Maya Karin sedia sambung watak Sakinah


Maya Karin sanggup membawa watak Sakinah jika Munafik 2 yang kini memperoleh kutipan RM40 juta dikembangkan untuk naskhah seterusnya. Kata Maya kesanggupan itu bukan kerana filem tersebut laris, tetapi beliau teruja bekerja dengan barisan karyawan yang hebat.

Terkejut dengan magis yang dicernakan filem lakonannya, Munafik 2 apabila mengaut kutipan RM40 juta dalam tempoh 17 hari tayangan, aktres jelita Maya Karin bersedia andai watak Sakinah yang dipegangnya dalam filem arahan Syamsul Yusof itu disambung untuk sekuel selanjutnya.

Kata Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke, 38, beliau pada mulanya hanya meletakkan harapan filem terbitan berkenaan paling tidak menyamai kutipan panggung filem pertama iaitu sekitar RM17.04 juta.

Mengulas tentang kejayaan dua kali ganda dari segi kutipan, Maya menegaskan ia disokong kuat jenama, promosi serta komitmen kru serta para pelakon yang terlibat. Tambah Pelakon Wanita Terbaik Pesta Filem Asia Pasifik ke-49 itu, beliau bersyukur kerana diberi peluang bekerjasama dengan pelakon-pelakon hebat yang terlibat dalam filem terbitan Skop Productions Sdn. Bhd. itu.

Terlanjur berbicara, Maya juga memberikan komen lanjut tentang kicauan di Twitter berhubung lambakan pusat beli-belah di Malaysia yang tidak mencerminkan pembangunan sebenar seiring kemajuan bandar baru-baru ini.



Munafik 2 kini merupakan filem terlaris dalam sejarah perfileman Malaysia apabila sudah mengutip angka RM40 juta di panggung. Bagaimana Maya melihat perkembangan ini?

MAYA KARIN: Sudah tentu saya tidak menyangka dapat mencecah sehingga angka kutipan RM40 juta. Sejujurnya, harapan saya hanya filem ini menyamai kutipan filem yang pertama. Sehingga kini, filem ini masih ditayangkan di pawagam dan angka kutipan pasti akan bertambah. Walaupun terkejut, saya juga terharu dengan sokongan peminat kita yang semakin mempercayai karya tempatan.

Kiranya, memang berbaloi anda berlakon menjayakan watak Sakinah dalam filem ini?

Suka untuk saya ingatkan bahawa semua pelakon yang terlibat dalam filem ini memainkan peranan masing-masing dengan jayanya. Kebanyakan daripada kami sudah mempunyai pengalaman yang lama dalam bidang lakonan.

Hal ini membuktikan, apa yang menerbitkan kejayaan bukan hanya berpandukan pelakon yang mempunyai wajah atau fizikal yang cantik mahupun pengikut yang ramai di Instagram, namun bakat dan pengalaman lebih memainkan fungsi yang lebih berkesan.

Menerima berita karya lakonan kita mencipta sejarah dan mendapat sambutan luar biasa, hilang segala penat dan lelah ketika menjalani proses penggambaran yang cukup mencabar.

Andai watak Sakinah disambung untuk francais filem yang berikutnya, adakah anda bersedia untuk menjayakannya?

Saya bersedia untuk sekali lagi menjayakan watak Sakinah, namun bukan kerana merasa seperti di awang-awangan hasil kejayaan kutipan paling tinggi di panggung. Sebaliknya, lebih kepada kepuasan bekerja dengan orang-orang yang hebat. Kalau dulu orang panggil saya Izzah, (watak dalam Ombak Rindu), sekarang melekat nama Sakinah! Terus diterima atau tidak, itu kita serahkan kepada rezeki. Bagaimanapun, saya memang berterima kasih kepada Syamsul kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk melakonkan watak Sakinah.

Terima kasih kepada para pelakon yang terlibat. Tanpa kerjasama dan sokongan semua, kejayaan ini memang tidak akan terjadi.



Bagaimanakah anda melihat sokongan 
penonton kita terhadap filem-filem tempatan sejak kebelakangan ini?

Apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini (kutipan tinggi filem tempatan) bukan bermakna penonton kita sudah tidak lagi menonton filem-filem luar atau Hollywood.

Mereka tetap menonton apa sahaja filem yang mempunyai kualiti yang bagus. Apa yang kita sebagai penggiat seni perlu lakukan adalah menggandakan usaha agar terus mendapat kepercayaan penonton, sekali gus mengangkat martabat filem tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.

Harapan anda untuk melihat Munafik 2 juga mencipta kejayaan pada majlis anugerah atau festival filem? Mungkin anda juga sebagai pesaing untuk trofi pelakon wanita terbaik?

Kalau untuk trofi pelakon wanita terbaik, saya harus akui Datin Seri Umie Aida lebih berhak untuk memegang trofi itu. Kalau ditakdirkan saya bersaing dengan beliau, saya harus akur trofi itu miliknya kerana lakonannya dalam filem Dukun memang amat memberi kesan.

Untuk filem ini sendiri, saya berpendapat Syamsul sudah melakukan peranan yang amat cemerlang sebagai tuan pengarah. Jadi, terpulang kepada individu yang diberi mandat sebagai juri nanti untuk membuat penilaian.

Sedikit mengenai kicauan anda di Twitter baru-baru ini mengenai kerakusan segelintir pihak membina pusat beli-belah dan membina banyak tempat bermain yang perlu dibayar seperti membuatkan ramai ‘terhantuk’. Kalau tidak keberatan boleh anda memberikan komen lanjut?

Suka atau tidak, memang wujud segelintir pihak yang hanya memikirkan tentang keuntungan tanpa memikirkan tentang kesan terhadap generasi akan datang.

Bina pusat beli-belah banyak-banyak dan musnahkan taman permainan ‘semula jadi’ kanak-kanak gantikan dengan yang palsu. Ingin menggunakan taman permainan di pusat beli-belah, ibu bapa harus bayar.

Itu sudah dikira hak kanak-kanak dirampas demi kepentingan tertentu. Ingin bikin keuntungan sehingga sanggup membelakangi masa depan generasi muda-muda kita.

Post a Comment

Previous Post Next Post