Ernie Zakri Saya bukan diva




Usia hampir sedekad dalam industri menjadikan penyanyi yang popular menerusi lagu duet Aku Cinta bersama Syamel, Ernie Zakri semakin matang dalam membuat pilihan.

Enggan lagi menjadi mangsa uji kaji, Ernie, 26, telah menemui identiti diri untuk terus relevan dalam industri.

Jauh sekali bersifat diva, mahupun meletakkan diri sebaris artis ternama negara, dia mengakui kini sudah berani membentangkan kemahuan hati dan berkata tidak terhadap hal-hal yang tidak lunak dalam kotak penelitiannya.

“Saya telah berada dalam industri genap sembilan tahun. Hanya baru-baru ini, peminat industri mula mengenali saya.

“Saya melihat kembali, apa yang membuatkan perjalanan karier saya perlahan. Sepanjang dalam industri ini, saya tidak berani berkata ‘tidak’. Itu puncanya,” getusnya.

Mengulas lanjut mengenai pendekatannya, sejak awal pembabitan sebagai penyanyi, anak saudara kepada penyanyi tersohor Anuar Zain dan Ziana Zain itu lebih gemar menurut perintah.

Dedah Ernie, akibat tidak berani menyuarakan pendapat, dia pernah mengalami tekanan emosi sehingga ke tahap mengurung diri di dalam bilik dan hampir berputus asa.

Tidak berniat untuk meletakkan kesalahan terhadap mana-mana pihak, Ernie menjelaskan, kesemua pengalaman suram yang dilalui tetap memberi pedoman sepanjang bergelar penyanyi.

“Saya tiada niat untuk menyalahkan mana-mana (individu) yang pernah bekerjasama dengan saya selama ini. Mungkin pada pendapat mereka itu yang terbaik untuk saya.

“Bagaimanapun, secara peribadi, saya berpendapat terdapat perkara yang tidak sesuai. Contohnya, konsep lagu dan pakaian. Namun, status sebagai pendatang baharu membuatkan saya tidak berani menyuarakan pendapat,” jelasnya.

Tegas Ernie, status sebagai penggiat seni sepatutnya memberikan kebebasan kepada para artis untuk saling berkongsi idea.

Keterbukaan dalam perkongsian idea amat penting dalam memastikan sebuah produk berkualiti dapat dihasilkan.

“Saya akui setelah Aku Cinta berjaya ke Anugerah Juara Lagu (AJL), saya menemui identiti dan hala tuju dalam muzik. Sejak dari situ, saya yakin dengan pilihan melibatkan kerjaya,” katanya.

Ditebak tentang risiko baka dilabel diva gara-gara mengukuhkan pendiriannya, Ernie pantas mencelah.

“Terdapat perbezaan antara berkata ‘tidak’ dalam nada yang berlagak dan menolak dengan sopan. Sebagai penyanyi, kita perlu ada pendirian. Dalam masa yang sama perlu bijak menyatakan pendapat masing-masing,” jelasnya.

Digandingkan

Kali pertama digandingkan di dalam program televisyen Duo Star, gandingan Syamel dan Ernie dilihat amat serasi. Uniknya, pada kali ini, Syamel kembali bekerjasama dengannya sebagai pencipta lagu. Ernie secara peribadi meminta sebuah lagu daripada rakan karibnya itu setelah tamat acara AJL yang disertai bersama.

Melihat kebolehan Syamel dalam penghasilan lagu dan lirik, Ernie sepenuh yakin menjadi artis sulung menyanyikan lagu ciptaan Syamel.

“Single Ku Bersuara mengalami proses saringan pelbagai peringkat sebelum direkodkan.

“Saya terlibat sebagai pemberi idea. Temanya, sangat jelas iaitu bukan mengenai percintaan,” katanya.

Lagu yang turut menerima sentuhan Omar K, Blaine Bakri dan John Jeevasingham tersebut mengambil masa hampir dua bulan sebelum ia sedia dirakam dan diterbitkan.

Berkongsi lebih lanjut, Ernie berkata, Ku Bersuara amat dekat dalam hatinya kerana lagu tersebut merupakan rangkuman penceritaan sepanjang sembilan tahun bergelar penyanyi.

“Lagu ini bukan mengenai cinta. Ia mengenai insan yang mengalami tekanan emosi. Saya berharap semua pendengar dapat menerima baik lagu ini,” katanya.

Lagu terbitan Rocketfuel Sdn. Bhd. tersebut turut diperkenalkan kepada peminat bersama muzik video yang dilakonkan sendiri oleh Ernie.

Menariknya mengenai muzik video sentuhan Izuan Mokhtar itu, Ernie dipertemukan dengan pelakon pujaannya iaitu Que Haidar.

Dia yang mengakui terkejut dan berbesar hati, menyifatkan Que sebagai pelakon senior yang tidak lokek ilmu.

“Orang lama seperti Que, dia suka berkongsi ilmu. Saya selesa berlakon di sampingnya,” jelasnya sambil diselangi gelak sinis.

Kerjaya

Sejak kali pertama beraksi di pentas AJL menerusi Aku Cinta, kelibat pemilik gelaran vokal terbaik pada acara sama itu antara dinanti untuk kembali berentap.

Dia yang melancarkan single Misteri sekitar awal bulan lalu bagaimanapun gagal beraksi dalam AJL pada musim kali ini.

Enggan meletakkan sebarang harapan terhadap Ku Bersuara, Erni hanya berharap lagu tersebut diterima oleh pendengar muzik tempatan.

“Sejujurnya, tiada tekanan untuk Ku Bersuara layak ke AJL. Itu semua rezeki Allah, jika ada rezeki saya bersyukur.

Bercerita mengenai kerjaya, artis tunggal yang dinamakan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk melagukan Anta Permana pada AJL pada masa depan turut merencana sebuah konsert mini.

Persembahan yang dijangka berlangsung pada tahun depan itu bagaimanapun masih dalam peringkat perancangan.

“Ya, saya akan adakan sebuah persembahan tetapi terlalu awal untuk dikongsi. Tunggu tahun depan,” katanya.

Sebagai sandaran momentum duet bersama Syamel menerusi Aku Cinta, Ernia menjanjikan sebuah single baharu bersama Syamel sedang direncanakan.

Single yang dalam proses pembikinan tersebut menerima sentuhan penerbit ternama, Aubrey Suwito.

Penyanyi Ernie Zakri khuatir disalah erti gara-gara kelantangannya mempertahankan pendapat peribadi.

Post a Comment

Previous Post Next Post