Sufian Suhaimi tak serik bercinta




Berbaki satu hari sahaja lagi, tahun 2019 bakal menjengah tiba. Tanpa disedari, takwim 2018 menjadi kenangan yang tersendiri buat semua.

Sama ada ia berbekas sebagai kenangan terindah ataupun tidak, biarlah ia menjadi lipatan sejarah di sanubari setiap insan termasuk empunya diri bernama Sufian Suhaimi.

Meskipun menyifatkan perjalanan tahun ini ibarat roller-coaster dalam hidupnya, namun akui pelantun lagu Di Matamu itu, kepahitan yang ditempuhinya sepanjang 2018 menjadikan ia sebagai tahun terbaik buat dirinya.

“Apa yang boleh disimpulkan, tahun ini boleh diibaratkan sebagai roller coaster dalam hidup saya kerana saya berusaha keras untuk mengimbangi antara kisah peribadi, karier dan pelajaran.

“Biarpun bukan mudah, lebih-lebih kisah peribadi sebelum ini menjadi bualan ramai, namun rasanya, saya telah berjaya mengawal segala perkara dengan cara terbaik,” kongsinya yang menerima Ijazah Sarjana dalam bidang Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 21 Oktober lalu.

2019

Memasuki tahun 2019, rasanya tidak lengkap tanpa sebuah azam dan bagi anak kelahiran Mersing, Johor ini, dia menerbangkan harapan untuk mempunyai kehidupan yang lebih seimbang selepas ini.

“Saya harap lembaran baharu yang menjelang tiba memberikan saya sebuah kehidupan yang lebih seimbang dan mempunyai lebih banyak masa bersama keluarga tercinta.

“Pada masa sama, saya juga mahu memastikan kejayaan yang diraih pada tahun ini, momentumnya akan terus kekal malah menjadi lebih baik untuk tahun-tahun mendatang,” ujarnya yang kini sedang menyiapkan beberapa buah lagu baharu sebagai projek 2019.

Mengajak Sufian bercakap tentang hati, sesungguhnya jejaka penuh santun itu tidak kelihatan canggung untuk membicarakannya dan tidak mahu berteka-teki.

Diusik berkemungkinan 2019 sebagai tahun dirinya mencari cinta dan sebuah kebahagiaan, Sufian dengan pantas melepaskan tawa yang besar.

“Menarik juga tu (ketawa). Saya tidak dapat memberi apa-apa komen mengenai hal hati dan perasaan. Saya juga tidaklah serik bercinta atau tidak mahu mencari kekasih hati.

“Cumanya, sekarang saya memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang saya minat iaitu membikin lagu. Seandainya, dalam perjalanan itu saya terjumpa seseorang dan kami suka sama suka, apa salahnya,” jelasnya.

Tambah jejaka berusia 26 tahun itu lagi, dia juga tidak menyasarkan untuk mencari teman wanita pada tahun 2019, sebaliknya berserah kepada perjalanan hidup yang akan dilaluinya selepas ini.

Ditanya mengenai kriteria gadis idamannya pula, Sufian memberitahu, dia tidak mempunyai ciri-ciri yang khusus cukuplah andai gadis itu kelak boleh menjadi kawan, serasi bersama, sopan santun, tidak kasar dan tidak malas.

Doakan terbaik

Menyoroti episod putus tunang dengan aktres, Elfira Loy pada awal tahun ini sudah semestinya kejadian yang pernah memberi igauan ngeri itu membangkitkan pelbagai rasa buat dirinya.

Malah bukan sekadar itu, ada pula desas-desus yang membawa perkhabaran Elfira bakal menamatkan zaman bujang dengan jejaka pilihan hatinya tidak lama lagi.

Mungkinkah berita berkenaan sedikit sebanyak menjentik rasa hati lelakinya.

Tenang memberikan jawapan, jiwanya yang penuh tabah itu harus dipuji. Tiada apa yang mampu diucapkan melainkan titipan doa buat sang gadis.

“Rasanya kami dah move on. Bahkan masing-masing sudah ada kehidupan yang bahagia sekarang.

“Saya bersyukur dan gembira apabila mendapat tahu dia dapat apa yang dicari sebelum ini. Saya doakan dia bahagia bersama jejaka pilihan hatinya itu,” ujarnya.

AJL33

Selain azam baharu, tahun 2019 juga memperlihatkan Sufian bakal berentap dengan barisan penyanyi lain di pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33).

Malah dia juga bakal mendendangkan sebuah lagu yang bukan biasa-biasa kerana lagu nyanyiannya yang berjudul Di Matamu itu sememangnya melekat di hati ramai orang, malah tidak keterlaluan untuk mengatakan lagu ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen itu bakal diangkat sebagai juara lagu.

“Sebenarnya, dapat melayakkan diri ke pentas AJL juga sudah membuatkan saya berasa sangat bersyukur.

“Saya tidak menyasarkan untuk menang, tetapi harapan saya cuma berharap dapat memberikan persembahan terbaik dan apabila penonton melihat serta mendengarnya nanti, mereka berasa terhibur. Setiap keputusan yang bakal diputuskan kelak, itu nombor dua,” jelasnya.

Kata Sufian lagi, beraksi di pentas AJL sememangnya mempunyai cabarannya yang tersendiri.

“Apabila bercakap mengenai AJL, orang akan tahu dan membayangkan ia merupakan satu pentas yang berprestij di negara ini.

“Jadi, cabarannya bukan sekadar memberikan alunan yang merdu tetapi bagaimana meletakkan visual di atas pentas untuk memukau penonton,” ceritanya.

Sebagai persediaan, kongsi Sufian, buat masa sekarang, pihaknya dalam fasa membentangkan idea yang masih dalam perbincangan tentang persembahan dan susunan lagu sama ada ia bakal disuntik elemen dramatik dan sebagainya.

Post a Comment

Previous Post Next Post