
Kehabisan duit simpanan kerana tiada tawaran berlakon selama enam bulan, itu antara alasan kukuh yang membuatkan Atikah Suhaime pernah mengeluarkan kenyataan untuk menarik diri dari dunia lakonan.
Ketika itu, pelakon kelahiran Singapura berkenaan merasakan filem Pencuri Hati Mr. Cinderella yang pernah ditayangkan sekitar bulan Ogos tahun lalu merupakan karya terakhir lakonannya.
Bagaimanapun, perancangan Tuhan siapa yang tahu? Meskipun profil seninya pernah terpalit nista akibat kontroversi gambar bogel, ia tidak bermakna periuk nasi pada cabang seni buat pemilik nama Nur Atikah Mohd. Suhaime tertutup rapat buat selamanya.
“Saya akui pernah tersilap cakap hendak bersara dahulu. Mungkin ketika itu saya terlalu mengikut perasaan sebab jemu dengan permainan industri.
“Tambahan pula, pengurusan lama meminta untuk saya fokus kerjaya di Malaysia sahaja, sedangkan ia sangat bertentangan dengan kehendak saya.
“Apabila diberi peluang untuk masuk ke pasaran Indonesia, ia benar-benar mengembalikan semangat saya dalam dunia lakonan kerana percaya rezeki bukan berada di satu tempat sahaja,” kongsi Atikah memulakan bicara.
Mula melebarkan sayap lakonan bersama produksi filem Indonesia sekitar bulan April lalu, ternyata rezeki Atikah semakin murah apabila tawaran demi tawaran berjaya diraih.
Bersyukur dengan sinar baharu tersebut, wanita berusia 27 tahun itu mahu laluan kisahnya diabadikan sebagai inspirasi kepada pelakon lain agar tidak mengharapkan rezeki di satu tempat sahaja.
“Saya baru sahaja habis penggambaran filem My Stupid Bos 2 dan Antalogi Rasa dengan produksi Indonesia. Tidak lama lagi saya akan ke Bali untuk penggambaran filem seram dan masuk ke set penggambaran sebuah drama untuk tayangan TV3.
“Tahun 2018 menyaksikan saya mengecapi semua yang diidamkan selama ini. Saya bukan hendak dikenali di sebuah negara sahaja tetapi di seluruh Nusantara, jadi saya ingin mengajak artis lain agar jangan pernah takut untuk cuba masuk ke pasaran luar negara,” tuturnya panjang lebar.
Imaginasi
Terus rancak berbicara, dalam nada teruja Atikah berkongsi perihal dirinya yang kini sibuk menjayakan penggambaran filem seram tempatan berjudul Tan Ti Ana terbitan Dream At Work dan NHF Production Sdn. Bhd.
Kongsi pelakon drama rantaian Cinta Tiada Ganti itu lagi, biarpun bukan pertama kali memegang watak hantu, namun karakter Tan Ti Ana dalam filem yang dijadualkan menemui penonton pada tahun hadapan itu berbeza kerana memerlukan permainan imaginasi.
“Saya pernah membawakan watak hantu dalam filem Kelibat dan Gudang Kubur, tetapi watak Tan Ti Ana ini berbeza kerana karakternya bukan roh mana-mana individu tetapi memang sudah diciptakan sebagai jin.
“Ia seperti watak fantasi untuk saya sebab hantunya bukan seperti pocong atau puntianak. Dia juga tidak boleh ada perasaan dan gaya seperti manusia yang pernah hidup. Banyak perkara yang saya perlu cipta untuk menghidupkan watak ini. Mujur pengarah banyak membantu,” katanya.
Selain mendapatkan khidmat nasihat daripada sutradara Rosdi Md. Dali, Atikah juga banyak menonton filem-filem seram sebagai persediaan penghayatan watak.
Kehadiran barisan nama-nama seperti Joey Daud, Zalif Sidek, Jay Iswazir, Datuk Rahim Razali, Baby Shima dan Kamarool Yusof juga banyak membantu Atikah sepanjang penggambaran berlangsung.
“Semua barisan pelakon ini sangat berpengalaman. Itu yang menjadikan saya begitu bersemangat untuk menjadikan lakonan setaraf mereka.
“Berdepan dengan cabaran ketika berlakon itu perkara biasa, namun semuanya menjadi mudah dengan bantuan dan tunjuk ajar daripada pelakon dan kru produksi,” katanya yang menjalani penggambaran di Dengkil, Selangor dan bangunan warisan iaitu Seri Carcosa Negara, di Kuala Lumpur.
Komitmen
Menyentuh perihal peribadi, sengaja wanita berstatus tunangan kepada penyanyi Awi Rafael itu dirisik tentang persiapan perkahwinan yang dijangka berlangsung pada 17 Mac tahun hadapan.
Sambil tersenyum, si darah manis itu memberitahu biarpun kadangkala berdepan tekanan apabila bercanggah pendapat dengan keluarga, namun persiapan perkahwinan mereka sudah hampir lengkap.
Selain mempersiapkan diri dengan ilmu rumah tangga, wanita yang sedang berdebar untuk bergelar isteri itu mengakui harus bersedia dari segi mental.
“Mungkin ada yang mengganggap tempoh pertunangan banyak dugaannya. Bagi saya, kami tiada masalah dalam perhubungan cuma persiapan perkahwinan yang harus diputuskan bersama keluarga memberi sedikit tekanan.
“Tidak mengapa kerana ia suatu pengalaman yang menyeronokkan.
“Berbaki lagi enam bulan dari sekarang buat saya agak berdebar sebab bakal jadi isteri orang. Saya perlu berubah ke arah yang lebih baik. Kita bukan sempurna, tetapi boleh berubah untuk jadi lebih baik.
“Kahwin bukan perkara main-main. Sebagai contoh, bergaduh semasa bercinta boleh berpisah begitu sahaja, tetapi perkahwinan tidak semudah itu. Ia memerlukan komitmen dan sentiasa berfikiran terbuka,” terangnya.
Sebelum mengakhiri bicara, Atikah turut ditebak tentang lagu Rahasiaku yang didedikasikan Awi untuk dirinya. Menyifatkan ia sebagai sesuatu yang sangat istimewa, lagu berkenaan akan didendangkan ketika majlis resepsi perkahwinan mereka di Singapura nanti.
“Sebenarnya Awi gubah lagu itu ketika kami belum jadi pasangan kekasih, sebaliknya saya sedang bercinta dengan lelaki lain. Dia pernah kata, jika kami tidak jadi bersama, lagu itu akan tersimpan dalam failnya sahaja.
“Saya sudah mendengar lagu itu. Ia menusuk kalbu sehingga tanpa sedar saya boleh menitiskan air mata,” tutupnya tersenyum.