Sabri Yunus, Pok Ya keluar Bantal Hotel Cong Codei




Sabri Yunus (tengah) menunjukkan Bantal Hotel Cong Codei yang dilancarkan hari ini.

Tuah jenama Pok Ya Cong Codei berterusan buat pelakon dan pengarah, Sabri Yunus apabila pelakon itu dengan kerjasama syarikat Das Abdul Global mengeluarkan bantal keluaran eksklusif yang diberi nama Bantal Hotel Cong Codei.

Sabri atau nama lengkapnya Mohd. Sabri Yunus berkata, dia bersetuju untuk bekerjasama dengan syarikat berkenaan untuk keluarkan bantal menggunakan nama Cong Codei kerana kepentingan jenama tersebut itu sendiri.

"Saya tidak percaya andai nama saya digunakan untuk peluang perniagaan. Bayangkan andai orang nak buat kasut guna nama Sabri Yunus lepas itu pakai di kaki.

"Bagaimanapun, Cong Codei sudah menjadi satu jenama pilihan orang ramai. Kali ini keluar bantal pula dan dalam masa dua tahun, banyak yang sudah dicapai jenama ini," kata anak seni kelahiran Pengkalan Chepa, Kelantan itu ketika ditemui Kosmo! Online sebentar tadi.

Sabri juga sempat berseloroh mengenai pengalamannya yang jarang menggunakan bantal pada zaman mudanya.

"Bantal bagi saya tidak penting sangat waktu dahulu. Saya tidur berbantalkan komik Salina dan Bujal sewaktu bekerja di pejabat komik berkenaan dahulu. Itu cerita 20 tahun lalu.

"Selain itu, saya tidur waima berbantalkan lengan pun lena zaman dahulu. Sekarang hidup sudah senang sikit dan saya percaya, bantal yang baik memberi mimpi dan harapan yang baik sebenarnya," jelas Sabri secara seloroh.

Sebelum ini, Sabri bertindak mempatenkan nama Pok Ya Cong Codei bagi mengelakkan jenama telefilem berkenaan daripada dimanipulasikan individu tidak bertanggungjawab

Sebarang maklumat mengenai Bantal Cong Codei boleh didapati di laman web rasmi Das Abdul Global, www.dasabdulglobal.com.

Post a Comment

Previous Post Next Post