Misteri Instagram gambar kosong Arja Lee




Arja Lee kini mempunyai perspektif yang berbeza terhadap penggunaan laman sosial dan kehidupan baharunya.

Jika di luar negara, bagaikan satu fenomena biasa buat sesetengah artis apabila mereka memasukkan semua gambar yang telah dimuat naik di Instagram sebelum ini ke dalam fail arkib. Mereka hanya meninggalkan gambar untuk mempromosikan single atau album sahaja.

Bagaimanapun, lain pula halnya dengan pelakon lelaki dengan nama pentas, Arja Lee. Sejak awal bulan lalu, lelaki berusia 33 tahun itu mengambil keputusan untuk memuat naik gambar berwarna putih tanpa sebarang imej sehingga mengundang pelbagai pertanyaan peminat.

Ditemui semasa majlis pelancaran program Hidangan Laluan Sutera terbitan MIG Metrowealth baru-baru ini, Arja atau nama penuhnya, Azharudin Ramli didekati bagi bertanyakan perkembangan terkini.

Selain mengambil keputusan memuat naik gambar putih yang kosong di Instagram, pelakon drama rantaian Bahagia Bukan Bidaan itu turut tampil dengan imej botak.

KOSMO!: Boleh Arja terangkan kenapa meletakkan gambar berwarna putih tanpa sebarang imej di Instagram sejak lebih dua minggu lalu?

Arja: Setiap orang akan ada hari-hari tertentu mengikut rasa gembira atau sedih. Bagi saya, gambar putih berkenaan tiada kena-mengena dengan orang lain, cuma saya hendak memulakan babak baharu dalam kehidupan.

Sudah tiba masanya untuk saya melupakan semua perkara yang tidak sepatutnya difikirkan dalam industri dan hanya fokus kepada pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana.

Saya baru tiga bulan menyambung pengajian dalam bidang teater di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Saya mengkaji tentang teater muzikal di Malaysia bersama Dr. Norzizi Zulkifli.

Pada saya, Instagram sudah jadi seperti nyawa, jadi ia adalah platform terbaik untuk saya mulakan babak baharu.

Bagaimanakah dengan reaksi peminat apabila anda memuat naik gambar berkenaan?

Setakat ini sudah 300 lebih gambar sebegitu saya muat naik, dan memang ramai hantar mesej atau meninggalkan komen adakah Instagram saya telah digodam?

Saya hanya balas dengan cara profesional kerana ia tidak ada kaitan dengan sebarang isu psikologi, sakit jiwa ataupun isu tiada tawaran lakonan.

Adakah anda memadamkan semua gambar-gambar sebelum ini?

Gambar sebelum ini memang tidak dipadam sebab perlu dilakukan satu persatu dan ia agak melecehkan. Gambar terakhir saya adalah pada 10 Oktober lalu, kemudian baru mula memuat naik gambar kosong.

Buat masa ini, peminat tidak akan jumpa gambar lama saya yang jika mereka tidak skrol telefon hingga ke bawah kecuali mencari melalui penggunaan tanda pagar.

Sampai bila anda akan memuat naik gambar sedemikian?

Saya tidak tahu, cuma saya tidak mahu hanyut seperti dahulu lagi. Bagaimanapun, Instagram Story saya masih lagi berjalan seperti biasa.

Mengapa sekarang anda mengambil keputusan untuk mulakan babak baharu dalam kehidupan?

Mungkin disebabkan apabila saya sudah sambung belajar, jadi sudah sampai kepada satu tahap saya tidak perlukan perkara lain seperti populariti atau publisiti.

Sekarang adalah masa yang tepat untuk mulakan hidup baharu menjadi orang yang bernama Azharudin Ramli dan bukan Arja Lee lagi. Putih adalah suci, jadi ia simbolik kehidupan baharu saya.

Adakah penampilan botak ini juga sebagai salah satu cara memulakan hidup baharu?

Ya betul, sebab saya sudah empat kali bercukur rambut dan tidak dedahkan dalam Instagram. Ada yang menyangka saya bernazar ketika berjumpa di luar tetapi ia sebenarnya lebih kepada sudah tiba masa untuk berubah.

Mungkin selepas ini akan tukar nama di Instagram juga. Saya perlu mempamerkan diri sebagai seorang penuntut sarjana. Jika tiada halangan selepas tamat belajar, saya memasang impian untuk menjadi seorang pensyarah.

Pada saya, tidak sesuai lagi untuk seorang pelajar memuat naik gambar seperti tidak berbaju atau dikaitkan dengan kontroversi lambung bola seperti dahulu.

Cukuplah dengan semua itu kerana pendidik perlu mempunyai imej yang bersih.

Post a Comment

Previous Post Next Post