya sebagai ikon agensi umrah syarikat Raza Holdings Sdn. Bhd. di Restoran Rebung, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Perbetulkan niat
Khai dan penyanyi daripada kumpulan Rabbani, Azadan Abd. Aziz yang turut dilantik sebagai ikon umrah syarikat berkenaan akan berangkat ke Tanah Suci pada 2 hingga 13 Mei depan.
Anak jati Kampung Padang Katong, Kangar, Perlis itu membuat perancangan mahu membawa bersama kedua-dua orang tuanya ke sana selepas kali pertama berpeluang mengerjakan ibadah umrah pada hujung 2017. Bagaimanapun, perancangan tersebut bergantung pada keadaan kesihatan mereka.
“Ibu saya memang teringin mahu berkunjung lagi ke Tanah Suci, cuma setakat ini tidak dapat dipastikan memandangkan keadaan kesihatannya tidak begitu mengizinkan.
“Kalau boleh, memang saya mahu bersama-sama dengan mereka sekali lagi ke Tanah Suci, tetapi jika perancangan ini tidak menjadi, saya akan ke sana dengan ditemani pengurus sahaja,” ujarnya.
Projek umrah tersebut menyasarkan seramai 120 orang peserta dan kelompok sasaran adalah dalam kalangan peminat Khai sendiri.
Memandangkan projek tersebut menyasarkan kelompok peminat, maka tidak mustahil akan berlakunya isu-isu berbangkit.
Antara perkara paling utama menjadi persoalan, adakah peminat yang menyertai umrah tersebut nanti tidak terganggu niat mereka sama ada beribadah atau sekadar cuma mahu mendekati Khai secara lebih rapat.
Sedar risiko-risiko sebegitu bakal menimbulkan sesuatu yang tidak molek masa akan datang, Khai terlebih dahulu meminta peminatnya agar memperbetulkan niat sebelum menyertai projek umrah tersebut.
Pemenang anugerah Penyanyi Lelaki Popular dua tahun berturut-turut menerusi Anugerah Bintang Popular ke-30 dan 31 itu yakin peminat sangat bijak untuk berfikir tentang sesuatu perkara sama ada positif mahupun negatif.
“Perkara sebegini kalau tidak dijelaskan pun, saya sangat yakin peminat boleh fikir sendiri. Ini bukanlah satu projek percutian dengan tujuan suka-suka.
“Sebaliknya kedatangan ke Tanah Suci adalah untuk beribadah, ditambah lagi waktu itu adalah pada bulan Ramadan. Jadi inilah peluang untuk fokus menunaikan ibadah dengan penuh komitmen. Saya yakin peminat dapat menilai perkara ini dengan baik,” kata Khai.
Perbaiki kelemahan
Beralih tentang perkembangan karier, Khai yang bakal berentap di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33) pada 3 Februari nanti mengakui, berasa gementar untuk memberikan yang terbaik.
Namun, dia mengambil peluang beraksi kali ini bagi menebus kesilapan yang pernah dilakukan sewaktu pertama kali menyertai AJL bagi edisi ke-32 pada tahun lalu.
Predikat menebus kesilapan menurut Khai adalah dari segi persembahan pada edisi tersebut yang disifatkannya kurang memuaskan.
Pada AJL32, Khai mempertaruhkan single Bayang, ciptaan Harry Khalifah yang sekali gus memperkenalkan namanya dalam industri.
“Untuk AJL kali ini, saya tidak meletakkan jangkaan untuk menang. Sejujurnya, saya hanya mahu memberikan yang terbaik untuk persembahan kerana tidak mahu mengulangi kesilapan lama.
“Setahun lalu ketika menyertai AJL32 buat kali pertama, saya tiada pengalaman beraksi di atas pentas besar sebegitu.
“Jadi, banyak kelemahan yang saya nampak terutamanya dari segi persembahan.
“Saya akui agak sedih kerana tidak mencapai tahap persembahan berkualiti. Apabila sekali lagi berjaya lolos ke pentas AJL tahun ini, saya ambil kisah lama sebagai pengajaran dan pengalaman untuk membaiki kekurangan,” ujarnya yang mahu memberi fokus 100 peratus terhadap persembahan.
Demi kelangsungan persiapan AJL dan masa akan datang, Khai mengambil inisiatif memantapkan vokalnya dengan mengambil kelas bersama rakan penyanyi, Ernie Zakri.
Ditanya tentang kehangatan pentas AJL33 kali ini yang kembali memperlihatkan kehadiran nama-nama penyanyi senior sehingga dikatakan mampu menenggelamkan golongan penyanyi baharu yang digelar ‘budak-budak baru nak up’ atau BBNU, Khai ada pandangan tersendiri.
Baginya, situasi sebegitu akan memberikan lebih pengalaman buat penyanyi seperti dirinya.
“Sebagai pendatang baharu, saya sangat berterima kasih kerana diberi peluang untuk beraksi di atas pentas besar seperti AJL.
“Apabila tahun ini memperlihatkan kemunculan semula penyanyi senior seperti Misha Omar, Siti Sarah, Siti Nordiana dan Jaclyn Victor, saya jadikan suasana itu sebagai pengalaman paling berharga dalam karier.
“Tidak timbul soal menenggelamkan sesiapa kerana bagi saya, ini adalah persaingan sihat. Setiap finalis ada kelebihan tersendiri,” ujarnya yang tetap berasa gementar meskipun ini merupakan tahun keduanya menyertai AJL.
Biarpun sering menyertai pelbagai program dan aktiviti berkonsep amal seperti Syria Care dan terkini dilantik menjadi ikon agensi umrah, penyanyi Khai Bahar bagaimanapun enggan peminat melabelkan dirinya sebagai ustaz atau orang alim.