Gadis cantik ini melepaskan gelak tawa yang besar memecah atmosfera saat diajukan soalan mengenai lagu Jagakan Dia yang berjaya melepasi peringkat separuh akhir Muzik-muzik ke-33 yang berlangsung pada minggu kedua Jumaat lalu.
Namun, dalam hatinya, siapa yang tahu ada getar yang tidak mampu diucapkan dengan kata-kata.
Biarpun masih belum mengetahui sama ada lagu ciptaan sepenuhnya oleh Ippo Hafiz itu berjaya melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) atau pun tidak, namun ia sudah cukup membuatkan pelantun lagu tersebut, Shiha Zikir menghela nafas lega buat seketika.
“Secara jujur, kalau berborak mengenai AJL33, tangan saya akan menjadi seram sejuk. Saya akan jadi gemuruh lain macam.
“Biarpun ini kali ketiga saya berjaya masuk ke separuh akhir selepas ke peringkat sama beberapa tahun lalu menerusi lagu Bila Bertemu Mu dan Seperti Novel Cinta, tetapi untuk kali ini saya akui berasa sungguh gementar.
“Sebelum ini, untuk kedua-dua lagu berkenaan, fikiran saya tenang sahaja. Mungkin pada kali ini, sebab saya banyak berhabis wang untuk lagu Jagakan Dia, perasaan jadi lain macam,” jelasnya membuka bicara.
Puas hati
Pernah menganyam sebuah angan agar Jagakan Dia boleh mara ke pentas AJL33 yang bakal berlangsung pada tahun hadapan, kini Shiha hanya menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Ilahi.
Apa yang pasti katanya, dia sudah berusaha melakukan persembahan dengan sehabis baik.
“Apa yang saya impikan selama ini ibarat sudah ada di depan mata. Biarpun ia hanya peringkat separuh akhir, saya telah melakukan sehabis baik dan ini sudah cukup membuatkan saya berasa gembira dan teruja.
“Mungkin setengah orang berpendapat, tidak perlu untuk terlalu berhabis di peringkat separuh akhir, tetapi ia berbeza dengan saya. Justeru, saya sudah membuat kelainan pada persembahannya.
“Seandainya dapat mara ke pentas AJL33, saya berasa amat bersyukur. Alhamdulillah, itu rezeki. Jika tidak dapat pun tidak mengapa, sekurang-kurangnya saya sudah melakukan yang terbaik,” katanya.
Jelasnya lagi, dia hanya berkaki ayam ketika melakukan persembahan bagi menghayati jalan penceritaan lagu itu, selain menghadiri kelas vokal semata-mata untuk melakukan persiapan rapi.
Jagakan Dia
Bersaing dengan 29 buah lagu lain, ia bukanlah sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi hanya 12 buah lagu sahaja yang layak untuk ke pentas akhir.
Bagi Shiha, kekuatan yang ada pada lagu Jagakan Dia terletak pada melodi dan liriknya yang begitu mendalam.
“Seandainya ia bukan lagu yang saya nyanyikan sekalipun, saya akan memberitahu perkara yang sama,” katanya yang berminat dengan lagu tersebut setelah mendengar petikan gitar dan membaca bait-bait lirik lagu berkenaan daripada Ippo.
Tambah penyanyi yang berusia 31 tahun itu lagi, kekuatan lagu Jagakan Dia juga terletak pada susunannya yang sememangnya sesuatu yang diambil kira jika ingin bersaing dalam AJL.
Melanjutkan bicara pada petang itu, Shiha atau nama penuhnya, Nurshiha Mohd. Zikir mengakui, dia sememangnya mahu sesebuah lagu yang mempunyai material kualiti setaraf lagu-lagu yang layak ke pentas AJL.
“Sememangnya layak ke AJL, merupakan salah satu impian yang saya mahu kecapi ketika berada dalam industri muzik.
“Apabila sebut material AJL, orang sudah faham.
“Ia suatu karya yang berkualiti. Saya mahu lagu yang berkualiti,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Shiha akan membawakan sebuah lagu berentak rancak tetapi masih lagi mengekalkan material berkualiti setara karya yang diangkat ke AJL.
Tak serik
Dalam perkembangan lain, sebelum ini, Shiha pernah memuat naik status di laman Instagram miliknya mengenai keengganan seorang rakan untuk melangsaikan hutang sehingga menarik perhatian beberapa media untuk melaporkan cerita tersebut.
Ketika ditanya mengenai perkara itu, Shiha menjelaskan, dia masih lagi menantikan seseorang yang dianggap seperti abang itu untuk melunaskan kesemua hutangnya.
“Saya berasa sungguh kecewa kerana dia meminjam wang untuk dihabiskan kepada perkara-perkara yang tidak elok.
“Shiha bukan berkira pasal wang tetapi tidak suka orang berbohong. Lagipun jumlah yang dipinjam bukan sedikit. Kalau sedikit, saya tidaklah berasa terlalu geram. Sehingga kini, saya masih lagi menunggu dia untuk membayarnya,” katanya.
Ditanya mengenai adakah dia serik untuk membantu orang selepas ini, Shiha menjawab, dia tidak serik, malah akan membantu sekadar termampu.
“Saya akan membantu orang jujur yang berada dalam kesusahan.
“Kalau betul Allah hantarkan seseorang dan memang dia orang yang benar-benar susah, kenapa tidak saya memberikan pertolongan. Saya akan cuba membantu orang setakat termampu,” ujarnya.