Syamsul Yusof heret pesalah siber ke mahkamah




Syamsul Yusof (dua dari kanan) bersama bapanya, Datuk Yusof Haslam (tiga dari kiri) selaku penerbit, barisan pelakon dan peguam Aizul Rohan (tengah) pada sidang akhbar mengenai tindakan drastik terhadap pelanggaran hak cipta digital Munafik 2 di Finas baru-baru ini.

Berang apabila tegurannya tidak diendahkan, Syamsul Yusof nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang memuat naik rakaman video naskhah seram arahannya, Munafik 2 di media sosial Facebook ketika filem berkenaan masih berlegar di pawagam.

Melibatkan isu pelanggaran hak cipta, Syamsul yang juga pelakon dan penulis skrip Munafik 2 mengambil keputusan menyaman Muhammad Izwan Shah Kamal Shah, 30, yang difahamkan seorang kakitangan sebuah syarikat rekaan grafik.

Syamsul atau nama lengkapnya, Mohd. Shamsul Mohd. Yusof, 34, berkata, tindakan tersebut tidak hanya bertujuan melindungi karya sendiri, bahkan menjaga hak seluruh penggiat seni tempatan.

Kekerapan insiden filem tempatan bocor di media sosial turut membuatkan Syamsul terpanggil untuk mengambil pendekatan undang-undang bagi membendung gejala jenayah siber terbabit.

Perkara tersebut ditegaskan bapa kepada seorang cahaya mata itu pada sidang akhbar khas pelanggaran hak cipta digital Munafik 2 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) minggu lalu.

Munafik 2 yang turut dibintangi Maya Karin dan Nasir Bilal Khan mula ditayangkan pada 30 Ogos lalu. Ia tercatat sebagai filem paling berjaya dalam sejarah perfileman nasional apabila mengutip sebanyak RM43 juta menerusi tayangan di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

KOSMO!: Apakah yang mendorong Syamsul mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang telah memuat naik rakaman video filem Munafik 2 di Facebook?

SYAMSUL YUSOF: Kejadian tersebut mula diketahui pada 19 September lalu apabila saya mendapati ada individu yang menggunakan nama profil Sasuke Kun di Facebook telah memuat naik rakaman video filem Munafik 2. Awalnya, saya meminta agar dia memadamkan video terbabit dengan cara baik.

Permintaan saya tidak diendahkan. Dia seperti mencabar sistem perundangan negara dan niat saya adalah untuk memberi pengajaran agar kejadian sebegitu tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Disebabkan keengganannya itu, pihak kami, Skop Production Sdn. Bhd. telah membuat siasatan dan berjaya mengenal pasti identiti individu terbabit iaitu Muhammad Izwan Shah Kamal Shah.

Kami juga telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia serta Polis Diraja Malaysia.

Susulan itu, kami telah menghantar surat saman kepadanya dan kes berkenaan akan disebut pada 22 Oktober ini di Mahkamah Tinggi Taiping, Perak.

Kejadian filem tempatan bocor di media sosial bukan satu perkara baharu. Adakah pendekatan yang diambil akan berjaya menyekat perkara sama daripada berulang pada masa akan datang?

Saya mengambil pendekatan serius bukan kerana ia melibatkan karya sendiri tetapi, ini demi masa depan industri. Sekiranya situasi ini dibiarkan dan berleluasa, secara tidak langsung ia akan memberi impak negatif terutamanya bagi sesebuah karya bajet besar. Tujuan pengkarya berbelanja besar bukan untuk bermegah-megah tetapi ingin memberikan yang terbaik kepada penonton dan perkembangan industri perfileman negara.

Sekiranya situasi sebegitu berlarutan, pengkarya mungkin akan gusar atau ragu-ragu untuk menghasilkan karya dengan belanja besar kerana akhirnya filem akan bocor di media sosial.

Saya memang berharap tindakan undang-undang akan menyekat penjenayah siber daripada terus berleluasa mahupun meneruskan kegiatan yang tidak ubah seperti cetak rompak.


Adakah anda berpendapat sekiranya kejadian bocor di media sosial tidak berlaku, kutipan Munafik 2 akan lebih tinggi daripada jumlah rasmi iaitu RM43 juta?

Rezeki itu bergantung kepada Allah yang menentukan. Ia tidak melibatkan kutipan filem banyak atau kurang kerana sekarang ini saya bersuara demi kebaikan industri. Kejadian seperti ini tidak ubah seperti aktiviti cetak rompak.

Mungkin sekarang kita melihat aktiviti penjualan cakera video digital (DVD) cetak rompak agak kurang kerana mereka telah beralih ke arah teknologi menyasarkan media sosial.

Saya mengharapkan pihak berkuasa memandang serius perkara ini dan mungkin undang-undang baharu patut diwujudkan terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan seperti ini.

Bagaimanakah reaksi anda apabila Munafik 2 mendapat sambutan menggalakkan di Indonesia, Singapura dan Brunei?

Sejujurnya saya berasa syukur dan berterima kasih kepada khalayak yang telah memberi sokongan terhadap Munafik 2. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa masyarakat luar menaruh kepercayaan terhadap karya anak Malaysia.

Ada perancangan untuk menayangkan Munafik 2 di negara lain selain tiga negara terbabit?

Perancangan untuk mengembangkan tayangan filem Munafik 2 dua ke beberapa buah negara lain seperti Hong Kong, Kemboja dan Thailand memang ada tetapi seperti diperkatakan tadi, ia masih dalam peringkat perbincangan dan perancangan.

Adakah anda mempunyai perancangan untuk menghasilkan Munafik 3?

Tidak dinafikan perancangan untuk menghasilkan Munafik 3 itu telah ada. Cuma, kepadatan jadual kerja membataskan saya untuk fokus terhadap hasrat tersebut. Selain mengarah filem, saya juga terlibat dalam penghasilan skrip dan berlakon. Ada lagi beberapa filem yang melibatkan saya iaitu Aku Langsi dan Mat Kilau yang belum selesai.

Post a Comment

Previous Post Next Post