Ketika filem terbitan Warner Bros. Pictures, Fantastic Beasts and Where To Find Them debut di layar perak pada tahun 2016, naskhah tersebut dilihat mempamerkan dimensi baharu dunia ahli sihir dengan memperkenalkan watak utamanya, Newt Scamander aktor handalan, Eddie Redmayne.
Selang dua tahun, sekuelnya kini menemui penonton bermula di United Kingdom pada 8 November dan memasuki pawagam tanah air pada 15 November lalu.
Semestinya, karya adaptasi novel nukilan penulis novel tersohor pencipta francais mega Harry Potter, J.K Rowling tersebut sedang memenuhi penantian ramai.
Bukan khalayak sahaja yang teruja, terlibat dalam sebuah naskhah fantasi dan fiksyen sebegitu juga menghadirkan sebuah perasaan menyeronokkan buat para pelakon terlibat.
Perkara tersebut diakui Redmayne yang nyata telah menumpahkan selautan semangat saat kembali ke set penggambaran. Baginya, Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald menghidangkan banyak perkara baharu untuk dinikmati penonton di seluruh dunia.
Jalan cerita naskhah tersebut disifatkan Redmayne lebih hitam, mengerikan dan mendebarkan berbanding filem terdahulu.
“Ketika pertama kali membaca skrip filem ini, ada banyak perubahan nada yang saya kesan. Ia berubah menjadi sebuah cerita seram.
“Ia membuatkan saya sangat terkejut dan teruja pada masa sama, sehingga mengulang membacanya berkali-kali. Kali ini ia lebih hitam dan menerusinya saya dapati naskhah ini mempunyai elemen misteri yang mendebarkan.
“Menerusi filem terdahulu, jalan ceritanya sangat positif. Namun dalam sekuel ini, saya yakin semua orang akan teruja dengan perubahan plotnya sehingga membuatkan mereka tidak sabar menanti sekuel ketiga,” ujar pelakon berusia 36 tahun itu seperti yang dipetik menerusi majalah Entertainment Weekly.
Menjalani penggambaran di England termasuk beberapa lokasi seperti London, Switzerland dan Paris, Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald turut dibintangi Katherine Waterston, Dan Fogler, Alison Sudol, Ezra Miller dan Zoe Kravitz.
Malah lebih menarik, ada beberapa tambahan watak diserapkan dalam sekuel tersebut iaitu kemunculan aktor Jude Law sebagai Albus Dumbledore versi muda dan Callum Turner yang memegang watak sebagai abang kepada Newt, Theseus.
Ujar Redmayne berhubung kerjasama buat kali pertamanya bersama Turner, lelaki itu dilihatnya sebagai pelakon yang hebat.
“Saya dan isteri (Hannah Bagshawe) pernah menonton siri televisyen War & Peace lakonannya. Waktu itu, kami sama-sama setuju apabila isteri mengatakan Turner adalah versi saya dalam sosok yang tinggi, sedikit gelap dan lebih kacak (ketawa). Saya akui dia pelakon yang baik, sebab itulah ketika pengarah memberitahu bahawa kami akan bekerjasama, saya sungguh teruja,” ujarnya.
Sisi gelap
Mengakui plot cerita yang dibentang dalam sekuel arahan David Yates itu lebih mendebarkan. Redmayne menyifatkan ia mempunyai lebih banyak keistimewaan berbanding versi terdahulu.
Kata pelakon filem The Danish Girl itu, dia mengambil kira aspek perkembangan psikologi karakter pada setiap watak agar mampu membawa penonton masuk ke dasar yang lebih gelap.
“Begitu juga dengan watak Newt Scamander. Saya ada bertanya kepada pengarah, dalam sekuel seterusnya ke manakah dan sejauh watak hendak dibawa? Jawapannya adalah, mereka mahu membawa penonton menyelaminya hingga ke dasar yang lebih dalam. Pengarah menggelarkannya sebagai ‘kenakalan’ yang ada pada diri Scamander.
“Contohnya seperti tahap keyakinan dan kemampuan dirinya, perasaan kurang yakin berhadapan dengan orang lain dan sifatnya yang keras iaitu dia selalu tegas dengan apa yang dipercayai,” katanya.
Jawapan sedemikian sekali gus membuatkan Redmayne sedar bahawa tugasnya semakin rumit dalam usaha memotret karakter Scamander dengan lebih cemerlang dalam sekuel ketiga yang dijadualkan menemui penonton pada November 2020 kelak.
“Saya akui itu semua bukannya perkara mudah. Secara langsung, keadaan itu memberikan cabaran buat saya tetapi ia sebenarnya sesuatu yang menyeronokkan.
“Sebab tiada perasaan lain melainkan rasa teruja dan keseronokan berganda ketika berpeluang kembali turun ke set penggambaran filem ini,” penjulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem The Theory of Everything dalam Academy Awards 2014 itu berkongsi luahan.
Di sebalik sisi gelap yang cuba ditonjolkan, ada sesuatu yang lebih menarik minat Redmayne terhadap Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald iaitu kehadiran makhluk comel yang masih bayi bernama Niffler.
Kata Redmayne, fizikal Niffler sangat mencuit hati dan ia mengingatkan dirinya terhadap orang anaknya yang sedang membesar dan mempunyai pelbagai keletah menghiburkan.
“Ia bagaikan satu kebetulan yang direka. Sebab anak-anak saya dan bayi Niffler ada beberapa persamaan. Ia sangat comel dan babak bersama makhluk itu adalah kesukaan saya,” ujarnya sambil ketawa.
Kritikan
Sesebuah karya yang dipersembahkan kepada umum tidak dapat lari daripada kritikan negatif atau positif. Reaksi sebegitulah harus ada untuk mana-mana filem bagi membangunkan elemen warna-warni dalam konteks penerimaan penonton.
Berbeza dengan Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald, kritikan tidak seronok dibaca mengena terhadap watak Gellert Grindelwald lakonan Johnny Depp.
Dalam ulasan Brian Truitt yang tersiar menerusi USA Today, banyak babak melibatkan kemunculan Depp menimbulkan tanda tanya kepada peminat sementelah realitinya, kehidupan Depp dilihat seakan-akan membayangi watak jahat tersebut.
Sebelum ini, aktor filem Pirates of The Caribbean itu bergelut dengan kes perceraian dengan bekas isterinya, Amber Heard selain didakwa pernah melakukan keganasan rumah tangga terhadap wanita itu.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Redmayne mengambil jalan selamat dengan tidak mahu mengulas lanjut demi menghormati jurang antara soal peribadi dan karier rakan sekerjanya.
“Apa yang terjadi antara mereka, semua orang sudah tahu. Jadi saya tahu mereka sudah menyelesaikannya dan saya hanya memilih untuk menghormati pendirian yang telah diambil,” katanya ringkas.
Bapa kepada dua cahaya mata itu turut ditanya tentang perkembangan wataknya yang terlibat dengan cinta bersama beberapa wanita dalam sekuel terbaharu tersebut.
Berbanding naskhah terdahulu, Scamander hanya dipaparkan memiliki perasaan hanya terhadap watak Tina Goldstein (Katherine Waterston).
“Biarpun naskhah ini memaparkan kisah cinta tiga banyak penjuru Scamander, mula-mula Tina kemudiannya Leta Lestrange dan Bunty, saya tetap percaya bahawa Scamander mempunyai sebab tersendiri berhubung keperibadiannya.
“Pertama sekali, saya fikir ia terjadi tanpa sedar. Kedua, saya rasa semua itu berlaku kerana minatnya.
“Sebab saya selalu percaya jika seseorang mempunyai minat yang mendalam terhadap sesuatu perkara, ia selalunya menghasilkan kualiti yang menarik. Scamander mempunyai hati besar dan empati yang kuat terhadap orang lain. Sebab itu dia boleh terjebak dengan beberapa orang wanita,” tutupnya.
Bintang handalan, Eddie Redmayne berbicara tentang penglibatannya dalam naskhah Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald yang disifatkannya memiliki unsur lebih gelap berbanding versi terdahulu, Fantastic Beasts and Where To Find Them yang ditayangkan pada 2016.