Bukan mahu mendamba publisiti, namun situasi yang sedang dihadapi pelakon berbakat, Noorkhiriah kini umpama ditelan mati emak, diluah mati bapa.
Dia dihambur pelbagai pandangan usai berkongsi gambarnya memakai bulu mata palsu di Instagramnya baru-baru ini.
Malah, tanpa sengaja dia turut menulis kapsyen memakai bulu mata palsu kerana ingin nampak cantik.
Bagaimanapun, sejurus menerima pelbagai kritikan, dia terpaksa memadam kapsyen tersebut dan menutup ruangan komen pada gambar berkenaan.
“Saya sedar khilaf saya. Saya tukar kapsyen kerana tidak mahu ada sebarang perbalahan antara netizen. Sebab masing-masing ada pandangan mengenainya (pemakaian bulu mata palsu),” ujar Khiriah ketika dihubungi Sensasi Bintang.
Enggan mengatakan tidak pada pemakaian bulu mata, Noorkhiriah takut tidak mampu untuk terus-terusan beristiqamah. Malah, dia juga enggan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pemakaian bulu mata palsu kerana ramai teman dalam industri seni yang turut memakainya.
“Saya tidak berani untuk mengatakan yang diri ini sudah istiqamah kepada Allah. Sebabnya, saya takut di kemudian hari saya masih lagi memakai bulu mata palsu.
“Pada saya Mizz Nina itu boleh dikatakan sudah beristiqamah. Sebaliknya saya masih seorang yang lintang-pukang,” ujarnya yang turut mengakui menolak tawaran yang memerlukannya bergaya berlebihan atau mengenakan tudung yang menampakkan susuk dada.
Pada masa sama, pelakon drama popular Nur itu juga mengakui tidak begitu tinggi ilmu agama dan bukan seorang pakar motivasi.
“Saya ada ilmu sedikit tetapi tidaklah pandai sangat. Bukan apa, ramai yang mesej bertanya tentang hal agama dan sebagainya dengan saya. Ini kerana, saya pernah membuka ruang pertanyaan di Insta Story dan selepas itu pelbagai persoalan muncul sehingga ada yang mesej saya secara peribadi. Sejujurnya yang mana saya boleh jawab, saya akan jawab dengan jujur,” ulasnya.
Dalam perkembangan lain, pelakon berusia 39 tahun itu bakal menjalani penggambaran drama Nur 2 pada hujung tahun ini.
Disoal mengenai drama lain, sambil menghela nafas, Noorkhiriah memberitahu, dia ditawarkan dua drama tetapi terpaksa ditangguhkan penggambarannya.
“Saya anggap tiada rezeki sebab dua drama yang ditawarkan itu terpaksa ditangguhkan penggambarannya. Cuma ada satu drama saya yang bakal muncul di RTM tak lama lagi,” ujarnya menutup bicara.