Konsert Sabyan Gambus di Malaysia




Di Indonesia, nama Sabyan Gambus berjaya membius hati peminat di sana sejak tahun lalu. Ironi, kumpulan yang memperjuangkan muzik kerohanian itu juga berjaya menembak jiwa peminat muzik di Malaysia pada tahun ini apabila lagu saduran berjudul Deen Assalam yang dinyanyikan oleh mereka menjadi fenomena di laman YouTube.

Hal ini kerana, lagu Deen Asalam itu berjaya mendapat sebanyak 168,000 tontonan di YouTube yang terpesona dengan melodi dan liriknya yang menyentuh jiwa pencinta muzik.

Menyingkap tentang Sabyan Gambus, kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2015 berkenaan terdiri daripada enam orang ahli iaitu Khoirunnisa Alias Nissa (vokalis), Ahmad Fairuz (keyboard), Sofwan Yusuf (perkusi), Kamal (darbuka), Tubagus Syaifulloh (biola) dan Anisa Rahman (suara latar).

Menariknya, pihak MHH Laguna Sdn. Bhd. berbesar hati untuk menganjurkan konsert Sabyan Gambus buat julung-julung kalinya di Malaysia.

Konsert yang diberi nama Sabyan Gambus Live In Malaysia itu, bakal berlangsung pada 12 Januari depan.

Mengulas lanjut mengenai konsert tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutif MHH Laguna Sdn. Bhd., Muhamad Hariz Harun, pihaknya tidak kisah mengeluarkan modal yang besar, asalkan ia dapat memberi kepuasan kepada peminat kumpulan berkenaan.

“Ini merupakan konsert pertama berskala besar yang kami anjurkan, sebelum ini kami hanya uruskan acara pentas berskala sederhana.

“Selain Sabyan Gambus, penonton juga akan dihiburkan dengan artis nasyid tempatan seperti UNIC, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi,” ujarnya mengenai konsert yang bakal berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor itu.

Menurut Muhamad Hariz lagi, konsert Sabyan Gambus akan berlangsung hampir tiga jam dan membawakan lagu-lagu popular mereka seperti Ya habibal Qolbi, Rohman Ya Rohman dan Ya Asyiqol.

“Selain itu, kami turut mengadakan acara Karnival Geng Sabyan yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Januari 2019.

“Acara karnival akan berlangsung sekitar pekarangan stadium dengan pelbagai aktiviti sampingan dan jualan menarik bermula pukul 10 pagi hingga 11 malam.

“Malah, bagi mereka yang berminat untuk membeli tiket awal akan mendapat diskaun sebanyak RM100 bagi setiap kategori dan berpeluang untuk memenangi cabutan bertuah Iphone XS,” ulasnya lagi.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan tiket Konsert Sabyan Gambus Live in Malaysia 2019 boleh melayari www.ticket2uu.com.my/konsertsabyan2019.

Post a Comment

Previous Post Next Post