Tiz Zaqyah , Siti Saleha tetap ke dapur


TIZ (kiri) dan Saleha gemar memasak lebih-lebih lagi pada masa lapang.

MELIHAT dua nama ini, Tiz Zaqyah dan Siti Saleha, mungkin ada yang skeptikal terhadap mereka bahawa golongan artis sebegini mereka mungkin tidak punya masa untuk ke dapur.

Bagaimanapun, siapa sangka, dua aktres ini juga sebenarnya punya kecintaan yang sama dalam bidang masakan. Maka, tidak hairanlah mereka mempunyai kecenderungan untuk menyediakan juadah sendiri di rumah.

Sungguhpun begitu, pada masa sama, mereka punya pandangan tersendiri mengenai peranan tugas memasak, terutamanya bagi mereka yang sudah berumah tangga.

Minggu ini, Sensasi Bintang berkesempatan menemu bual aktres Tiz Zaqyah dan Siti Saleha ketika ditemui sewaktu majlis pra-tonton naskhah filem televisyen (FTV) Memori Pajeri Nanas baru-baru ini untuk berkongsi cerita mengenai minat mereka dalam bidang masakan.

Apabila menyentuh perihal masuk ke dapur, selalunya orang akan melabel tugas itu sebagai seorang tugas wanita. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah berumah tangga. Apakah pandangan anda mengenai perkara itu?

TIZ ZAQYAH: Saya tidak berkahwin lagi. Cuma, apa yang selalunya orang ajar bahawa dalam kehidupan berumah tangga, kena ada konsep give and take atau bertolak ansur dalam segala hal termasuklah bab masakan. Masing-masing kena sama-sama memasak. Lagipun kalau isteri ada kerja, mengapa tidak suami ambil alih. Kalau dahulu, kerja memasak selalu sangat dikatakan kerja orang perempuan, tetapi sekarang perkara itu berubah.

SITI SALEHA: Dalam hal ini, sebenarnya kita bukan bercakap pasal peranan sesuatu jantina itu. Kena ada situasi menang-menang. Kalau suami boleh memasak untuk isteri, pada saya itu sudah cukup bagus. Lagipun dengan masak pun boleh pikat hati. Kalau bakal suami suka masak hari-hari pun memang buat saya gembira.

Bagi wanita berkerjaya seperti kalian yang selalu berada di lokasi penggambaran, adakah kesibukan bekerja akan membuatkan anda menjadikan alasan untuk jarang ke dapur?

TIZ ZAQYAH: Pada saya, orang perempuan memang kena ke dapur juga. Sibuk bekerja bukanlah satu alasan untuk tidak boleh memasak. Kadang-kadang masak dan siap bagi orang makan lagi. Duduk menunggu di set lagilah asyik nak makan sahaja.

SITI SALEHA: Saya pula bukan setiap hari memasak, lebih-lebih lagi apabila jadual kerja di set penggambaran padat. Cuma, kalau saya ada masa nak masak, saya memang boleh lakukan sendiri. Bahkan, kalau malas nak buat pesanan penghantaran makanan ke rumah, saya akan masak apa sahaja barang dapur yang ada di rumah.

Pada usia berapa kalian mula belajar memasak?

TIZ ZAQYAH: Alamak, tak ingat pula. Cuma, seingat saya dari usia saya remaja sekolah lagi. Cuma, ketika itu masak yang ringkas sahajalah.

SITI SALEHA: Waktu umur saya 16 tahun. Itu pun masak yang ringkas sahaja. Apa yang saya boleh katakan, masakan Melayu lagi susah disediakan berbanding masakan ala Barat.

Di mana selalunya kalian mendapat inspirasi atau idea untuk memasak?

TIZ ZAQYAH: Belajar dengan ibu saya. Kalau saya masak, dia rasa dan beritahu tak sedap memang kena marah (seloroh), tetapi biasanya dia puji.

SITI SALEHA: Saya suka tengok rancangan televisyen masakan kelolaan cef selebriti terkenal Jamie Oliver. Menerusi program itu, kita dapat ilmu masakan berguna. Lagipun, saya memang suka bereksperimen dengan masakan. Tidak sukar kerana sekarang kita pun boleh belajar menerusi YouTube. Biasanya, saya pergi ke pasar raya dan cuba sendiri di rumah lepas menonton program tersebut.


TIZ dan Saleha berpendapat tugas memasak dalam rumah tangga bukan terletak pada bahu wanita semata-mata.

Jika ada orang membuat permintaan kepada anda untuk menyediakan juadah, apakah menu air tangan istimewa daripada kalian yang akan dihidangkan?

TIZ ZAQYAH: Saya suka masak lemak cili api. Bahkan, itu juga menu juadah kegemaran saya. Cuma, kalau di rumah itu ibu saya memang seorang yang handal dalam memasak, boleh serah kepadanya.

SITI SALEHA: Salmon panggang. Lagipun nak menyediakan juadah tersebut pun mudah. Sekiranya kalau tanya saya juadah kegemaran, saya pun suka apa sahaja jenis masak lemak.

Dalam banyak-banyak juadah, boleh kongsikan apakah makanan yang kalian tidak gemar?

TIZ ZAQYAH: Saya kurang sikit kalau makan sayur. Lebih-lebih lagi kalau sayur berdaun hijau.

SITI SALEHA: Saya pula tak makan tempoyak. Jadi, masakan berasaskan tempoyak saya tidak sentuh.

Adakah memasak memberi satu kepuasan kepada anda?

TIZ ZAQYAH: Saya memang seorang yang suka makan. Jadi, kalau dengan memasak, kita dapat sediakan masakan ikut cita rasa sendiri. Nak tambah atau kurangkan apa-apa pun, kita boleh lakukan ikut selera masing-masing.

SITI SALEHA: Memasak boleh jadi satu terapi dan pada masa sama, ia akan memberi satu kepuasan. Ini kerana, sekiranya satu masakan yang cuba disediakan berjaya, kita akan rasa gembira. Situasi itu secara tidak langsung akan memberikan aura positif.

Boleh kongsikan perkembangan terbaharu kalian?

TIZ ZAQYAH: Saya baru selesai dengan penggambaran Project Merdeka dengan pengarah Kabir Bhatia. Selama lima bulan, jadi memang agak sibuk sedikit sebelum ini. Selain itu, saya juga akan keluar dengan filem Kolestrol Vs Cinta gandingan bersama Kamal Adli.

SITI SALEHA: Sekarang dalam persiapan untuk menunggu hari perkahwinan. Buat masa ini, segala persiapan berjalan dengan lancar. Cerita Memori Pajeri Nanas gandingan saya dengan Tiz juga akan ditayangkan bermula 20 Julai ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post