Kecik Ogie, jentera baharu Kristal




Tahun lalu, dunia hiburan tempatan kecoh dek ‘perang dingin’ yang tercetus antara ahli kumpulan Kristal dan bekas vokalisnya, Lan Solo.

Pertelingkahan bermula apabila kumpulan yang ditubuhkan sekitar 20 tahun lalu itu mengambil keputusan merehatkan Lan setelah penyanyi tersebut memilih untuk menyertai program nyanyian popular, Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

Mengikut kenyataan yang dikeluarkan Kristal, Lan membuat keputusan untuk bergerak solo tanpa mengadakan sebarang perbincangan dengan ahli kumpulan lain.

Bagaimanapun, menurut Lan atau nama sebenarnya, Razlan Mohamed Yusof pula, kontrak bersama Kristal tamat pada Julai 2017 dan dia menyertai GV4 dua bulan kemudian.

Sungguhpun isu berkenaan agak hangat diperkatakan dan kedua-dua pihak dilihat sering mengeluarkan kenyataan balas, namun Lan akhirnya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri pada 27 November 2017, sebelum dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga GV4 beberapa minggu kemudian.

Selesai isu pengunduran dan Lan dilihat semakin berjaya membawa haluan sebagai penyanyi solo, kumpulan Kristal dalam masa sama sibuk mencari pengganti untuk mengisi kekosongan kerusi vokalis.

Sementara mencari pengganti, penyanyi Kecik Ogie yang dahulunya merupakan vokalis kumpulan Hyper Act kerap diundang setiap kali mereka menjayakan persembahan pentas.

Hampir beberapa kali juga Kecik meminjamkan suara dan khidmatnya bagi melengkapi Kristal yang masih mencari calon sesuai untuk menggantikan Lan.

Sehinggalah sekitar dua bulan lalu, iaitu sewaktu Kristal bercadang untuk menerbitkan single terbaharu, mereka bersepakat menyerap Kecik untuk menyertai kumpulan tersebut secara rasmi.

Ditanya mengenai kriteria yang ada pada Kecik sehingga Kristal tertarik untuk melamar lelaki itu, Rodi, 32, mewakili anggota kumpulan berkata, Kecik memiliki keunikan tersendiri.

Jiwa

“Warna suara yang ada pada Kecik sungguh berbeza dengan penyanyi lain. Dalam masa sama, dia juga mempunyai jiwa apabila menyanyikan lagu-lagu rock.

“Justeru, setelah berbincang, kami sepakat untuk melamar Kecik bagi mengisi kerusi vokalis dalam kumpulan kami,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan anggota baharu Kristal di ibu kota baru-baru ini.

Selain vokal yang cemerlang, pemilihan Kecik sebagai vokalis Kristal juga disebabkan kesungguhannya setiap kali dipanggil bekerja.

“Setiap kali kami memerlukan vokalis dan meminta bantuan Kecik, dia pasti datang.

“Usaha dan komitmennya itu menyebabkan kami selesa dan mahu terus bekerja dengannya sebagai satu kumpulan,” ujar Rodi, 32, atau nama sebenarnya, Muhamad Rodi Baharuddin.

Berbicara lanjut, Rodi menjelaskan bahawa penambahan ahli baharu merupakan titik permulaan buat Kristal untuk muncul kembali.

Hadir dengan single baharu berjudul Cintaku Kristal, material yang dipersembahkan pada kali ini cukup berbeza berbanding dengan lagu-lagu terdahulu.

“Kami menyuntik elemen moden dalam lagu yang ciptaan Pak Long ini. Namun, dalam masa sama, tidak meninggalkan acuan muzik Kristal.

“Saya percaya, lagu ini dapat bersaing secara sihat dengan lagu-lagu terkini yang ada di pasaran muzik sekarang,” ujar Rodi.

Berharap agar perubahan tersebut dapat memenangi hati peminat, Kristal yang juga terdiri daripada Acap atau Muhamad Ashraf Baharuddin, 25, dan Muhammad Afifi Nor Mohamed (Kechiq Afifi), 28, mahu membuka lembaran baharu dalam kerjaya nyanyian mereka.

“Agak sukar untuk kekal relevan sepanjang hampir 20 tahun berkarya.

“Namun, kami yakin bahawa peminat Kristal masih ada dan disebabkan hal itu, kami kembali dengan imej rock yang lebih kemas dan menghadiahkan mereka dengan sebuah lagu baharu,” ujar Rodi lagi.


Peluang

Melihat pada pemilihan Kecik atau nama lengkapnya Mohammad Fauzi Kamarudin sebagai vokalis, mungkin ramai yang akan mengaitkan lelaki berusia 24 tahun itu dengan kugiran lamanya, Hyper Act.

Dalam pada itu, ada juga yang mengatakan dia masih lagi muda dan kurang layak untuk menggalas tanggungjawab sebagai vokalis Kristal yang telah lama menebar legasi dalam industri muzik tanah air.

Begitupun, menurut Kecik, hal remeh tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya untuk mencuba yang terbaik, apatah lagi dia kini diberi peluang kedua oleh Kristal untuk melebarkan sayap dalam bidang seni.

“Kalau boleh, saya mahu lupakan kisah lama dan mulakan episod baharu.

“Saya berharap agar pendengar dapat menerima saya seadaanya sebagai penyanyi Kristal, bukan penyanyi kumpulan terdahulu,” katanya.

Terlanjur berbicara mengenai ‘peluang kedua’, kotak fikiran penyanyi bertubuh kecil itu kembali menerawang, membayangkan dua tragedi pahit yang pernah berlaku dalam hidupnya.

Selain pernah bermalam di dalam lokap selama seminggu akibat dituduh memukul bekas teman wanitanya, Kecik juga mengalami masalah dalaman dengan Hyper Act, sehingga menyebabkan khidmatnya sebagai vokalis ditamatkan selepas setahun bersama kumpulan tersebut.

Tompok-tompok hitam berkenaan sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kehidupan Kecik, membuatkannya hampir berputus asa untuk meneruskan karier nyanyian.

Tambah memeritkan, Kecik mendakwa pernah digantung tidak bertali oleh syarikat rakaman terdahulu sehingga menyebabkan pergerakannya dalam dunia seni terbatas.

“Selepas disingkirkan daripada Hyper Act, kontrak saya tidak ditamatkan. Ketika itu, saya tidak boleh ke mana-mana, walaupun ada beberapa syarikat rakaman lain mahu menjadikan saya artis naungan mereka.

“Alhamdulillah, segalanya telah selesai secara baik apabila saya disunting oleh Kristal. Saya percaya, Kristal mampu membawa saya lebih jauh dalam industri,” katanya positif.

Menurut Kecik, anggota Kristal mengamalkan sikap toleransi yang cukup baik dan tidak melarangnya untuk bergerak solo.

“Memang saya merancang untuk menjadi penyanyi solo sebelum bertemu Kristal tetapi, impian tersebut disimpan dulu kerana mahu memberi fokus terhadap kumpulan ini,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Kristal bakal mengadakan persembahan istimewa di House, G Tower, Kuala Lumpur pada 24 November depan. Tiket berharga RM60 boleh didapati pada hari yang sama di lokasi persembahan.

Pemilihan Kecik Ogie sebagai vokalis baharu Kristal dilihat mampu untuk mengekalkan nilai relevan kumpulan tersebut pada mata peminat muzik tanah air.

Post a Comment

Previous Post Next Post