
Selesa SonaOne dan Alif selesa bekerjasama bukan hanya menerusi satu lagu berjudul Obvious, bahkan lebih besar lagi sebuah album bersama.
Muzik seharusnya diraikan secara universal dipimpin bersama kepelbagaian. Bermakna, apa sahaja yang datang daripada mana-mana individu waima apa jenis genre yang dihidangkan, berlapang dada sudah tentu satu formula berkesan dalam kalangan para pelakunya demi perkembangan sihat antara individu terlibat.
Mengambil contoh apa yang kian berlaku sekarang, muzik diceburi insan-insan ‘taikun bisnes’ bermula daripada Datuk Seri Vida dengan lagu I Am Me, ke percubaan Datuk Seri Alif Syukri menerusi Bobo Di Mana dan itu tidak dicampur lagi cubaan daripada beberapa individu lain seperti Sajat dan terbaharu, Safiey Ilias dengan karya berjudul Syinta Gila.
Ironi, tujuan pemasaran mereka untuk sewenang-wenangnya mendakap kuasa ketularan mudah menjemput perhatian dalam kalangan pendengar.
Biar ada segelintir melabel lagu mereka sebagai tiada kualiti, tidak kurang juga dicanang sebagai ‘lagu tahi’, buah tangan tersebut bagaimanapun meledak kuat. Ia tular di YouTube, diparodikan ramai di Instagram dan sehingga lazim di bibir anak-anak kecil.
Sengaja Kosmo! mengajak dua penyanyi hip hop iaitu SonaOne dan Alif untuk memuntahkan pandangan mereka tentang hal berkenaan. Sepertinya, dua anak muda itu tidak mempunyai masalah dengan trend terbabit, namun ada beberapa perkara yang ingin mereka sentuh sebagai perkongsian.
Ujar Alif atau nama lengkapnya, Muhammad Alif Abdullah, dia tidak merasakan situasi yang berlaku sekarang adalah salah. Pada hematnya, barangkali individu yang disebut pada perenggan di atas mempunyai misi berbeza daripada fokus dikerjakan oleh pemuzik sebenar.
“Mereka tidak salah. Saya tahu tujuan mereka bukan untuk menjadi penyanyi, sebaliknya bagi melariskan produk. Mereka orang bisnes dan saya yakin, ada banyak cara untuk membuatkan produk mereka sampai ke pengetahuan pengguna.
“Tidak terkecuali, muzik salah satu cara. Cuma kadang-kadang saya terfikir, apabila orang seperti mereka cuba untuk menjadi penyanyi dan melahirkan karya muzik sementelah kita hanya berdiam diri, kita patut berasa malu,” getus penyanyi kelahiran Singapura itu.
Bukan pesaing
Sementara itu, SonaOne, 29, pula tidak melihat mereka sebagai satu persaingan dan bersetuju dengan Alif bahawa mereka hanya ingin menjual produk berniaga.
“Saya rasa, mereka menyanyi dan merakam lagu hanya untuk suka-suka demi melariskan produk masing-masing, itu sahaja.
“Itu taktik mereka dan bukan serius. Saya tidak rasa atau pernah terfikir mereka ‘makan jalan’ para penyanyi sedia ada atau yang berkecimpung secara serius dalam industri. Asalkan mereka tidak ganggu orang, biarkan sahaja,” tutur pemilik nama sebenar, Mikael Adam Mohd. Rafee Michel Lozach itu.
Meneruskan perbualan, Alif berkata, trend sebegitu memberikan kepelbagaian dalam industri muzik Malaysia kerana suka atau tidak, lain pendengar lain cita rasa muzik mereka.
“Di Amerika Syarikat pun banyak orang buat lagu bodoh dan saya fikir kalau lagu mereka popular, itu rezeki mereka. Tiada niat saya untuk iri hati atau busuk hati dengan kejayaan yang dicapai.
“Saya tahu kewujudan lagu seperti Bobo Di Mana dan Syinta Gila. Bunyi lagu seperti itu datang dari Indonesia dan kalau orang Malaysia suka, kita tiada hak untuk menghalang atau menafikannya. Terpulang kepada mereka,” kata Alif.
SonaOne yang pernah menang Anugerah Juara Lagu menerusi lagu Apa Khabar (bersama Joe Flizzow), bagaimanapun mengingatkan pemuzik lain untuk sama-sama melahirkan karya berkualiti dan memberi impak.
“Mereka bukan pemuzik, itu mereka punya hal. Apa yang penting, untuk pemuzik yang benar-benar bergantung rezeki pada muzik, teruskan membikin karya yang memberi impak.
“Saya mengambil contoh rapper amatur Fazz Ahmad yang tular dalam kalangan rapper. Dia main ‘langgar’ sahaja rap tetapi jujur saya katakan, dia antara individu yang memberi inspirasi dan motivasi. Kalau anda tidak kenal dia, lebih baik anda lihat videonya di YouTube (tertawa),” jelas SonaOne.
Obvious
Bercerita tentang lagu duet bersama berjudul Obvious yang telah pun dilancarkan di laman penstriman muzik seperti Spotify, iTunes dan YouTube Khamis lalu, dua artis bawah label Sony-Kartel itu teruja kerana akhirnya mempunyai sebuah lagu bersama.
Diterbitkan dan ditulis bersama, Obvious menerima adunan bertaraf dunia sentuhan daripada Jimmy Cash di Cha Ching Studios North Hollywood, California dan menjalani proses mastering oleh calon Grammy Awards, Chris Athens.
“Kami mulanya menulis lagu ini sebagai suatu penghormatan yang didedikasikan buat keyakinan diri seorang wanita. Semakin kami mendalami subjek ini, kami sedar bahawa mesej yang terkandung dalam liriknya lebih besar dan boleh dikaitkan dengan semua,” ujar Alif.
SonaOne menambah: “Kadangkala manusia terlalu menghiraukan apa yang orang fikirkan tentang mereka sehingga lupa apa yang ada di hadapan mata mereka, atau tidak sedar tentang perkara-perkara kecil yang sebenarnya sangat ketara pada mata orang lain.”
Ditanya tentang titik mula tercetus idea bekerjasama tersebut, Alif dan SonaOne sebenarnya sudah lebih 10 tahun berkawan, namun hanya selepas tahun lalu, hasrat untuk berpadu diutarakan.
“Saya masih ingat ketika Alif tengah sibuk menyiapkan lagu Drop dengan Joe. Kebetulan saya pun ada di tempat yang sama. Borak punya borak, kami pun sampai ke satu tahap mengapa sepanjang tempoh tersebut, kami tidak langsung mempunyai lagu bersama.
“Kemudian, kami mendapat izin daripada pihak label dan semuanya berjalan lancar. Bukan Obvious sahaja, kami juga akan ada album bersama. Insya-Allah, tahun depan akan temui pendengar,” jelas SonaOne.
Sedikit tentang album berkenaan, Alif pula berkata, ia akan mengandungi 15 buah trek.
“Akan ada 11 buah lagu Inggeris dan empat buah lagu berbahasa Melayu. Semuanya dinyanyikan kami secara bersama.
“Selepas Obvious, kami akan hadiahkan peminat dengan single bahasa Melayu pula berjudul Pun Boleh. Diharapkan kerjasama ini menjadi dan mendapat tempat di hati para pendengar. Itu harapan kami, insya-Allah,” kongsi Alif menutup perbualan.
Dua rakan baik, SonaOne dan Alif berbicara tentang kolaborasi perdana menerusi lagu Obvious. Bakal muncul dengan album bersama sekitar tahun depan, mereka turut 'memuntahkan' pandangan tentang trend lagu yang sengaja memancing tular dalam kalangan taikun bisnes tempatan.