Ara Johari matang bersama arus karya




Tarian seninya bersimbah kemilau cahaya cemerlang sesudah tamat graduasi dari 'sekolah seni' Akademi Fantasia 2016 (AF2016).

Biarpun sekadar muncul sebagai pemenang tempat keempat, Ara Johari kini mampu menarik nafas lega apabila percubaan muziknya tidak pernah gagal membuahkan hasil.

Selepas karya Warkah Untukku bergema pada pentas berprestij Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL32) tahun lalu, Ara atau nama sebenarnya, Nurfarrah Izzatie Johari sekali lagi mencipta magis apabila single keduanya, Bunga layak bertanding pada acara yang menjadi dambaan ramai pelaku muzik tanah air tersebut.

Ingin menebus kesilapan ketika melaungkan Warkah Untukku di pentas AJL sebelum ini, Ara, 21, optimis dengan kepercayaan dan tiket yang dikurniakan kepadanya menerusi Bunga. Katanya, dia harus memberikan tumpuan yang lebih terhadap persediaan mental dan fizikal.

“Alhamdulillah, lagu nyanyian saya berjaya lolos ke pentas AJL buat kali kedua berturut-turut. Ini merupakan kepercayaan dan tanggungjawab yang harus diterjemahkan dengan sebaik mungkin.

“Ketika pertama kali bertanding di pentas AJL dahulu, saya akui banyak kesilapan yang dilakukan serta ditambah dengan pengalaman mengadakan persembahan di pentas besar yang terlalu minimum.

“Natijahnya, ketika hari persembahan, saya tidak bersedia dan keadaan kesihatan saya tidak terlalu mengizinkan sampai hilang suara. Jadi, dengan Bunga saya ingin tebus kembali kegagalan sebelum ini dan akan lebih memberi fokus terhadap penjagaan vokal beberapa minggu sebelum hari pertandingan,” kata Ara memberi mukadimah bicara ketika ditemui Kosmo! pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Harapan Bunga

Justeru, Ara yang merupakan anak kelahiran Negeri Sembilan ini akan mengambil langkah berjaga-jaga, lebih kemas dalam misi membawa panji Bunga ke medan perang AJL33 awal tahun depan.

“Khuatir juga apa yang berlaku sebelum ini berulang kembali. Bagaimanapun, benda kalau ingin jadi, ia akan jadi juga saya cuma boleh lakukan yang terbaik. Insya-Allah.

“Saya akan ikut saranan doktor. Saya akan makan vitamin dan mengurangkan nyanyian secara melampau terutama pada nada-nada tinggi dua minggu sebelum pertandingan berlangsung.

Tahun lalu, seminggu sebelum beraksi pada AJL pun, saya belasah main nyanyi sahaja itu yang mungkin suara tidak berapa ‘pergi’,” terang Ara yang tidak lokek dengan senyuman dan hela tawa ketika melontarkan kata.

Sengaja ditebak persoalan berkenaan dirinya secara peribadi melihat peluang lagu Bunga untuk menang sebarang trofi pada AJL33, Ara tanpa berselindung ingin membuktikan sesuatu kali ini menerusi lagu ciptaan Hang Nadim, Laq dan Kadok sementara lirik hasil nukilan Hang Nadim itu.

“Bunga mempunyai signifikan lirik dan julat vokal yang berbeza daripada Warkah Untukku. Secara vokal, julat vokal lagu ini lebih tinggi berbanding single pertama saya.

“Harapan untuk Bunga agak besar kali ini kerana saya amat menyukai gejolak jiwa yang ditonjolkan dalam lagu ini. Semua orang kalau bertanding ingin menang, begitu juga saya. Namun, apa yang penting adalah melakukan yang terbaik pada hari kejadian nanti,” terangnya bersemangat.

Mengulas tentang lagu yang dilihat sebagai persaingan terbesar dalam AJL33, jawab Ara: “Penyanyi senior yang bertanding kali ini semuanya hebat dan pasti akan memberikan yang terbaik. Kalau ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU) pula, saya jangka Khai Bahar dengan lagu Luluh dan juara edisi lalu Hael Husaini pasti akan memberi saingan sengit.”

Paku

Membawa ke arah babak berikutnya dalam perbualan, Ara berkongsi keterujaannya terhadap single terbaharu berjudul Paku. Lagu berkenaan merupakan ciptaan Kadok dan Tukang Muzik manakala lirik tulisan sendiri bersama Shasha K.

Membawa sedikit pembaharuan apabila muncul dengan lagu berentak pop rock, Ara menuturkan alasannya yang tersendiri tentang percubaannya tersebut.

“Saya cakap kepada diri, lagu ketiga ingin diberi sedikit kelainan. Dua single terdahulu berentak balada jadi saya mahu nyanyi lagu lebih rancak yang sesuai dengan personaliti.

“Senang cerita, sudah lama saya ingin merakamkan lagu ala-ala nyanyian Ella berjudul Kesal. Akhirnya, ia tercapai dengan single ketiga bertajuk Paku ini,” tuturnya.

Ditanya tentang kebimbangan yang menghinggapi diri apabila mencuba sesuatu yang baharu sedangkan dua karya sebelumnya diterima baik peminat, terang Ara: “Sewaktu mula-mula ingin merakamkan lagu ini, ada juga perkara negatif yang mengganggu fikiran. Namun saya harus positif. Maknanya, kalau memang tiada rezeki lagu ini diterima, saya perlu terus mencuba melahirkan dengan yang karya lebih baik.”

“Saya tidak mahu terlalu selesa dengan apa yang ada. Saya perlu keluar dari zon selesa dan mencuba sesuatu yang baharu.”

Terlanjur berkongsi tentang bunga kerjaya seninya yang semakin mengharum, Ara kini mempunyai perancangan untuk muncul dengan single keempat, barangkali sekitar bulan Mac atau April tahun hadapan.

Masih samar-samar dalam memberikan perkhabaran, dia bakal sekali lagu muncul dengan sebuah single rancak. Bezanya, Ara tidak berseorangan dalam melontarkan vokal.

“Apa yang boleh saya kongsikan, saya akan berpadu dengan seorang penyanyi rap wanita. Identitinya masih dirahsiakan namun keinginan saya sudah disampaikan kepadanya.

“Lirik lagu itu nanti akan bersifat sarkastik. Maksud saya, nukilan liriknya berkisarkan netizen yang tidak henti-henti memberi kritikan kepada seseorang artis. Ia memberi peringatan, kritiklah sebanyak mana sekali pun, saya akan tetap berkarya dan tidak akan berhenti melakukan apa yang diminati iaitu menyanyi,” getusnya menggulung wawancara.

Post a Comment

Previous Post Next Post