KUMPULAN Rabbani yang lebih 20 tahun bertapak dalam industri seni tempatan kini mengorak selangkah lagi dengan membuka Rabbani Lamb House.
Bukan sahaja menghidangkan menu menarik bertemakan masakan Arab, Malaysia dan Barat malah kumpulan yang sudah lebih 20 tahun bertapak dalam industri seni tempatan turut memberi peluang kepada artis tempatan membuat persembahan.
Kini, Rabbani Lamb House berjaya mengumpulkan hampir semua artis nasyid Malaysia antaranya Raihan, Hijjaz, Saujana, Nowseeheart, Inteam, FarEast,Tarranum Viose, Fadzli FarEast, Azhar Helmi, Ikhwan Fatana dan ramai lagi.
Restoran yang bersebelahan pusat pakaian Jakel Kuala Lumpur ini begitu strategik untuk para pelanggan menikmati hidangan yang dihidangkan dengan berlatar belakangkan Menara Kuala Lumpur.
Dalam meraikan bulan Syawal ini, Rabbani turut menjemput penyanyi wanita untuk mengadakan persembahan.
Antaranya Bienda yang akan membuat persembahan pada 16 Julai ini disusuli penampilan istimewa, Oki Setiana Dewi pada minggu berikutnya.
"Oki antara nama yang mempunyai ramai peminat di sini, jadi kami menjemputnya khusus untuk bersama pengunjung pada 21 Julai depan,” kata Azadan Abdul Aziz yang mewakili kumpulan nasyid terkenal itu.
Katanya, tidak hanya berhibur malah pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah pelayaran Islamik bersama Rabbani anjuran IntraTama Travel Consultant & Tours (M) Sdn Bhd dengan pertandingan cabutan bertuah daripada bufet yang disediakan.