Sekitar setahun lalu, nama pelakon Syazwan Zulkifly timbul tenggelam sehinggalah kelibatnya tidak lagi muncul menerusi drama bersiri dalam mana-mana siaran televisyen. Hanya sesekali wajahnya terselit dalam naskhah telefilem, itu pun tidak begitu disedari malah ada peminat menyangkakan kariernya sudah berkubur.
Hakikatnya, setahun lalu adalah tempoh yang paling mencabar buat pelakon berusia 32 tahun itu. Dia langsung tidak menerima tawaran berlakon untuk drama bersiri dan hanya dilamar untuk membintangi telefilem dengan watak kurang menonjol.
Ironi, dalam tempoh tersebut, jadual kariernya sempat dikelola oleh syarikat pengurusan MindOrder Management selama tujuh bulan sebelum Syazwan mengambil keputusan mengundurkan diri atas alasan peribadi.
“Saya sendiri tidak pasti di mana silapnya sehinggakan langsung tiada tawaran masuk. Yang ada cuma telefilem. Sebab itu orang fikir saya sudah tidak berlakon.
“Tidak pastilah juga kalau puncanya adalah disebabkan ada kata-kata yang mendakwa susah bekerja dengan saya. Sebab selama ini pun, saya banyak bekerja dengan pihak yang sama dan mereka tidak pernah pun berkata begitu,” katanya membuka cerita ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.
Bagaimanapun, semua itu sudah menjadi kisah lama dan tidak perlu lagi dicanang secara berlebihan. Tutup cerita lama, kini buku baharunya terisi dengan kisah terkininya yang sedang hangat menerusi tayangan drama bersiri Pujaan Hati Kanda.
Memegang watak antagonis bernama Pali, kehadiran pelakon filem Laga itu dalam naskhah arahan Eoon Shuhaini tersebut boleh diibaratkan sebagai kemunculan semula yang begitu cemerlang. Namanya menjadi sebutan dan setiap hari ada sahaja onar Pali menjadi buah mulut peminat tegar drama Melayu.
“Sejujurnya saya tidak tahu untuk membuat ulasan tentang istilah kemunculan semula. Selama ini pun saya tidak pernah menghilang. Saya ada dalam industri dan tetap berlakon seperti biasa.
“Mungkin kerana sudah lama orang tidak tengok muka saya keluar dalam drama panjang di kaca televisyen seperti sekarang. Jadi, mereka menganggap saya hilang. Hakikatnya saya sentiasa ada,” jelas Syazwan.
Penangan Pali
Mengulas tentang penerimaan peminat yang rata-ratanya memberi komen positif terhadap watak Pali, Syazwan mengukir senyum tanda puas dan bersyukur kerana drama tersebut membawanya keluar dari zon sukar setelah setahun tidak muncul dalam drama bersiri.
Karakter jahat dan nakal Pali diterjemahkan sempurna oleh pelakon yang terkenal dengan watak Apek dalam siri Juvana itu sehingga mengundang kebencian dalam kalangan penonton.
Kuasa tular dan pengaruh media sosial banyak membantu ‘perbincangan berjemaah’ peminat apabila tercetusnya fenomena tanda pagar #kecampali di Twitter dan Instagram sehingga menduduki carta sohor kini dalam platform tersebut.
“Saya patut berterima kasih kepada rakan pelakon Mira Filzah kerana dialah yang memulakan tanda pagar #kecampali dalam laman sosial sehingga menjadi fenomena,” katanya teruja.
Biarpun tidak pernah meletakkan sebarang jangkaan untuk watak tersebut diterima sehebat sekarang, sebagai seorang pelakon, Syazwan melaksanakan tanggungjawab dan cuba menjanjikan yang terbaik dalam setiap kerja lakonnya.
Selain permintaan daripada Eoon (pengarah) agar Pali diwarnakan berbeza berbanding watak-watak jahat terdahulu yang pernah dibawakan Syazwan, hasil yang dipersembahkan ke mata penonton adalah hasil usahanya sendiri mencorakkan perjalanan karakter berkenaan.
“Sebenarnya Pali tidak lari jauh daripada watak lelaki jahat lain iaitu sangat obses dengan wanita disukainya.
Cuma dalam skrip, watak itu tidak dilakarkan dengan unsur komedi. Jadi, dari situ saya suntikan kelainan dengan menjadikan Pali seorang yang gila-gila dan kelakar pada satu masa.
“Contohnya perangai tidak masuk akal Pali seperti bercakap dengan besi dan pokok. Tambahan pula, watak Pali hanya terlibat dalam 74 babak daripada jumlah keseluruhan 28 episod drama. Bagi saya, ia sangat sedikit untuk seorang pelakon.
“Itu yang membuatkan saya perlu bekerja keras bagi memastikan watak ini bukan sekadar penyendal untuk memenuhi syarat wujudnya orang jahat dalam mana-mana kisah cinta hero dan heroin,” katanya yang sepatutnya perlu berdialog dalam bahasa Perak untuk watak Pali.
Digam Astro?
Terheret berbicara kisah tiga tahun lalu, kehangatan kontroversi kes pukul yang membabitkan nama pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu dengan bekas kekasihnya Shenty Feliziana, masih berbekas sehingga ke hari ini.
Sebagai bukti, namanya masih tidak diterima masuk dalam senarai pelakon untuk membintangi mana-mana naskhah terbitan stesen televisyen berbayar Astro.
Bertabah dalam kesal, Syazwan sedikit ralat sedangkan pada hemahnya, dia tidak pernah bermasalah dengan stesen berkenaan
“Saya pernah suarakan isu ini kepada Persatuan Seniman Malaysia dan hasilnya pihak Astro sudah beri kenyataan tidak pernah gam saya daripada membintangi mana-mana drama terbitan mereka.
“Sedangkan perkara ini saya tahu daripada produksi sendiri. Bukan satu atau dua, tetapi tiga produksi yang memberi alasan serupa. Jadi, itu menjadi bukti bahawa saya tidak serkap jarang dalam hal ini.
“Cuma saya kecewa sebab kes itu sudah lama berlalu dan Shenty juga sudah tidak bekerja di sana tetapi sampai sekarang hal ini masih belum selesai. Apa yang saya paling dikesalkan, mereka melebihkan orang luar berbanding pelakon macam saya yang sememangnya orang Malaysia,” luahnya.
Mengharapkan sinar tahun baru dan enggan lagi namanya dikaitkan dengan kisah lampau, Syazwan sentiasa terbuka andainya khidmatnya diperlukan mana-mana stesen televisyen termasuk Astro.
Penangan watak Pali dalam drama Pujaan Hati Kanda mengundang kebencian khalayak terhadap pelakon Syazwan Zulkifly. Ironinya, Pali berjaya menghidupkan semula nama Syazwan dalam gelanggang lakonan. Selama ini, setahun juga kariernya seperti bergelandangan di tanah air sendiri.