Fasa cemerlang Hairul Azreen




Aktor Hairul Azreen menutup kalender 2018 dengan cukup cemerlang. Muncul dengan tiga buah filem aksi beruniform iaitu Paskal, Polis Evo 2 dan Operasi X telah meletakkan Hairul pada tahap berbeza.

Kejayaan filem Paskal yang meraih kutipan sebanyak RM30 juta secara automatik telah menggubah pandangan dan kepercayaan khalayak terhadap Hairul yang kini dilihat sebagai seorang pelakon aksi yang berkaliber.

Biar telah mengapai impiannya untuk bergelar seorang pelakon aksi, Hairul mahu lebih berjaya dalam karier seni lakonan pada tahun depan.

Justeru, Hairul sanggup berkorban masa dan tenaga supaya sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia andai menerima tawaran lakonan dalam karya aksi kelak. Sasarannya adalah mahu menjadi seorang pelakon aksi berprolifik bukan sahaja di Malaysia, tetapi sehingga ke Hollywood.

Tahun 2018 merupakan tahun cemerlang buat Hairul Azreen, jadi apakah azam 2019 anda?

HAIRUL AZREEN: Saya berazam dan berharap dapat menjadi seorang pelakon aksi seperti Jackie Chan. Maknanya, saya mahu beraksi bukan sahaja dalam pasaran tempatan, tetapi jika boleh biar sampai ke Hollywood. Selain itu, saya mahu tunjukkan kemahiran berlawan. Hal ini kerana, dalam filem Paskal saya lebih banyak menggunakan senjata dan kurang peluang untuk menunjukkan kemahiran berlawan dalam filem.

Apakah impak selepas muncul dalam tiga buah filem aksi secara berturut-turut pada tahun ini?

Saya perasan selepas filem Paskal, Polis Evo 2 dan Operasi X ditayangkan orang sudah mula melihat saya sebagai seorang pelakon aksi. Ditambah pula secara kebetulan ketiga-tiga buah karya tersebut merupakan sebuah filem beruniform. Jadi, peminat sudah mula mengharapkan filem aksi yang lebih hebat daripada apa yang pernah saya lakukan sebelum ini.

Tertekan atau tidak dengan harapan tinggi peminat kepada anda?

Saya tidak tertekan cuma rasa lebih bertanggungjawab untuk menjadi seorang pelakon aksi berkaliber. Tugas saya sebagai seorang pelakon adalah menggembirakan penonton dan mahu mereka yakin dengan aksi yang dilakukan.

Apakah rutin yang anda lakukan untuk mengekalkan tahap kecerdasan dan otot badan?

Bukan mudah untuk menjadi seorang pelakon aksi kerana terdapat rutin yang harus dikekalkan sebelum dan selepas berlakon sesebuah filem. Contohnya untuk filem Polis Evo 2, enam bulan sebelum penggambaran saya telah melakukan persediaan daripada segi penjagaan makanan dan latihan di gim.

Berbaloi atau tidak menjalani rutin yang ketat untuk mengekalkan imej seorang pelakon aksi?

Saya menggunakan pakai formula pelakon di Hollywood. Sudah menjadi kebiasaan di Hollywood pelakon diberi masa sekitar enam bulan untuk proses persediaan watak dan badan. Pelakon di Malaysia pula tidak dibayar untuk membuat persediaan badan atau kecerdasan, tetapi itu semua dilakukan atas inisiatif sendiri. Sekurang-kurangnya badan kekal cerdas dan saya sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia sebelum menerima sebarang tawaran filem aksi.

Boleh kongsikan perkembangan karier seni anda tahun depan?

Saya menerima tawaran berlakon dalam tiga buah filem. Cuma satu sahaja yang saya yakin akan menjalani penggambaran dalam masa terdekat. Selebihnya saya tidak berani untuk beritahu kerana masih belum ada sebarang perjanjian.

Apakah harapan anda untuk industri perfileman pada tahun depan?

Saya akui tahun 2018 merupakan fasa paling menggembirakan penggiat filem tanah air. Seronok melihat beberapa buah filem mendapat kutipan yang sungguh luar biasa melebihi RM20 juta. Saya melihat ia satu petanda industri filem kita semakin membangun kerana khalayak sudah boleh menerima dan yakin dengan karya anak tempatan. Tiada lain harapan saya selain momentum cemerlang ini dikekalkan sehingga 2019.

Post a Comment

Previous Post Next Post