Lagu-lagu yang didendangkan oleh kumpulan indie popular yang berpayungkan nama Bunkface ini bukanlah lagu cinta biasa.
Jika menghayati bait-bait liriknya, kebanyakan lagu mereka menyuntik rasa semangat, malah lagu mereka berjudul Kita Punya Malaysia mampu memupuk rasa cintakan negara, sekali gus dirasakan berbeza dengan arus karya muzik anak seni lain.
Bukan sekadar itu, Kita Punya Malaysia terpilih diangkat untuk menjadi lagu tema sempena meraikan sambutan Hari Kebangsaan negara ke-61 pada 31 Ogos lalu.
Menyedari hal itu, Sensasi Bintang pada minggu ini telah memilih Bunkface sebagai penghias muka depan bertepatan dengan Hari Malaysia yang disambut pada tanggal 16 September setiap tahun.
Dianggotai tiga anak muda berbakat besar iaitu Shamsul Anuar atau Sam (penyanyi, pemain gitar), Ahmad Farhan atau Paan (pemarin gitar) dan Farouk Jaafar atau Youk (pemain bass), mereka diminta bercerita serba sedikit mengenai karya selain berkongsi pengertian Hari Malaysia.
Penuhi ruang
Anak seni lain banyak mengetengahkan karya dan mencuri perhatian sang pendengar menerusi lagu cinta yang mampu menawan hati selain berjaya membolos untuk menjadi runut bunyi dalam sesebuah naskhah.
Namun, ia berbeza bagi tiga jejaka tampan ini yang lebih mahu keluar daripada kelompok kelaziman sehinggakan mereka memilih untuk ‘melawan arus’.
“Kebanyakan lagu kami berunsur-kan semangat dan jika tanya kenapa kami memilih karya begitu, mungkin jawapannya sebab tidak ada orang lain yang mengetengahkannya.
“Kami mahu ‘melawan arus’ yang mana sering kali kita tahu sesetengah artis Melayu lebih sinonim dengan lagu cinta dan ‘tangkap leleh’,” ujar Paan.
Menyambung bicara, Sam pula menjelaskan, karya-karya yang dibawa juga adalah berdasarkan perjalanan kisah karier mereka.
“Kebanyakan lagu yang kita hasilkan adalah berkisar perjalanan karier kami yang ada naik dan turun. Justeru, lagu-lagu yang dibawa dilihat mampu menyuntik semangat.
“Lagipun, kalau kita tulis lagu pasal cinta sahaja, ia agak sukar untuk mencapai sasaran kerana ia tidak boleh pergi jauh.
“Lagu kemerdekaan misalnya, kita boleh capai sasaran bukan sahaja melibatkan orang muda dan tua, malah meliputi semua kaum,” jelasnya.
Sementara itu, Youk menambah, cinta itu definisinya sungguh besar.
“Pengertian cinta itu besar kerana ia boleh menjadi cinta kepada kekasih, sahabat dan negara .
“Jadi, topik bagi sesebuah cinta itu banyak yang kita boleh ceritakan dan zahirkan menerusi sesebuah lagu. Justeru, kita tampil dengan sesuatu yang berbeza sesuai dengan keselesaan kami,” katanya.
Jelas ketiga-ketiga anak muda itu lagi, dengan kelainan itu, mereka dapat memenuhi ruang-ruang kosong yang ada dalam industri hiburan dan percaya perbezaan dapat mengangkat mereka ke satu tahap lebih baik.
Hari Malaysia
Akur dengan jawapan yang dilontarkan, pada petang yang masih berbaki hujan renyai-renyai itu, Sam, Paan dan Youk diajak pula berbicara mengenai pengertian Hari Malaysia pada diri mereka.
Ini jawapan yang keluar daripada mulut ketiga-tiga anak muda ini.
“Bagi saya, Hari Malaysia adalah hari yang harus diingati oleh semua rakyat Malaysia terutamanya generasi baharu,” ujar Sam.
Paan pula memberitahu, Hari Malaysia baginya adalah penyatuan rakyat. Jadi dia berharap, rakyat Malaysia bersatu padu agar dapat hidup dalam keadaan yang harmoni.
Sementara itu, Youk pula berpendapat, Hari Malaysia pada kali ini ada sedikit kelainan memandangkan kita berada dalam pemerintahan baharu. Selain itu, ia juga adalah untuk memperingati penyatuan 14 negara melibatkan bahagian Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Projek
Sebelum mengakhiri pertemuan yang memakan masa hampir dua jam itu, Sam, Paan dan Youk sempat bercerita mengenai projek terbaharu mereka pula.
Sam memberitahu, buat masa sekarang mereka masih lagi fokus terhadap lagu kemerdekaan iaitu Kita Punya Malaysia.
“Kita masih fokus untuk lagu tersebut dan persembahan yang akan datang.
“Kemudian, dalam masa terdekat insya-Allah kami akan keluarkan album dan dalam album berkenaan, ada lagu bahasa Inggeris.
“Empat lagu bahasa Inggeris dan empat lagu bahasa Melayu yang mana dua daripadanya iaitu Apa Pun Tak Boleh,” ujarnya yang masing-masing memberikan komitmen sepenuhnya terhadap Bukface buat masa sekarang.