Alif Satar cukup teruja bergandingan bersama Tiz Zqyah dan Siti Saleha dalam Memori Pajeri Nanas kerana kedua-dua aktres itu cukup hebat dalam menjiwai apa jua watak.
Setiap kali bertemu mata dengan Alif Satar waima sebelum namanya memuncak dalam drama Dia Semanis Honey, dia sentiasa mesra dan mudah memberikan kerjasama. Bicaranya juga matang dan berinisiatif biarpun usianya baru 27 tahun.
Bersabar bertatih, mendaki dan membina nama di pentas seni. Usai 10 tahun, dia kini sudah menari lincah di pentas yang sama.
Watak Ahnaf Wafiy dalam Dia Semanis Honey ibarat gol pertama Alif, bahkan selepas drama popular itu, dia menerima pelbagai rangkaian drama lain yang mengukuhkan lagi namanya di gelanggang lakonan.
Dia mengejar lawannya hingga ke garisan penamat tanpa menoleh kebelakang lagi. Namun itu tidak bererti dia harus mendabik dada dengan kejayaan yang dikecapinya saat ini. Malah dia tidak sesekali mahu bersikap culas untuk mencorakkan lagi karier seninya.
Ironinya, ada juga peminat wanita yang tidak berpuas hati dengan heroin yang digandingkan Alif.
Menanyakan hal itu kepada yang empunya diri, pelakon dan juga penyanyi serta pengacara itu tenang menyusun bicara agar tiap butir katanya tidak sesekali mengguris rasa.
“Saya tidak kisah jika kena berlakon dengan artis baharu atau lama sekali pun, selagi mereka komited. Saya juga pernah lalui zaman menjadi artis baharu dan selalu terbuka dengan nasihat-nasihat artis-artis yang lebih senior. Diharap pelakon baharu boleh belajar apa yang saya pernah lalui sebelum ini.
“Kalau peminat rasa gandingan saya dengan pelakon-pelakon baharu tidak okey, saya rasa mereka patut diberi peluang. Sebabnya mereka masih baharu dan banyak lagi kena belajar,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.
Alif mengaku memasak sendiri masakan pantang untuk isterinya, Shadila Halid.
Pandai memasak
Untuk langkah seterusnya, Alif juga sedar dia harus bijak memilih agar tidak tersalah percaturan. Paling tidak, skala yang telah diraih haruslah dikekalkan.
Maka, tatkala ditawarkan berlakon dalam filem televisyen (FTV) terbaharu berjudul Memori Pajeri Nanas di samping aktres Tiz Zaqyah dan Siti Saleha, Alif tanpa ragu menerimanya.
“Ini adalah pengalaman kali pertama saya berlakon di samping Tiz, manakala dengan Saleha sudah dua kali bekerjasama. Saya sangat teruja sebab ini kali pertama saya dapat berlakon dengan pelakon yang betul-betul menjiwai watak, mendalami jalan cerita dan skrip serta cukup menghargai orang-orang disekelilingnya,” luahnya yang kini menjalani penggambaran drama bersiri Red Velvet dengan seorang pelakon jelita.
Jarang-jarang pelakon dengan nama sebenar Muhammad Alif Mohd. Satar itu muncul dalam karakter yang sama dalam setiap persembahannya.
Maka apabila dia ditawarkan membawa watak sebagai cef Armand dalam Memori Pajeri Nanas, Alif gigih membentuk dan mengembangkan watak tersebut dalam nahu dan lenggok tersendiri, namun tidak tersasar daripada cara cef sebenar.
Dia juga tidak risau andai dikritik membawakan watak sebagai cef kerana baginya, sebagai anak seni kritikan pasti akan menyapa.
“Saya tidak risau dikritik kerana saya sudah buat yang terbaik untuk karakter cef Armand itu. Malah, alhamdulillah, ketika melakonkan watak tersebut ada dua cef yang memberi tunjuk ajar mengenai teknik memasak sebenar. Baru saya tahu, selama memasak, saya memotong dengan cara yang salah,” akuinya yang pandai memasak pelbagai jenis masakan berasaskan kari dan juga masakan clean food.
Malah, Alif mengaku, dia sendiri memasak masakan pantang selepas isterinya, Shadila Halid, bersalin.
Lama tidak muncul dengan lagu baharu, pelantun lagu Lelaki Seperti Aku ini bakal muncul menerusi lagu terbaharu tidak lama lagi.
Lagu baharu
Ketika seharusnya Alif sudah berlari di pentas nyanyian, dia kelihatan masih berjalan dengan tenang di pentas nyanyian. Ini kerana, berdasarkan objektif yang telah dicapai menerusi pentas lakonan, corak perjalanannya sebagai penyanyi pula seakan-akan sepi sejak kebelakangan ini.
Ditebak mengenai hal itu, penyanyi lagu Lelaki Seperti Aku itu mengaku sudah lama tidak muncul dengan lagu baharu.
“Ada perancangan hasilkan lagu baharu untuk drama terbaharu yang bakal keluar tak lama lagi. Saya juga tidak sabar untuk merakamkan lagu tersebut,” ulasnya yang bersyukur produk baju Melayu dengan kerjasama pereka fesyen Bon Zainal mendapat sambutan yang menggalakkan. Mengulas lanjut, kata bapa kepada dua cahaya mata itu, baju Melayu Tradisi Alif Satar oleh Bon Zainal itu dihasilkan dengan rapi dan mempunyai nilai eksklusif yang tinggi.
“Baju Melayu tersebut boleh didapati menerusi gedung Parkson KLCC, Pavillion dan portal Fashion Valet,” katanya lagi.