Wan Sharmila mengejutkan peminat apabila diberitakan menjalani pembedahan baru-baru ini.
SUHU termometer hiburan tanah air minggu ini pijar seketika apabila aktres jelita, Wan Sharmila dikhabarkan jatuh sakit dan terpaksa menjalani pembedahan di belakang pinggangnya baru-baru ini.
Ia jelas mengejutkan peminat artis kesayangan itu sebaik pemilik nama sebenar Wan Sharmila Wan Muhamed, 36, berkongsi foto dia terlantar sakit di sebuah hospital swasta di ibu negara pada Instagram peribadinya iaitu @lala.wansharmila.
Tidak mahu peminatnya berterusan diamuk perasaan bimbang berhubung perkara itu, Wan Sharmila sebaliknya menjelaskan bahawa dia sudah selesai menjalani pembedahan dan dibenarkan keluar dari hospital berkenaan baru-baru ini.
“Alhamdulillah, saya baru saja dibenarkan keluar hospital dan selamat menjalani pembedahan berkenaan.
“Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan saya, insya-Allah, tiada apa yang perlu dirisaukan oleh semua.
“Buat masa ini, saya sekadar berehat di rumah, jadi doakan supaya tiada apa-apa yang serius,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.
Enggan berkongsi lebih lanjut berhubung pembedahan berkenaan, Wan Sharmila memberitahu, dia masih perlu mendapatkan rawatan susulan bersama doktor selepas ini.
“Doktor menasihatkan saya supaya tidak tergesa-gesa membuat sebarang aktiviti lasak dalam masa terdekat.
“Jadi buat masa ini, saya mendapatkan pertolongan rakan untuk memandu ke mana-mana destinasi,” jelasnya lagi.
Meskipun baru saja dibenarkan keluar dari hospital, ia tidak mengekang hasrat Wan Sharmila untuk kembali meneruskan kerjayanya sebagai seorang pelakon apabila bakal terlibat dalam sebuah drama terbaharu terbitan JS Pictures berjudul Dekatkan Jarak Kita.
“Dalam drama sebanyak 19 episod itu, saya dijangka bergandingan bersama beberapa pelakon lain seperti Ayda Jebat, Syafiq Kyle, Azhan Rani, Catriona Ross dan ramai lagi.
“Sesi penggambaran drama berkenaan pula dijangka bermula sekitar minggu depan dan buat masa ini, saya sedang fokus terhadap drama ini terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan tawaran-tawaran lain,” ujarnya seraya menoktah bicara.