Entah berapa banyak jiwa yang parah dan galau berjaya dipulihkan DJ Lin dan Fizi Ali dengan alunan suara mereka di corong radio.
Dua figura itu tidak perlukan rupa paras seperti Syed Saddiq atau Mira Filzah untuk menangkap jiwa pendengar.
Cukup dengan kelunakan suara dan putaran lagu yang menggetar rasa, slot kendalian Lin iaitu Suria Cinta dan Fizi menerusi Team Pagi Suria, kedua-duanya berjaya membuai hati pendengar stesen radio Suria FM.
Meskipun berbeza pengalaman, Lin dan Fizi ibarat jaguh di lapangan seni suara.
Antara kayu pengukurnya, bukan sedikit curahan perasaan diterima Lin menerusi slot Suria Cinta kendaliannya yang ke udara dari pukul 8 malam hingga 1 pagi itu.
Dia ibarat doktor cinta yang berjaya menyatukan banyak hati sehingga ke peterana perkahwinan. Maka tidak hairan, apabila Lin berjaya mengaut banyak anugerah seperti Penyampai Radio Wanita Terbaik di Anugerah Seri Angkasa, Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular 2016, bahkan memenangi Anugerah Ikon Wanita Muda 2012.
Sementara Fizi pula, biarpun belum menuai nama dan anugerah seperti regunya, Lin, dia bagaimanapun meraih kelompok peminat tersendiri. Malah, Fizi juga mengakui pernah menerima panggilan daripada seorang pendengar yang selesa meluahkan rasa hiba dan ralatnya kerana tidak sempat memohon maaf kepada arwah bapanya.
Kopitiam minggu ini menyingkap sisi sebenar Lin dan Fizi serta perkongsian mereka tentang Hari Malaysia ketika ditemui pada malam apresiasi media anjuran Suria FM di Red Box, The Garden.
Kongsikan mengenai penglibatan kalian dengan stesen radio Suria FM?
LIN: Saya sudah bersama dengan Suria FM sejak stesen radio itu mula ditubuhkan pada awal 2006. Kalau dihitung dekat 12 tahun saya menjadi penyampai radio di Suria FM. Bermula tanpa pendengar sehingga stesen berkenaan mendapat jutaan pendengar baik dalam negara mahupun di luar negara menerusi online di www.suria.fm.
FIZI ALI: Kalau diikutkan saya sudah bersama dengan Suria FM sejak tahun 2016. Alhamdulillah masih lagi diberi kepercayaan untuk terus mengemudikan slot Team Pagi Suria bersama Shahrol dan Issey.
Boleh kongsikan segmen kendalian kalian dan bagaimana sambutannya?
LIN: Saya kendalikan slot Suria Cinta setiap Ahad hingga Jumaat, 8 malam hingga 1 pagi. Berdikit-dikit saya kumpul peminat dan alhamdulillah, jumlah pendengar terus meningkat. Malah, saya juga berjaya mengumpul peminat hampir 400,000 menerusi laman sosial Facebook menerusi slot tersebut.
FIZI ALI: Sejak awal pembabitan di Suria FM lagi saya diberi kepercayaan untuk kendalikan slot pagi iaitu Team Pagi Suria (dahulunya dikenali sebagai Suria Pagi). Seronoknya bergandingan dengan Shahrol dan Issey apabila kita dapat berborak mengenai pelbagai perkara berbanding jika digandingkan dengan penyampai radio wanita.
Apa yang membuatkan kalian jatuh cinta dengan bidang penyampaian radio?
LIN: Pada awalnya saya bercita-cita untuk menjadi polis. Ini kerana, kakak sulung saya berkhidmat dalam pasukan tersebut. Pernah dua kali cuba temu duga jawatan polis, tetapi malangnya tidak dapat kerana ketika itu mereka lebih menginginkan calon lelaki. Akhirnya jalan hidup saya tertulis sebagai penyampai radio. Selepas bekerja, baru saya rasakan bidang tersebut dekat dengan jiwa. Sementelahan saya seorang yang suka mendengar masalah orang dan menzahirkan kasih sayang kepada mereka.
FIZI ALI: Sebenarnya saya bukan seorang yang banyak bercakap. Kalau lepak dengan kawan-kawan pun saya lebih suka dengar mereka berborak. Namun, secara automatiknya saya mampu bercakap banyak di depan mikrofon. Saya menyedari hal tersebut ketika menyertai program realiti di Astro iaitu On Air bersama Pak Nil. Selepas itu, saya mencuba bidang penyampaian radio dan mula jatuh cinta dengan karier tersebut.
Pernah ada pengalaman lucu atau ngeri daripada peminat?
LIN: Slot Suria Cinta menjadi medan untuk pendengar berkongsi apa sahaja seperti soal cinta, cerita bahagia, bahkan membantu cari jodoh. Maka, menjadi momen manis buat diri saya apabila ramai pendengar yang bertemu jodoh menerusi slot kendalian saya itu. Saya juga cuba mengubati hati mereka yang terluka ditinggalkan kekasih. Barangkali itu antara sumbangan yang mampu saya berikan kepada masyarakat negara ini.
FIZI ALI: Sejujurnya banyak dapat pengalaman ketika menjadi penyampai radio. Satu daripadanya ketika saya kendalikan segmen sempena Hari Bapa. Ada pendengar yang mengadu sedih tidak sempat memohon maaf sebelum bapanya meninggal dunia. Dia luahkan segala-galanya sehingga menangis. Sejak itu saya sedar, sebagai penyampai radio bukan setakat mainkan lagu tetapi menjadi pendengar setia. Radio juga menjadi medium untuk pendengar meluahkan perasaan tanpa wajah dilihat sesiapa. Pengalaman lucu pula apabila mendapat panggilan orang yang sama semata-mata ingin menang hadiah. Dia juga sanggup menyamar. Bagaimanapun, saya sangat hargai setiap pendengar. Siapalah kami di Suria FM, jika tanpa pendengar setia.
Sempena Hari Malaysia apakah yang kalian boleh kongsikan mengenai hari tersebut?
DJ LIN: Sebagai selebriti, kita harus berusaha untuk beri contoh yang terbaik. Malah, berkongsi cara untuk sama-sama membantu dalam mengekalkan kesejahteraan Malaysia.
FIZI ALI: Pada Hari Malaysia, Suria FM adakan segmen khas iaitu menjemput abang askar bersuara lunak yang viral baru-baru ini.
Selain bidang penyampai radio, ada cabang seni lain yang diterokai kalian?
DJ LIN: Alhamdulillah, selain bergelar penyampai radio, saya juga memegang jawatan sebagai Pemangku Pengurus Kanan, Suria FM. Saya juga berhasrat untuk menceburi bidang bisnes kafe yang berkonsepkan muzik serta deejay.
FIZI ALI: Saya pernah menerima beberapa tawaran berlakon, tetapi saya tolak. Bukan apa, saya rasa tidak berbakat untuk berlakon. Bagaimanapun, saya berminat untuk bergelar sebagai hos program.
Kongsikan perkara menarik tentang kalian yang barangkali peminat tidak tahu?
DJ LIN: Mungkin ada yang tidak menyangka yang saya gemar pada barangan Hello Kitty. Pantang ada barangan tersebut dijual di kedai, saya akan membelinya. Selain itu, saya jenis yang suka mendengar masalah orang dan berjiwa sentimental. Maka disebabkan itu, saya sesuai mengendalikan slot Suria Cinta.
FIZI ALI: Saya jenis yang kuat berpeluh walaupun berada dalam bilik berhawa dingin. Selain itu, saya juga mengalami rabun yang teruk sehingga mencapai tahap 600. Bagaimanapun, saya lebih selesa untuk berkongsi gambar swafoto tanpa memakai cermin mata di Instagram. Saya juga aktif sukan terutama bola sepak dan pernah mewakili daerah ketika di sekolah rendah.
Soalan terakhir, boleh kongsikan mengenai teman hidup masing-masing?
DJ LIN: Di atas kesibukan dalam karier, kalau ditanya tentang steady boyfriend itu, sejujurnya saya belum jumpa. Setakat teman keluar minum saja ada. Saya mengharapkan doa daripada peminat agar pintu jodoh saya terbuka. Susah sebenarnya mahu mencari pasangan seperti ayah kita. Apatah lagi, kedua-dua anak saya sedang membesar. Seorang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia dan seorang lagi berada di tingkatan tiga.
FIZI ALI: Saya bersyukur isteri tidak alami apa-apa alahan di awal trimester pertama kandungan. Momen paling berharga apabila saya dapat menyaksikan anak saya menghisap jari ketika imbasan kandungan dilakukan.