Wheely tidak tiru filem Cars


Norman mampu tersenyum lebar apabila filem animasi terbitannya, Wheely akan menembusi pasaran dan ditayangkan sekurang-kurangnya di 100 buah negara tidak lama lagi.

Selepas kejayaan filem animasi Ribbit terbitan KRU Studio sekitar tahun 2014, kini Kartun Studio yang merupakan jenama kandungan kanak-kanak bawah label KRU International sekali lagi tampil dengan sebuah naskhah baharu berjudul Wheely.

Hadir dengan kualiti yang lebih baik, filem animasi Wheely dilihat mampu menjadi tanda aras baharu dalam bidang animasi tempatan.

Masakan tidak, filem yang menampilkan lakonan suara Zizan Razak, Lisa Surihani dan Johan itu memakan masa selama empat tahun untuk proses pembikinan.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Datuk Norman Abd. Halim selaku penerbit eksekutif filem itu yang bakal menemui penonton pada 16 Ogos ini.

Lebih menarik, filem tersebut turut berjaya menarik perhatian dunia perfileman antarabangsa apabila lebih 100 buah negara telah menyatakan persetujuan untuk tayangan filem berkenaan tahun ini.

KOSMO!: Boleh Norman terangkan berapa lama masa yang diambil untuk menyiapkan filem animasi Wheely?

NORMAN: Filem ini mengambil masa empat tahun untuk disiapkan kerana memerlukan proses persediaan yang panjang.

Bermula dengan praproduksi seperti penyediaan skrip selama lebih setahun, kemudian diikuti proses produksi yang memakan masa lebih dua tahun.

Dalam tempoh itu, kami juga membuat prajualan pada peringkat antarabangsa apabila skrip siap dan sedikit tayangan sedutan daripada filem.

Alhamdulillah, kami berjaya mendapat tempahan dari 100 buah negara. Antaranya beberapa negara besar seperti Amerika Syarikat, China, Korea Selatan dan Jerman serta beberapa negara kecil seperti Poland, Ecuador dan Slovakia.

Ini merupakan satu kejayaan bagi filem animasi buatan tempatan kerana kami sudah membina jenama Malaysia sebagai pengeluar produk animasi.

Sebagai contoh, sebelum ini kita berjaya dengan naskhah Upin Ipin, Ejen Ali dan Boboiboy khususnya untuk siri televisyen tetapi untuk filem ini merupakan sebuah kejayaan besar buat industri animasi tempatan.

Adakah semua pengedar dari negara tersebut sudah mengesahkan pembelian dan bilakah filem Wheely akan ditayangkan di negara luar?

Mereka semua sudah mengesahkan pembelian dan sudah membayar wang pendahuluan.

Malaysia akan mula menayangkan filem ini pada 16 Ogos diikuti negara Rusia, seterusnya di Brazil dan Slovakia.

Terdapat juga beberapa negara lain yang belum menetapkan tarikh, namun tayangan tetap akan dibuat pada tahun ini.

Jika tidak keberatan, boleh kongsikan bajet yang diperlukan untuk pembikinan filem berkenaan?

Jika dilihat dari segi nilai produksi dan kualiti yang dihasilkan, ini merupakan filem termahal yang pernah diterbitkan Kartun Studios iaitu jenama kandungan bawah KRU International. Ia menelan bajet lebih daripada RM10 juta.





Bagaimana pula dengan cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh empat tahun pembikinan?

Cabarannya adalah kekangan bajet kerana kami tiada pelabur dan berharap pada dana-dana dalaman dan pinjaman.

Kedua adalah kekurangan kakitangan yang mempunyai kepakaran dalam animasi. Jadi, kami melatih kakitangan di KRU Akademi selain mendapat khidmat daripada pakar animasi luar negara untuk bekerja di sini.

Seramai 100 tenaga kerja digunakan untuk menyiapkan karya ini.

Apa pandangan anda apabila masyarakat membandingkan Wheely dengan filem Cars?

Jika ada pihak membuat persamaan dengan filem Cars, saya anggap sebagai pengiktirafan besar buat kami kerana mereka membandingkan kualiti karya tempatan dengan produk keluaran Disney atau Pixar.

Saya rasa itu kejayaan buat kami tetapi jika dibandingkan dari segi keaslian cerita, saya ingin ingatkan bahawa ia 100 peratus berbeza malah rekaan kami juga berbeza.

Saya turut mendapat beberapa komen yang menyatakan seolah-olah kami ini tiada idea lain, tetapi jika kita lihat beza filem Wings terbitan Lionsgate dan Disney dengan Plane, kedua-duanya juga berkonsepkan kapal terbang yang boleh bercakap.

Saya rasa tidak adil sekiranya kami dianggap tiada idea atau keaslian. Kami juga sudah berurusan dengan banyak pihak untuk mendaftarkan hak cipta animasi ini.

Bagaimana pula jika Wheely dibandingkan dengan Ribbit yang pernah diterbitkan KRU Studio pada tahun 2014?

Filem Wheely jauh berbeza dari segi kualiti, penyampaian dan plot cerita. Saya berharap Wheely akan membuka ruang baharu khususnya dalam bidang animasi untuk KRU dan industri filem tempatan umumnya.


Post a Comment

Previous Post Next Post