Ziana Zain bahagia hidup solo




Usai melalui tempoh sukar sewaktu fasa perceraiannya dengan bekas suami dua bulan lalu, kini Ziana Zain akui kehidupannya lebih bahagia dan tenang.

Lebih dua bulan sejak kemelut perceraian penyanyi popular, Ziana Zain dengan bekas suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri selesai, wajah wanita itu tampak lebih berseri.

Pemilik nama Siti Roziana Mohd Zain, 50, itu langsung tidak menunjukkan sebarang keresahan malah murah dengan senyuman apabila hadir di majlis pra pelancaran Media House Entertainment di Wisma Trax, baru-baru ini.

Biarpun pada mulanya dia menolak untuk ditemu bual dengan alasan tiada apa lagi yang hendak dikongsikan dengan peminat, pujukan media melembutkan hati pelantun Madah Berhelah itu untuk duduk berbual waima sebentar sahaja.

Itulah Ziana Zain, seorang penyanyi senior yang sangat profesional dan memahami tugasan media biarpun dia sebenarnya mempunyai hak untuk meminta diri dan pulang sebaik sahaja majlis selesai.


Bagaimanakah dengan kehidupan Ziana sekarang selepas berdepan situasi perceraian?

ZIANA ZAIN: Alhamdulillah, semuanya baik. Saya gembira dan anak-anak juga begitu. Tidak banyak perubahan yang berlaku, kami semua okey sahaja.

Mengapakah anda memilih untuk tidak menyentuh langsung tentang apa yang berlaku selepas semuanya selesai?

Saya tidak melihat apa gunanya untuk berbicara soal yang sudah lepas. Semuanya sudah selesai dan kami juga sudah meneruskan kehidupan seperti biasa. Apa yang berlaku biarlah berlalu, saya tidak mahu ungkit dan ingin terus pandang ke depan sahaja.

Bergelar seorang isteri selama 20 tahun, tidakkah anda berasa sunyi apabila kini apabila berstatus janda?

Tidak langsung kerana saya dikurniakan anak-anak dan keluarga yang sangat penyayang. Saya kini tinggal bersama ibu bapa jadi tiada istilah sunyi kerana setiap hari rumah riuh dengan kehadiran ahli keluarga. Jadi, kehidupan saya bahagia dengan status sekarang.

Apakah pula kata anak-anak dengan situasi sedemikian?

Mereka sangat memahami, banyak membantu saya menguruskan rumah dan sering memberitahu bahawa apa sahaja yang terjadi mereka sentiasa ada di sisi saya. Saya amat tersentuh dengan keprihatinan dan kagum dengan ketabahan yang ada dalam jiwa keempat-empat mereka.

Bagi anda sendiri, sudahkah terfikir untuk mencari pengganti bekas suami?

Saya bukanlah seorang yang mudah membuka pintu hati kepada sesiapa begitu sahaja. Bagi saya, biarlah buat masa ini saya jalani hidup apa adanya tanpa memikirkan soal itu terlebih dahulu.

Saya tidak tahu perancangan takdir tetapi selagi ia belum berlaku, saya tidak mahu bercakap tentangnya.

Adakah sudah ada yang cuba untuk memenangi hati anda setakat ini?

Entahlah, saya tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu. Rasanya mungkin ramai yang tidak berani kerana takutkan sifat saya yang garang.

Boleh ceritakan perkembangan terkini karier anda?

Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar. Tawaran persembahan semakin banyak dan saya baru muncul dalam filem Gol & Gincu Vol. 2 sebagai penampilan istimewa.

Ada juga perancangan untuk melancarkan single tetapi semuanya masih dalam perancangan. Insya-Allah jika ia sudah disiapkan, saya akan beritahu.

Post a Comment

Previous Post Next Post