Yusof Haslam Tiada kompromi




Sudah terhantuk baru tengadah. Itu yang berlaku kepada seorang individu bernama Muhammad Izwan Shah apabila diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar RM100,000 kepada Skop Productions selepas defendan memuat naik filem Munafik 2 di laman sosial Facebook dan Instagram ketika ia masih ditayangkan di pawagam pada September lalu.

Terkejut dengan hukuman tersebut, Muhammad Izwan selepas itu meluahkan kekesalannya di Facebook.

“Nilai RM100,000 itu teramat besar bagi orang biasa seperti saya. Mustahil untuk saya mendapatkan jumlah tersebut walau saya hidup 100 tahun sekalipun. Bagaimanapun, saya berjanji akan membayarnya walaupun sedikit demi sedikit kepada pihak Skop Productions,” tulis pemuda berusia 30 tahun itu.

Sensasi Bintang cuba menghubungi pemilik syarikat Skop Productions, Datuk Yusof Haslam, berhubung luahan Muhammad Izwan itu. Ternyata, penerbit terkenal berkenaan enggan berkompromi kerana menganggap lelaki itu cuba mempersendakan undang-undang.

“Berani buat beranilah tanggung. Saya tidak layan pesalah yang cuba tagih simpati,” ujar Yusof dengan nada tegas.

Bukan mahu mencurah minyak yang panas. Malah, Yusof juga tidak berniat untuk melakukan aniaya kepada Muhammad Izwan.

Hakikatnya, pemuda itu tidak mengendahkan teguran dan pujuk rayu daripada anaknya, Syamsul. Bahkan, dengan berani terus menyebarkan filem Munafik 2 dengan lebih meluas di media sosial.

“Syamsul dan orang ramai sudah berhari-hari memujuk dia (Muhammad Izwan), tetapi dia tetap berdegil sehingga rakaman yang diambil di pawagam itu terus tersebar meluas hingga ke Indonesia,” ulas Yusof yang menyifatkan denda sebanyak RM100,000 itu sebagai pengajaran dalam hidup pemuda itu.

Menyambung bicaranya, penerbit filem Sembilu itu juga berkata, soal dia tidak mampu bayar bukan menjadi masalahnya dan dia kena hadapi bebanan tersebut.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Taiping memerintah pemuda itu membayar jumlah RM100,000 setelah kalah dalam tindakan saman syarikat Skop Productions.

Defendan turut dihalang melanggar hakcipta plaintif untuk filem Munafik 2, memuat naik dan mana-mana bahagian daripada filem berkenaan dalam apa-apa bentuk dalam media sosial dan platform lain, tanpa keizinan plaintif.

Sekiranya defendan melanggar mana-mana perintah yang direkodkan, defendan boleh dikenakan hukuman penjara atau denda atau kedua-dua sekali kerana dianggap menghina mahkamah.

Terdahulu, Skop Productions diwakili peguam Aizun Rohan dan Saiful Roger, menghantar surat saman kepada Muhammad Izwan Shah selepas memfailkan tindakan mahkamah terhadapnya pada 8 Oktober lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post