Shukri meluahkan perasaan di Instastory semalam.
Pelakon Shukri Yahaya, 30, menjelaskan, dia tidak berniat untuk memarahi mana-mana pihak berhubung rantaian status yang dimuat naik menerusi Instastory semalam.
Pelakon Villa Ghazara itu berkata, status tersebut hanyalah pendapat peribadi yang diluah secara umum mengenai situasi yang pernah berlaku di hadapan matanya.
“Sejujurnya, saya tidak memarahi sesiapa.
“Cuma, saya tergerak hati untuk memuat naik status berkenaan kerana tidak mahu ia berulang kembali,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.
Shukri mengulas mengenai statusnya di Instastory yang dilihat seperti menyelar seorang pelakon baharu ketika berada di set penggambaran.
Menerusi status berkenaan, Shukri kurang bersetuju dengan cara pelakon baharu tersebut yang bertindak memukul pelakon lain walaupun sedang melalui proses lakonan.
Dalam pada itu, Shukri menambah, perkara tersebut sepatutnya tidak berlaku jika seseorang pelakon tahu tentang asas teknikal lakonan.
“Jika mahu melakonkan babak memukul, janganlah pukul betul-betul.
“Sebagai pelakon kita perlu tahu tentang teknik kamera dan bagaimana kita mahu ‘menipu’ secara visual,” katanya lagi.