
Lebih 10 tahun hidup solo, penyanyi terkenal Indonesia, Rossa mengakui tidak pernah berasa terdesak untuk mencari pasangan hidup bagi mengisi kekosongan posisi bekas suaminya iaitu pemain dram kumpulan Padi, Yoyo Prasetyo.
Kata penyanyi berusia 40 tahun itu, hidupnya terarah terhadap kerjaya dan keluarga lebih-lebih lagi tumpuan buat kedua-dua orang tua yang harus diutamakan.
Disebabkan itu, pelantun lagu Hati Yang Kau Sakiti itu mengakui selesa hidup solo. Alasan sebegitu juga membuatkan dirinya tidak pernah meletakkan harapan terlalu tinggi untuk kembali hidup berpasangan.
“Apa yang saya fikirkan sekarang hanyalah kedua orang tua. Mungkin secara realitinya mereka sendiri tidak kisah tentang diri sendiri tetapi sebagai anak, saya sentiasa mengutamakan mereka.
“Lagi pun, saya sering memikirkan persoalan memilih pasangan, adakah pasangan itu menghabiskan sepanjang hayatnya bersama saya.
“Jadi saya nikmati sahaja aturan ini. Jodoh itu bukan perkara yang perlu dikejar. Sebab saya selalu berfikir, semua orang nanti akhirnya akan hidup sendiri juga andai pasangan mereka pergi dahulu,” ujarnya yang ditemui pada sesi khas bersama media Malaysia baru-baru ini.
Bukan saingan
Menjelang tahun baharu yang berbaki beberapa hari sahaja lagi, pastinya rencana seninya untuk kalendar 2019 akan menjadi penantian peminat sementelah kali terakhir Rossa muncul dengan single adalah pada tahun lepas.
“Insya-Allah, saya akan muncul dengan album baharu dan bermula Januari nanti, sudah boleh memasuki studio bagi merakamkan lagu.
“Kalau ditanya mengapa saya ambil masa lama untuk keluarkan lagu atau album, sebabnya sangat mudah iaitu malas. Kerja saya banyak dihabiskan dengan undangan persembahan di banyak tempat dan saya nikmati sahaja keadaan itu,” ujarnya sambil ketawa.
Bagaimanapun, menuju ke penutup tahun 2018, Rossa tetap berbangga kerana perjalanan kariernya tetap berada di kedudukan yang ampuh. Baru-baru ini, penyanyi yang popular dengan lagu Ayat-Ayat Cinta itu menerima pengiktirafan Anugerah Artis Indonesia Terbaik dalam majlis Big Apple Music Awards.
Hal itu sekali gus membuktikan dia masih relevan sebagai antara artis wanita paling berpengaruh di Indonesia, meskipun bersaing dengan ramai bakat baharu.
“Bukan itu sahaja, pencapaian paling bangga yang saya pernah raih adalah apabila dicatatkan sebagai antara artis wanita tertinggi carian di platform digital Spotify.
“Tidak sangka walaupun bukan lahir dalam era milenium, tetapi saya masih mampu duduk bersama dengan barisan artis baharu lain seperti Raisha dan Isyana Saraswati.
“Saya sekali pun tidak fikir kehadiran artis baharu sebagai pesaing sebab mereka juga rakan-rakan dalam industri. Mereka sebenarnya memberi inspirasi untuk saya berusaha lebih baik dan tidak mahu sukses pada satu tahap sahaja,” ujarnya gembira.
Sentiasa ceria dan tidak pernah lekang dengan senyuman, demikian sikapnya yang cukup disenangi milik ibu kepada Rizky Langit Ramadhan, 12.
Meskipun jarang diterpa kontroversi, Rossa juga tidak dapat lari daripada menerima komen negatif peminat. Contoh paling dekat dapat dilihat sempena pengurniaan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 24 Oktober lalu.
“Kalau diberi sesuatu, agak tidak sopan jika kita menolak. Lebih-lebih lagi pihak yang memberi itu ialah seorang sultan.
“Saya juga tidak punya keupayaan untuk menanyakan mengapa dikurniakan pangkat ini. Mungkin saja baginda senang dengan lagu-lagu saya selama ini.
“Jadi agak aneh kalau saya bertanya. Sebab itu saya terima sahaja dengan hati terbuka kerana ia merupakan satu penghormatan,” ujarnya mesra sebelum menutup perbualan.