Bukan mudah untuk sesebuah lagu itu terus berada di carta radio. Bahkan, adakalanya, seseorang penyanyi itu memerlukan sehingga setahun lamanya menunggu untuk lagu itu diterima. Jika tidak kena formulanya, silap-silap ada lagu yang tidak disedari kehadirannya.
Bagaimanapun, berbeza pula dengan penyanyi Khai Bahar. Dia merupakan seorang penyanyi yang boleh dikatakan bertuah.
Apa sahaja lagu yang didendangkan penyanyi berusia 24 tahun itu, pasti akan menjadi hit, termasuk lagu terbaharunya, Jodohku yang sudah mencecah lebih 2.7 juta tontonan dalam tempoh lebih kurang satu bulan sahaja.
Di sebalik kejayaan dia mencipta nama, ada cakap-cakap belakang yang mendakwa bahawa pelantun lagu Luluh itu kononnya mempergunakan peminatnya untuk meraih undian agar lagu-lagunya diputarkan di corong-corong radio.
Begitupun, penyanyi yang mempunyai pengikut lebih 1.4 juta itu menyangkal dakwaan tersebut. Mengakui peminat merupakan aset penting dalam kejayaannya hari ini, justeru, dia sesekali tidak pernah terdetik mahu mengambil kesempatan ke atas peminat-peminatnya yang selama ini memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepadanya.
Sebaliknya, dia mengakui bahawa sokongan peminatnya yang menggelarkan diri mereka sebagai Khai Bahar Empire itulah yang menjadi faktor utama mengapa lagu-lagu nyanyiannya menduduki carta-carta atas di radio selama ini.
“Formula bagaimana lagu-lagu saya mendapat respons positif adalah disebabkan oleh penyokong. Ini kerana, mereka sendiri yang akan membuat permintaan di radio untuk memainkan lagu-lagu saya. Mereka pun akan maklumkan kepada saya mengajak peminat-peminat lain mengundi lagu di platform radio.
“Secara jujurnya, saya tidak pernah terdetik nak pergunakan mereka. Saya tak pernah menyuruh mereka lakukan hal seperti itu, sebaliknya semuanya itu dilakukan mereka seikhlas hati. Tengoklah sekarang pada hari ini pun (sewaktu majlis), mereka sendiri datang untuk memberi sokongan tanpa saya suruh pun,” katanya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui sewaktu pelancaran Teh Tarik Place di Hotel KIP, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Katanya lagi, dia mengakui, sebagai individu yang mempunyai peminat, dia sebolehnya mahu memberikan yang terbaik buat mereka. Justeru, Khai memberitahu, dia mahukan sebuah hubungan antara artis dan peminat berada dalam suasana selesa.
“Sebolehnya saya memang cuba mahu peminat berasa selesa dengan saya. Kalau boleh mahu berikan layanan sama rata kepada mereka. Saya tidak pernah ada kelab peminat yang rasmi. Cumanya, masing-masing diuruskan secara peribadi oleh individu tertentu. Bagaimanapun, kesemua pengurus kelab peminat itu saya kenal mereka,” katanya.
Biarpun mahu mewujudkan keselesaan dan mengeratkan ukhwah antara satu sama lain, kata Khai, dia tetap menjaga batasan. Lebih-lebih lagi, katanya, majoriti pengikutnya terdiri dalam kalangan wanita.
“Penyokong saya memang ramai perempuan. Bahkan, ramai juga dalam kalangan mereka yang bergelar ibu. Mereka anggap saya seperti anak sendiri.
“Jadi, rata-rata mereka mahu melihat saya berjaya seperti anak mereka sendiri,” katanya yang memberitahu mempunyai enam kelab peminat yang utama di beberapa negara termasuk Brunei, Singapura dan Hong Kong.
Dalam pada itu, menurut Khai, dia juga berdepan situasi lazim daripada peminat fanatik di laman sosial. Adakalanya, kata Khai dia bimbang dengan keadaan itu.
“Tak adalah sampai yang nak raba-raba. Setakat nak bermanja adalah (seloroh). Ada juga yang menghantar mesej di Instagram menyatakan hasratnya agar mereka merupakan pilihan jodoh saya. Kadang-kadang bimbang juga kerana khuatir mereka fikir saya memberi harapan kepada mereka,” kongsinya.