Syamel pilih lagu rancak


Lagu Syamel kini telah bersedia memberikan lagu-lagu tulisannya untuk dinyanyikan penyanyi lain.

MENeliti katalog lagu milik Syameel sepanjang tiga tahun bergelar anak seni, penyanyi dengan suara serak-serak basah itu nyata telah memenuhkan warna dendangan dengan lagu-lagu berentak balada.

Bermula dengan single perdana Hidup Dalam Mati yang dipasarkan selepas bergelar naib juara Akademi Fantasia 2015 (AF2015), Syamel kemudiannya muncul dengan Lebih Sempurna, Biar Cinta dan duet bersama Ernie Zakri, Aku Cinta.

Biarpun ramai yang melihat Syamel begitu sesuai untuk menyanyikan lagu-lagu berentak sedemikian, namun lelaki berusia 25 tahun itu juga berkeinginan mencuba sesuatu yang berlainan dan mengikut peredaran muzik arus perdana masa kini.

“Sebab itu single terbaharu saya pada kali ini berjudul Kau Pun Sama berentak rancak dan kedengaran sangat berbeza berbanding daripada lagu-lagu sebelumnya.

“Selain mencuba corak muzik berbeza, saya juga mahukan sesuatu yang segar agar ia selari dengan perkembangan muzik semasa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.



Syamel menjelaskan, percubaan pertamanya memasarkan lagu berentak rancak bukanlah sekadar suka-suka atau mahu mencuba.

Dia juga menolak jika ada yang melabelkan usahanya itu sekadar memenuhkan portfolio muziknya yang sudah sedia cemerlang.

Jelas Syamel, lagu-lagu rancak ada kepentingan dalam karier seseorang penyanyi, khususnya jika merancang untuk mengadakan persembahan atau konsert berskala besar suatu hari nanti.

“Saya jadikan Marc Anthony dan Bruno Mars sebagai rujukan. Jika kedua-dua penyanyi itu membuat persembahan, mereka tidak hanya menyanyikan lagu berentak balada tetapi turut menyelitkan lagu-lagu rancak dalam senarai lagu yang ingin dipersembahkan.

“Saya lihat, lagu rancak sebagai pencetus semangat buat penonton untuk lebih menikmati konsert yang dihadiri. Jika saya adakan konsert dan menyanyikan lagu balada sahaja, mungkin penonton akan mengalami pendarahan di dalam telinga sebaik sahaja selesai persembahan,” ujarnya dalam nada berseloroh.

Inspirasi
Ditanya apakah harapan yang diletakkan terhadap lagu berkenaan, Syamel dengan ringkas menjawab: “Memanglah harapan untuk ke Anugerah Juara Lagu itu ada tetapi ia terpulang pada rezeki. Jika diberi peluang, saya terima dengan hati terbuka,” katanya.

Tidak hanya mengikut kepala sendiri, Syamel menambah, dia juga ada meminta nasihat daripada label muziknya iaitu Rocketfuel sebelum memasarkan lagu Kau Pun Sama.

“Sebelum merakamkan lagu Kau Pun Sama, saya duduk berbincang dengan pihak label dan menyatakan hasrat untuk merakamkan lagu berentak rancak.

“Mereka faham situasi dan memberikan sokongan kepada saya. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar,” ujar Syamel yang memilih untuk bergabung dengan Kidd Santhe bagi menyiapkan lagu berkenaan.

Bercerita tentang proses penerbitan, Syamel mengambil masa selama lima hari sahaja untuk menyiapkan lagu, lirik video dan sampul hadapan bagi single tersebut.

Biarpun sedikit meletihkan sepanjang berkarya, namun Syamel berasa sangat berpuas hati dengan hasil yang diperoleh.

“Benar, proses penerbitan single ini hanya memakan masa selama lima hari. Sepanjang tempoh itu juga saya belajar menari.

“Bagaimanapun, saya sangat berpuas hati. Peminat juga memberikan respons yang positif terhadap single kali ini,” katanya sambil tersenyum.

Melanjutkan bicara mengenai Kau Pun Sama, Syamel memberitahu, lirik lagu berkenaan ditulis berdasarkan pemerhatian dan kisah realiti yang dialami oleh rakan-rakan.



“Selalunya, lirik bagi lagu rancak akan kedengaran lebih tegas dan kadangkala penuh dengan sindiran.

“Jadi untuk kali ini, saya memilih tema kecurangan sepasang kekasih yang saling menuding jari atas kesalahan masing-masing,” jelasnya lagi.

Duet
Sejak menjuarai program Duo Star sekitar dua tahun lalu, Syamel dan pasangan duetnya, Ernie Zakri dilihat begitu akrab dan serasi sewaktu berada di atas pentas.

Buktinya, lagu Aku Cinta yang dipertandingkan pada Anugerah Juara Lagu ke-32 telah berjaya menambat hati juri sehingga membolehkan mereka dipilih sebagai penerima anugerah bagi kategori vokal terbaik.

Sungguhpun begitu, Syamel tidak pernah meletakkan Ernie sebagai rakan duet eksklusifnya. Malah menurut Syamel, baik dirinya mahupun Ernie, masing-masing bebas untuk berpadu vokal dengan sesiapa sahaja.

“Program Duo Star merupakan platform kami untuk mengasah kebolehan sebagai penyanyi duet. Hakikatnya, saya dan Ernie bermula sebagai penyanyi solo.

“Kami tidak mengikat jalan karier masing-masing. Jika Ernie ingin berduet dengan artis lain, dia bebas berbuat demikian,” katanya.

Menolak sebarang gosip cinta bersama dan mengakui hanya berkawan rapat, Syamel menjelaskan bahawa Ernie merupakan sahabat yang tidak pernah berkira dengannya.

“Sejak berkawan dengannya, Ernie banyak membantu saya membetulkan nyanyian. Maklumlah, dia merupakan guru vokal. Banyak perkara baharu yang saya belajar daripadanya.

“Saya pula berkebolehan mencipta lagu dan insya-Allah, untuk single solo Ernie seterusnya, dia akan menyanyikan lagu saya,” jelas Syamel sambil menyifatkan lagu tersebut merupakan cerminan Ernie sebagai seorang penyanyi.

Terlanjur berbicara mengenai penciptaan lagu, Syamel sudah bersedia memberikan lagu-lagu ciptaannya untuk dinyanyikan penyanyi lain.

“Sebelum ini, ramai yang pernah meminta lagu daripada saya. Namun, saya terpaksa menolak permintaan mereka kerana belum bersedia.

“Bagaimanapun, rasanya sudah tiba masa untuk saya lebarkan sayap dalam bidang seni dan cuba berkarya untuk penyanyi lain pula,” katanya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post